Oleh Harlym Yeo
7 Mac 2022, 19:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) membuka tirai aktiviti persatuan secara bersemuka pada tahun 2022 dengan menghimpunkan seramai 30 orang peserta daripada pelbagai latar profesion dalam program Bicara Penyair: Penghasilan Karya Berimpak Tinggi pada 5 Mac (Sabtu) jam 9.00 pagi di Stor Teater DBP, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tetamu Bicara Penyair kali ini ialah Dato’ Rahman Shaari, penerima SEA Write Award (Malaysia) ke-29.

Sesuai dengan gelaran sebagai al-hafiz puisi, Dato’ Rahman memulakan sesi dengan mendedahkan kaedah mudah menghafal puisi.

“Hafal puisi yang bersifat mudah hafal, dengan gaya bahasa asonansi dan aliterasi yang mudah. Latihan membaca tidak kurang daripada 25 kali juga memainkan peranan penting dalam penghafalan puisi,” kata beliau.

Wacana ilmu puisi tersebut tertumpu pada perkongsian karya-karya terpilih yang mempunyai daya tarikan istimewa, tidak klise dan sarat dengan pemikiran.

Antara karya pilihan Dato’ Rahman dalam sesi perbincangannya termasuk sajak dari Indonesia dan Malaysia, iaitu “Ali Baba” oleh Subagio Sastrowardoyo, “Persaraan Penyair” oleh Mohamad Saleeh Rahamad, “Aku dan Air” oleh Anwar Ridhwan, “Aku Hanya Mahu ke Seberang” oleh Hashim Yaacob, “Selepas Perpisahan Ini” oleh Abang Patdeli Abang Muhi, “Menanti” oleh Muhammad Haji Salleh, dan “Izinkan Aku Menulis” oleh Barupawati Utamaju Baharum.

Pemilihan karya tersebut mewakili pelbagai teori, kaedah, pendekatan, dan gagasan yang boleh dijadikan panduan bagi menghasilkan puisi yang mantap dengan idea yang luar biasa.

Menurut Dato’ Rahman, bagi menghasilkan karya yang baik, pengkarya harus mengamalkan teori ilham. Beliau sendiri juga mengaku ada menggunakan kaedah itu sewaktu menghasilkan sajak berjudul “Masa” pada tahun 1976.

“Apabila datangnya ilham, ambil cepat-cepat seperti ambil emas di dalam gua penyamun sebelum tuan punya gua itu kembali menutup pintu gua,” jelas beliau, sambil merujuk sajak “Ali Baba” dan watak miskin Ali Baba yang menjadi kaya kerana berpeluang masuk ke dalam gua penyamun.

Beliau menggesa setiap pengkarya untuk mencatat ilham dengan segera tanpa bertangguh. Katanya, jika berlengah, ilham itu berkemungkinan akan hilang dan tidak muncul kembali.

Pembicara juga mencuit hati peserta apabila menyebut tentang fenomena kritikan alaf baharu yang meleret-leret melalui alat komunikasi digital, dengan mengembalikan kritikan bersifat objektif, yakni karya yang baik diberi penghargaan sewajarnya mengikut tahap mutunya.

“Kita hidup dalam realiti sebenar apabila yang baik dikatakan baik, dan begitulah sebaliknya,” jelas beliau.

Dato’ Rahman juga mengutarakan aspek bahasa dalam penghasilan karya dengan memberikan beberapa contoh kesilapan bahasa yang mendapat pengecualian dengan tujuan kreatif melalui kebebasan seni (poetic licence).

Sesi selama dua jam itu disampaikan secara bersahaja tetapi penuh berisi dengan ilmu puisi yang meyakinkan. Bahkan berjaya menimbulkan suasana yang santai, dikemudikan oleh Setiausaha PENYAIR, Aya Rohaiyah.

Turut bersama menyokong program itu ialah Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim.

Para peserta Bicara Penyair, pembuka tirai acara fizikal tahun 2022.

Para peserta juga ditawarkan peluang untuk berkarya melalui buku antologi sajak bersama yang bertemakan perjuangan Islam, hartanah dan ekonomi bangsa. Tawaran ini termasuk cenderahati bernilai RM100 bagi 40 karya yang terpilih untuk antologi berkenaan. Projek antologi tersebut merupakan anjuran PENYAIR dengan tajaan oleh pengasas perjuangan hartanah dan komuniti, Ahyat Ishak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.