Oleh Awang Sariyan
19 Oktober 2021, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hampir satu alaf setengah dikau tinggalkan kami
lamun amat hampir kurasakan kehadiranmu
Serasa dapat kuhidu wangi kesturi tubuhmu
Serasa dapat kunikmati senyum ihsanmu
Serasa dapat kudengar lembut tutur katamu
Dikaulah sesungguhnya habibullah
Dikaulah sesungguhnya Rasul pilihan
penyebar utuh kalam Allah
penyampai teguh risalah Allah
pembebas bani Adam daripada syirik penyekutuan dewata nan esa
penyeru persatuan umat di mayapada
penghulu pendamai kabilah segalanya

Dikau yang kurindui
Dikau yang kudambakan syafaatmu
Dikau yang tiada lekang daripada bibir dan hatiku
Dikau yang sempurna sebagai suri teladan
lantaran akhlakmu ialah al-Furqan

Aduhai dikau yang kurindui
Umatmu sedang sakit keras kini
dilanda ujian wahan
hubuddunia
Gementar dirempuh gelombang kefasadan
Teledor oleh kesesatan buatan

Dikau yang kurindui
Tebarkan syafaatmu atas rahmat al-Jalal
Kami umatmu memerlukan warisan kekuatan
daripada sahsiah dan akhlak yang menjadi pakaianmu

Dikau yang kurindui
semoga kami tetap dengan ikrar dan janji hati
mematuhi sunahmu
sepanjang hayat kami
tidak menciptakan sunah sendiri
atau mengikuti sunah lain yang nanar
untuk kelak menemuimu
dan menyertaimu di alam abadi dengan kebahagiaan hakiki dan sejati.

Awang Sariyan Kembara Bahasa
Malam Maulidur Rasul 1443

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.