Oleh Karmila Azmi
5 Oktober 2021, 20:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Apakah layak penulisan fiksyen diteruskan? Apakah layak fiksyen dianggap sebagai sastera? Dan, apakah layak kesusasteraan meminggirkan fiksyen?

Tiga soalan itu disimpulkan oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani ketika membentangkan kertas kerja “Fiksyen Sebagai Sumber Ilmu: Beberapa Pengamatan Terhadap Kesusasteraan Moden” dalam Siri Wacana ATMA (12) Kesusasteraan: Antara Tawassur Islami dengan Paradigma Barat yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pagi tadi.

Mohd Zariat berkata, kesemua soalan itu berpunca daripada kedudukan fiksyen itu sendiri yang dianggap sebagai rekaan, diinspirasikan daripada pengalaman empirikal dan imaginasi penulis.

Fiksyen katanya, selalu dianggap rekaan. Malah, dalam dokumentasi fiksyen selalu tercetak bahawa karya berkenaan adalah rekaan semata-mata

Namun dalam hal yang lebih jelas, fiksyen ialah konsep yang dibawa dari Barat dan berkait rapat dengan tradisi intelektual Barat.

“Sebelum kemunculan fiksyen, tradisi keintelektualan di Barat banyak diwarnai oleh pandangan hidup Yunani berasaskan mitos dewa-dewa dan tokoh Yunani, dan kemudiannya tradisi gereja Roman-Katolik yang bersumberkan Injil.

“Pada abad ke-18 dan 19 Masihi, muncul modenisme yang memisahkan dirinya daripada sebarang bentuk tradisi, terutama keagamaan,” katanya.

Modenisme ini katanya ialah gabungan pengalaman empirikal dan nilai individu yang mendasari falsafah fiksyen, lalu menjadi ciri utama karya sastera moden dan melahirkan bentuk karya seperti novel, cerpen, drama, dan sajak.

Aliran ini katanya dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu, melahirkan sejumlah pengarang yang menghasilkan karya dalam genre berkenaan dalam bahasa Melayu.

“Dan ini boleh kita lihat melalui wujudnya polemik dalam sastera Melayu moden itu berkaitan dengan fiksyen, misalnya penghasilan novel seperti Salina oleh Sasterawan Negara A. Samad Said yang disokong oleh Keris Mas yang ketika itu editor penerbitan di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana ia mencerminkan falsafah seni untuk masyarakat.

“Bagaimanapun, naskhah ini dihambat kontroversi, ditolak oleh panel Peraduan Menulis Novel 1958 kerana seolah-olah membela pelacur, tetapi disokong Prof. A. Teeuw pada tahun 1964, tetapi ditolak oleh Shahnon Ahmad sebagai watak yang bergelumang dengan dosa pada tahun 1979, tetapi kemudian dilihat sebagai naskhah yang membawa pembaharuan oleh Panel Anugerah Sastera Negara 1985, namun ditolak pula oleh Mohd. Affandi Hassan pada tahun 1990 kerana mengangkat kejahatan sebagai tema utama,” katanya.

Namun begitu, Salina bukanlah satu-satunya contoh kerana jika kita melihat polemik naskhah tulisan Shahnon, Tivi, novel itu juga seperti Salina, mengangkat kejahatan sebagai tema utama, walaupun tegas Mohd Zariat, Shahnon melihatnya sebagai “karya mithali Islam”.

Justeru katanya, dalam kesusasteraan Melayu moden, fiksyen sebagai sumber ilmu masih menjadi pertikaian, apatah lagi jika hal ini dilihat dalam kerangka berasaskan Islam.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.