Oleh Harlym Yeo
7 Mac 2022, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Seni teromba ialah sejenis himpunan puisi Melayu klasik yang mengandungi keragaman unsur-unsur pantun, syair, nazam, gurindam, pepatah, dan seumpamanya yang berkaitan dengan peraturan dan undang-undang masyarakat Melayu, terutamanya orang Melayu dahulu,” ujar Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin.

Beliau yang dikenali sebagai Raja Teromba merupakan ahli panel bual bicara dalam edisi ke-18 Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan yang berjaya meraih sokongan padu daripada 24 penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, dan Republik Rakyat China.

“Karya teromba bertujuan memberi nasihat, perkhabaran dan teguran kepada masyarakat secara lembut dan halus melalui bahasa kiasan yang indah,” terang beliau lagi.

Dr. Mohd Rosli Saludin merupakan Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia yang pernah dinobatkan sebagai tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (Teromba – Penglipur Lara).

Program dalam talian itu anjuran bersama Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) Malaysia, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), dan Alumni Bengkel Puisi Merdeka (ALUMNI) yang bersiaran lewat Facebook Pemuisi Berkarya dan Pusat Budaya UUM, Jumaat lalu. Program dikendalikan oleh pengacara Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.

Dr. Mohd Rosli turut berkongsi contoh teromba tentang nasihat sambil menjaga perasaan sahabat agar tidak mengulangi gurauan kasar:

Ke pulau, ke pulau, ya
Ke tanjung, jangan…
Bergurau, bergurau, ya
Menyinggung jangan.”

Katanya, fungsi teromba merupakan khazanah rujukan dan struktur kepimpinan adat perpatih yang menyumbang pada pentadbiran, peminangan dan perkahwinan orang dahulu.

“Fungsi teromba dalam masyarakat pula terfokus pada didikan yang mempunyai unsur nasihat dan amalan murni agar sasarannya melakukan perkara-perkara baik,” jelas beliau sambil memberi contoh teromba “Jalan Raya Jalan Kemudahan” seperti berikut:

Jalan raya jalan kemudahan bukan kesusahan,
Jalan raya jalan kesenangan bukan kepayahan,|
Jalan raya jalan kesopanan bukan pamer keegoan,
Jalan raya jalan kasih bukan kebencian,
Jalan raya jalan kemudahan,
Jalan hubungan manusia,
Jalan latih kesopanan,
Jalan berbaik sangka,
Jalan bukan berlumba,
Bukan pandu untuk cedera,
Bukan pandu untuk mencederakan,
Bukan pandu dalam bahaya,
Bukan pinggirkan nyawa kita,
Bukan ketepikan nyawa manusia,
Patuh nasihat yang ada,
Pandu hemat nyawa terjaga,
Pandu gelojoh kita sengsara,
Jadikan budi jadikan bahasa,
Jadikan adat jadikan sopan,
Perjalanan di jalan raya,
Jalan raya jalan kemudahan.

Program 18.0 kali ini turut menayangkan satu filem pendek yang melibatkan para mahasiswa Republik Rakyat China dari Universiti Pengajian Antarabangsa Sinchuan berjudul Cerita Saya dengan Bahasa Melayu. Pembikinan filem mini itu di bawah bimbingan pensyarahnya, Puan Siti Rohanafizah Abu Aziz atau juga digelar sebagai Hanna Aleesya. Para mahasiswa yang terbabit ialah Adriana@Zhang Wan’er, Khaira@Pi Jiayi dan Armel @Liu Xiyue.

Rohanafizah turut mendendangkan lagu puisi ciptaan sendiri berjudul Sanggar Hati yang turut menampilkan sahabat yang berasal dari Singapura, Iskandar Syah Putra.

Peserta dari Aceh, Indonesia, Mulyo, mendeklamasikan nukilan sajak sendiri bertajuk “Jika”.

Peserta tunggal dari Thailand, Mahroso Doloh daripada Persatuan Penulis Patani, Selatan Thailand mengambil bahagian dengan niat untuk memperkenalkan Patani kepada khalayak dunia.

“Saya berusaha mempertahan dan mengembangkan dunia bahasa dan sastera Melayu di Patani supaya terus hidup dan dapat bersama dengan saudaranya di Alam Melayu ini,” jelas Mahroso yang juga seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Hatyai Wittakarn. Beliau menyampaikan puisi karya sendiri berjudul “Khutbah Mentari”.

Seorang guru Madrasah Aliyah Negeri 1, Kota Langsa, Aceh, Indonesia, Zakaria Ali Basyah Bransah atau Zab Bransah beranggapan penglibatannya menjadi catatan penting dalam perjalanan karyanya. Beliau menyampaikan karya sendiri berjudul “Jejak Korona”.

Selain itu, program 18.0 juga mendapat sokongan padu daripada Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan dengan syair “Nasihat Ibu”, Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dengan sajak beliau “Kebun Cinta Kartika”, Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob dengan sajak sendiri bertajuk “Genggamkan Kejap, Hulu Kerismu Itu”, dan Presiden PEMUISI Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim yang mendendangkan lagu puisi berjudul Biarkanlah Aku Terbang karya Wanrazuhar.

Terlibat sama membuat persembahan deklamasi puisi ialah Exco PEMUISI dan juga pensyarah kanan Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman melalui karya sendiri berjudul “Bila Ilmu Bersuara”. Manakala Penyelaras Praktikum (PG & UG), Pusat Pengajian Pendidikan, UUM, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail dengan membaca puisi A. Aziz Deraman bertajuk “Kalam Timur”. Selain itu, turut menyemarakkan program ialah persembahan unik jenis teromba “Berbudi Bahasa” daripada Rusdi MN dari Sibu, Sarawak.

Peserta mahasiswa dari Indonesia pula diwakili oleh Suseno Prastyo (“Doa Seorang Soldadu Sebelum Perang” karya WS Rendra), Habib Ahmad Alansor (“Dalam Bayangan-Mu” karya ptradi) dan Indah Novita Sari (“Tengah Malam” karya Joko Pinurbo). Peserta tunggal dari Brunei Darussalam ialah Sosonjan A. Khan yang mempersembahkan karya sendiri berjudul “Memilih”.

Sebagai tuan rumah, program edisi Mac itu menampilkan tujuh orang mahasiswa UUM yang masing-masing mempersembahkan nukilan sendiri bertemakan kehidupan. Meraka ialah Nur Ain Najibah Nor Zaidi (“Mereka Hidupku”), Amirah Balqis Nur Azman (“Kopi Sepahit Kehidupan”), Atikah Makripe (“Demi Sebuah Kejayaan”), Dayang Masitah Abang Haron (“Liku Kehidupan”), Halimaton Sa’adiyah Abdul Rahman (“Belum Sempat”), Nur Qamaria Razali (“Perjalanan”), dan Nurul Hazirah Kamarulzaman (“Bangkit”).

Edisi bulan April Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 19.0 bersempena dengan bulan Ramadan dijangka akan bersiaran pada 4 April 2022, Isnin, 10.00 malam. Penganjur mengalu-alukan penyertaan peminat puisi Melayu untuk mengirimkan karya video rakaman berbentuk melintang dengan menghantar karya masing-masing kepada penganjur tidak lewat daripada 23 Mac ini melalui e-mel kepada [email protected] atau aplikasi Telegram di nombor +6012-252-8764.

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.