Oleh Harlym Yeo
3 Januari 2022, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Seni Puisi Era Moden” dijadikan topik perbualan dalam segmen Canai Puisi menerusi program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 16.0 anjuran kerjasama antara Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Alumni Bengkel Puisi Merdeka, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program bulanan edisi bulan Januari itu bersiaran secara dalam talian melalui pelantar Zoom ke Facebook Pemuisi Berkarya, Pusat Budaya UUM, dan DBP pada 1 Januari lalu dengan menampilkan mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman sebagai panel bual bicara manakala Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Asmawiza Haji Hussin sebagai moderator.

“Dunia kehidupan manusia dalam zaman moden kontemporari ini memang lebih mencabar, kronik dan bergelut dengan segala macam situasi, isu dan perkara yang berbeza dengan zaman lampau,” jelas Aziz.

Aziz menegaskan bahawa kehidupan manusia sentiasa bergerak ke hadapan. Sifat pemikiran manusia akan menjadi lebih baik kerana manusia memiliki akal fikiran dan kecerdasan meneroka atau mempelopori kehebatan sesuatu bidang perubahan yang menjanakan kebaikan.

“Lalu melalui proses kreativiti dan inovasi, sesuatu bangsa akan bergerak mencapai kemajuan bukan sahaja di bidang politik dan ekonomi, bahkan sosial dan kebudayaan. Maka, kesusasteraan atau apa jua bidang kesenian sebagai antara kandungan kebudayaan akan mempengaruhi dan dimanfaatkan dalam ketinggian pencapaian pemikiran yang secara langsung mencorakkan peradaban bangsa kita,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru kepada semua pelayar, terutamanya yang berminat menjadi pemuisi agar “sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti karya melalui proses kreatif dan kehebatan pemikiran.”

Terdahulu sebelum segmen bual bicara, para pelayar dihidangkan dengan 24 sajian persembahan puisi Melayu daripada pemuisi tempatan dan peserta dari Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, dan Republik Rakyat China.

Bertepatan dengan tarikh penganjurannya pada 1 Januari, program itu dimulakan dengan “Syair Tahun Baharu” irama Batu Belah dendangan pelajar UUM, Raja Nurul Farhana. Diikuti pula dengan persembahan lagu puisi berirama rancak dan moden berjudul Nakal Berakal alunan Hanna Aleesya dari negara China yang kini mengajar di Sichuan International Studies University, China.

Bersama mahasiswa dan mahasiswi universiti berkenaan, Hanna juga menonjolkan persembahan Zhang Wan’er@Adriana (“Wajahmu, Hatiku”), Liu Xiyua@Armel (“Kenangan yang Kekal Selama-lamanya”) dan Wu Hankai@Risqi (“Mendapat Hidupan Lebih Terang”). Dengan berkat bimbingan pensyarahnya, masing-masing mendeklamasikan puisi Melayu hasil karangan mereka sendiri dengan penuh keyakinan.

Sebagai penganjur utama program itu, UUM dan PEMUISI turut menghidangkan persembahan daripada peserta mereka. Daripada PEMUISI, Presidennya Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim mempersembahkan karyanya berjudul “Doa Jiwa Bangsa”. Manakala UUM menyediakan lima peserta, iaitu Nurul Aida Azrina Ibrahim (“Kehidupan yang Misteri”), Jocelyn Chua Jia Ee (“Masa Ibarat Emas”), Nur Ilyani (“Menelan Pahit”), Muhammad Zulsafwan Yusoff (“Dunia yang Sementara”), dan

Nur Haziqah Abdul Halim (“Keringat yang Membasahi Bumi”).

Turut menyantuni program itu ialah Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang mendedikasikan syair yang dikarang khusus untuk para sukarelawan ekoran kejadian banjir yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini, berjudul “Untukmu Sukarelawan”. Manakala mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob mendeklamasikan sajak beliau berjudul “Pokok Tinggi Emak”.

Dengan penuh semangat, Dr. Ayudez Zuraina melantunkan sajak karya Arbak Othaman berjudul “Kuntum-kuntum Bunga”, manakala Dr. Zainatul Shuhaida menyajikan persembahan beliau dengan karyanya bertajuk “Percayalah”.

Tiga persembahan yang menarik mengangkat karya A. Aziz Deraman, berjudul “Luka Hati Bangsa”, “Pancang” dan “Lidah Bangsa”. Sajak-sajak ini dipersembahkan dengan penuh semangat oleh Rusdi Mohamad Noor, gandingan duet Wee Soo Lian dan Sujata Wee, dan A. Aziz Deraman sendiri.

Dua karya SN Dato’ Dr. Usman Awang juga dipertontonkan melalui persembahan lagu puisi oleh Ong Boo Siong yang berjudul Salam Benua dan Siso Kopratasa yang bertajuk Tanah Air.

Selain peserta tempatan, program itu juga berjaya meraih penyertaan dari Indonesia, iaitu Hudan Nur (“Fragmen”), Sherly Mayda (“Wali Nanggroe”) dan Moh. Ghufron Cholid (“Kembali ke Rumah”). Sementara dari Singapura, pasangan suami isteri Sam Sumardi dan Ratnasam Sib II menghiburkan penonton dengan persembahan lagu puisi Tarian Mistikku.

Gandingan mantap peserta dari Brunei Darussalam; Ubai Had dan Malaysia; Galuh Cendana Kirana pula mempersembahkan alunan lagu campuran Alus Jua Dendang dan Bergending Dang Gong.

“Saya amat positif menaruh harapan moga-moga para budayawan, sasterawan, seniman, pengarang, dan penyair kita merebut peluang dan ruang terbuka kebebasan dunia siber tanpa sempadan ini dengan keutamaan teratas dan berhasil melahirkan ciptaan karya yang bermanfaat, bermutu tinggi, setaraf dengan peringkat antarabangsa dan mendukung keunggulan tersendiri,” ujar Aziz Deraman.

Majlis yang berlangsung hampir empat jam itu dikemudi oleh pengacara gandingan Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.

Kembali menemui peminat puisi Melayu dengan lebih menyengat dengan judul “Lagu Puisi”, Siso Kopratasa terpilih sebagai ahli panel segmen bual bicara Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 17.0 edisi bulan Februari yang dijangka akan bersiaran pada 2 Februari 2022, Rabu, 9.00 malam.

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.