Diterbitkan pada 25 Januari 2022, 07:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tokoh teater dan drama negara, Zakaria Ariffin, yang juga seorang pengkritik dan pengarah teater, penulis drama, malah pendidik dalam bidang drama dan teater (yang juga penerima SEA Write Award tahun 2001) mempunyai sejarah yang sangat panjang dengan dunia seni pementasan.

Perjalanannya selama 40 tahun dalam bidang teater dan drama, didampingi dan dipertembungkan dengan dramatis dan sasterawan terkemuka, seperti Sasterawan Negara (SN) Noordin Hassan, SN Usman Awang, Johan Jaaffar, Malina Manjoy, dan ramai lagi, telah membantu beliau sebagai aktivis drama dan teater negara.

“Karyawan kita tidak jauh bezanya dengan karyawan luar negara, khususnya karyawan-sastera drama Barat, dari segi penceritaan, pemikiran, pemaparan falsafah, dan protes sosial dalam upaya mereka sebagai dramatis,” tegas Zakaria Ariffin.

Tambah beliau lagi, dalam drama karya SN A. Samad Said, Di Mana Bulan Selalu Retak, yang ada memaparkan falsafah eksistensialisme dan drama protes sosial, garapannya itu sekuat drama-drama terkemuka Barat, seperti tulisan Tennessee Williams dengan A Streetcar Named Desire dan The Glass Menagerie.

Beliau sampaikan kenyataan itu melalui program Bicara Karyawan: Ada Apa dengan Drama dan Teater pada 24 Januari 2022. Program bicara ini dianjurkan sebagai platform bagi Zakaria Ariffin berkongsi inti pati dan cuitan berkenaan buku kumpulan esei beliau yang bakal diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) awal tahun ini, Ada Apa dengan Drama dan Teater.

Dalam platform itu juga, beliau menyentuh perihal campur tangan sejarah dan perkembangan sastera drama dan seni teater moden, peranan teater indie hari ini dan penglibatan Nam Ron sebagai subjek dramatis yang menyerlah, serta peranan penting naskhah drama dalam usaha melahirkan sebuah teater yang kuat dan berkualiti.

Apa-apa yang dilakukan oleh para dramatis tempatan dalam usaha memaparkan protes sosial dalam drama mereka, juga terserlah dengan rancak di negara-negara lain, seperti Sabri Buang dari Singapura yang dengan beraninya memancarkan isu berkaitan sosial dalam naskhah drama beliau. Begitu juga di Indonesia, hampir setiap drama dari negara itu akan memaparkan isu sosial yang begitu rapat dengan masyarakat. Seperti realiti kesulitan kehidupan, korupsi dan jurang sosial antara golongan atasan dengan marhaen.

Selain itu, Zakaria Ariffin turut melihat ranah drama dan teater negara daripada konteks “campur tangan” sejarah dan perkembangan drama serta teater moden hari ini. Setelah era karya drama Noordin Hassan tampil lalu dianggap sebagai pelopor drama baharu serta antirealisme, perjalanan penulisan sastera drama tanah air semakin laju berkembang dan rancak berubah, seiring dengan keupayaan karyawannya.

Dalam sejarah teater, keupayaan dramatis dan penulis tempatan telah memberikan corak dan bentuk dalam drama dan teater tanah air, yang dilihat sebagai sebuah usaha yang berterusan. Sehingga hari ini, peloporan bentuk drama dan teater baharu masih belum padam.

Apabila memerhati Nam Ron sebagai penulis skrip, Zakaria menyebut bahawa, “Nam Ron antara penulis drama yang menyerlah dalam pengkaryaan, malah juga dominan. Pada peringkat awal lagi, iaitu tahun 1990-an, beliau lebih cenderung untuk menulis drama-drama pendek, seperti Aku Nak Jadi Bintang dan Lembu, dalam bentuk monodrama dan monolog.

“Saya lihat, Nam Ron tidak banyak terpengaruh dengan karyawan-karyawan yang terdahulu. Karyanya bukan realisme, bukan eksperimental, malah ada gaya yang tersendiri,” jelas Zakaria Ariffin.

Selain itu, beliau turut melihat gelombang apresiasi teater hari ini yang semakin menapak dengan gaya tersendiri dalam kalangan masyarakat melalui kegiatan teater indie yang makin subur, terutamanya di Lembah Klang.

“Kebanyakan produksi teater kecil ini aktif mementaskan teater setiap bulan, malah mereka turut mempunyai tempat pementasan teater mereka sendiri, dan hal ini merupakan satu perkembangan yang sangat menarik. Mereka juga mengukuhkan idea buat masyarakat bahawa seni pementasan ini sangat penting untuk kekal dihargai.

“Selain itu, dalam konteks sejarah drama dan teater negara, DBP turut memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk empangan drama dan teater Melayu moden,” jelas dramatis terkemuka negara itu.

Apabila menyentuh usaha menghasilkan pementasan yang berkualiti, beliau menyebut bahawa titik pertamanya bertolak daripada naskhah penulisnya sendiri. Jika teks dramanya berkualiti, pementasannya akan lebih jelas dan mengesankan. Namun demikian, pengarah, para dramatis, pelakon, dan karyawan lain dalam produksi teater perlu berusaha bergabung tenaga dan kekuatan untuk mementaskan sesebuah naskhah.

Zakaria turut menambah, “Watak dan latarnya perlu dihayati oleh para dramawan dan pengarah. Selain itu, tafsiran dan ketelitian para karyawan dengan teks drama juga adalah amat penting, dan yang paling memberi kesan ialah pemikiran dan pentafsiran pengarah terhadap naskhah drama itu.”

Tonton bicara penuh di sini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi