Diterbitkan pada 27 Februari 2022, 08:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berkata, “Puisi ibarat pokok bonsai kehidupan. Ia kecil, tetapi padat dan mapan dengan keindahan yang sangat terjaga rapi.” Sambungnya lagi, pokok bonsai juga rumit untuk dijaga, malah mahal nilainya jika rupa bentuknya elok dijaga rapi. Begitulah puisi Melayu, yang mempunyai banyak instrumen untuk dijaga dan dikembangkan oleh kebijaksanaan penulis atau penutur itu sendiri, menggambarkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang kaya.

“Bahasa Melayu mempunyai banyak alat (seperti alat muzik), contohnya seni pantun kita yang digunakan dalam pinangan, lagu dondang sayang, malah kata pujangga rakyat,” kata Prof. Muhammad.

Peranan puisi pula pelbagai, dan penting sekali ialah perannya. Pertama sekali, bait-bait puisi mewakili masyarakatnya yang membawa pelbagai pemikiran, isu, persoalan, dan perjuangan. Tambah beliau, melalui puisi juga “membawa ilmu dalam kandungan yang indah – juga untuk kelangsungan masyarakatnya”.

Hal ini dilihat melalui puisi-puisi yang dapat diselongkar intinya, seolah-olah puisi berperanan pula sebagai ensiklopedia pemikiran bangsa, kebijaksanaan pengarangnya, adat istiadat, sejarah, nilai, dan kehidupan seharian. “Puisi menjadi alat untuk melukis dunia, pengalaman manusiawi tempatan dan sejagat, dan pemikiran terpenting dalam kehidupan sesuatu bangsa,” ujar beliau.

Muhammad Haji Salleh memang menyerlah sebagai seorang sarjana serta penemu teori dan falsafah yang tersirat dalam sastera tempatan, sama ada tradisional mahupun moden. Beberapa dapatan dan teori sastera beliau boleh dibaca melalui karya beliau, seperti Puitika Sastera Melayu dan Yang Empunya Cerita: The Mind of the Malay Author.

Menerusi Webinar Sasterawan Negara 2022, “Puisi: Pemikiran yang Paling Padat dan Merdu” anjuran Universiti Sains Malaysia pada 22 Februari baru-baru ini, Prof. Muhammad tampil memberikan perkongsian tentang seni puisi dan berpuisi. Perkongsiannya bermula dengan wajah puisi itu sendiri, secara tersirat dan tersurat, ciri-ciri puisi, keistimewaannya, dan peranannya dalam kehidupan beliau sendiri sebagai seorang sasterawan.

Beliau juga sempat mencuplik ungkapan Samuel Taylor Colridge, penyair gerakan Romantik Inggeris abad ke-18, untuk menjelaskan tentang puisi, “Prose: words in their best order; poetry: the best words in the best order.”

Prof. Muhammad Haji Salleh menegaskan, “Puisi memang merupakan pilihan perkataan yang terbaik dalam susunan yang terbaik, dan juga (puisi) merupakan jalan ke arah pengetahuan dan kefahaman.”

“Dalamnya ada ilmu tempatan, ilmu sains, cara menyelesaikan masalah. Umumnya, puisi terkandung kebijaksanaan, ada makna hidup daripada pengalaman; seperti yang terserlah dalam peribahasa Melayu. Isi yang terkandung di dalamnya luas dan komprehensif.”

Beli Puitika Sastera Melayu (Edisi Ketiga) dan Yang Empunya Cerita: The Mind of the Malay Author.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi