Oleh Salman Sulaiman
28 September 2021, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Malam keenam Bengkel Cerpen Hujung Minggu kali ini banyak tertumpu kepada persoalan “Bagaimana untuk menjadikan sesebuah cerita itu lebih dinamik?” Rosli K. Matari mencabar fikiran penonton dengan menegaskan, penulis kita memang kebanyakannya suka mengarang dengan mengikut turutan kebiasaan, walhal kita boleh saja terbalikkan dengan meletakkan “pengakhiran cerita” pada awal tulisan, bukan pada akhir karangan.

Menurutnya, pengarang sebenarnya lebih bijaksana daripada pengarah filem. Hal ini kerana, setiap bunyi harus dibunyikan dalam cerpen, malah harus menggambarkan warna dalam tulisan. Hebatnya pengarang jika mereka boleh setanding dengan pengarah filem, kerana mereka bukanlah kamera.

Rosli mengetengahkan teknik foreshadow dan sangat menyarankan untuk digunakan oleh para pengarang agar cerpen yang dihasilkan menjadi lebih dinamik. Foreshadow bermaksud “dibayangkan” (menurut Federal–Chambers Advanced English Dictionary, 2003), “bayangan hadapan”, “menandakan”, “alamat sebelum kejadian”, atau “membayangkan”.

Contoh paling diingati ialah bau kemenyan yang dihidu oleh watak utama (Kinto) selepas balik daripada berburu dalam novel Senjakala karya Baharuddin Kahar yang menandakan adanya kematian. Bau kemenyan itulah foreshadow yang dimaksudkan. Apabila mengarang, kita perlu mengambil kira hal-hal di sekeliling kita. Kalau watak itu berlari, tunjukkan serta perhalusi duri dan akar yang menjadi rintangan ketika dia berlari. Hal tersebutlah yang akan menjadikan sesebuah cerpen lebih dinamik.

Dalam cerita animasi yang ditayangkan semasa bengkel, wataknya sedang memulakan langkah untuk melalui satu titian kecil yang berada pada aras tinggi. Persoalan bahawa watak itu akan melangkah melalui titian ataupun tidak, dapat diagak oleh penonton dengan adanya gambaran awal sekumpulan burung terbang di atas kepala watak tersebut menuju ke hadapan. Sekumpulan burung yang terbang ke hadapan itulah foreshadownya kerana selepas itu, watak cerita tadi juga bergerak ke hadapan melalui titian kecil yang berbahaya tersebut. Menurut Rosli, foreshadow merupakan salah satu elemen yang sangat bagus diterapkan dalam sesebuah cerita pendek untuk menjadikannya lebih dinamik.

Setiap dialog juga perlu diteliti kepentingannya. Jangan semata-mata untuk memanjangkan cerpen, dialog yang tidak penting juga dimasukkan. Rosli mengakui tidak menemui walaupun sepatah perkataan “itu” dalam novel Mata di Jendela oleh Abu Yazid Abidin (Wijaya Mala). Hal ini bermakna, kemahiran serta ketelitian seseorang pengaranglah yang menentukan kekuatan bahasa karyanya.

Disertakan juga beberapa contoh cerpen yang baik sebagai rujukan, hasil karya para pengarang mapan. Antaranya, cerpen “Di Sisi Rinda” oleh A. Samad Said, “Rokok Daun Celepa Tembakau” karya Azizi Haji Abdullah, dan “Babun” hasil cipta Abdullah Hussain. “Di Sisi Rinda” memuatkan aliran realisme magis dengan baik, yang berupa gabungan antara realiti dengan mitos atau legenda.

Sehubungan itu, aliran penciptaan dalam lapangan lukisan atau catan kelihatan lebih rencam dan berwarna-warni berbanding dengan arena penulisan cereka Malaysia. Aliran cereka yang cukup kuat mendominasi dunia penulisan kita ialah aliran realisme.

Dalam hal ini, Rosli menyenaraikan E Pian Pro Poul dalam kalangan 10 cerpenis terbaik Malaysia setelah membaca cerpen-cerpen E Pian. Beliau juga beberapa kali menyebut Chairil Anwar sebagai sasterawan yang paling dikenang dengan pemberontakannya dalam sajak “Aku”. Baginya, sebuah sajak Chairil sudah cukup untuk dikenali dan diingati sehingga hari ini. Hal itu menunjukkan betapa kuatnya sajak tersebut sebagai sebuah karya sastera.

Rosli menasihatkan, “(Oleh sebab) tidak luas bacaan, Dewan Sastera tidak baca, akhbar tidak baca, sebab itu tidak boleh jadi penulis besar. Perlu baca dan ambil tahu juga tentang kritikan sastera, walaupun tidak mahir. Cerpen kita perlu dibezakan antara karya yang panjang dengan karya yang meleret. Perlu tulis saja dulu.

“Penyebab sukar mengarang kerana penulis pemula ingin memulakannya mengikut turutan A, B, C, D, dan seterusnya. Tulis saja dulu apa-apa juga yang terlintas di kepala. Terus mengarang, dari tengah pun tidak mengapa. Kemudian, boleh dibaiki, dipinda, diterbalikkan atau dibuang pun. Hendak mula di mana? Mulakan di kepala kita, di kepala kita!”

Beliau kemudiannya masuk kepada satu bahagian mustahak dalam penulisan cerpen, iaitu peleraiannya ataupun mengarang kesudahan cerita. Ramai penulis yang dilihatnya gemar menggunakan kaedah dues ex machina untuk memberikan kesudahan atau peleraian kepada cerita.

Rahman Shaari dalam Bimbingan Istilah Sastera (1981) mentakrifkan dues ex machina sebagai “Suatu cara pengarang menyelesai sesuatu cerita, atau sesuatu bahagian dalam cerita, dengan mudah. Pembaca seakan dipaksa menerima penyelesaian itu atas dasar takdir. Kematian Karim dalam Badai Semalam kerana kecelakaan di jalan raya, (iaitu suatu pembalasan bersifat poetic justice), adalah dues ex machina.”

Teknik deus ex machina seolah-olah ada perbuatan mesin, ada unsur tiba-tiba dan kebetulan. Cerpen yang mempunyai unsur dues ex machina ialah karya yang tidak ada nilai menurut Rosli. Cerpen yang mempunyai campur tangan “dewa” sebegini merupakan cara mudah pengarang menyelesaikan ceritanya. Namun begitu, cerpen yang mempunyai campur tangan pengarang sebegini pun ada yang menang hadiah, katanya. Rosli kemudian menegaskan, “Kalau saya, terus terang saya katakan, itu cerpen bodoh.”

Selepas Dr. Fatimah Busu dan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, diikuti E Pian Pro Poul, Rosli hanya menyebutkan S.M. Zakir sebagai cerpenis mutakhir Kelantan yang kuat. Beliau sendiri kemudiannya mengakui “lenguh” membaca cerpen-cerpen Shahnon Ahmad yang berulang-ulang dan sangat halus dan mendalam deskripsinya. Rosli juga turut mengangkat Sasterawan Negara Abdullah Hussain sebagai The Greatest Storyteller. Aspek bahasa dalam penulisan perlu dititikberatkan, seperti ketepatan perkataan, kekuatan dialog dan kekuatan pembinaan cerita. Baginya, gunakan ayat dan percakapan yang berkesan serta elakkan kesalahan ejaan.

Beberapa nasihat berguna Rosli kepada para peserta mengakhiri sesi bengkel kali ini.

“Siap satu cerpen, semak dan dinamikkan bahagian depan dan belakang. Jika diundang ke majlis penyampaian apa-apa hadiah sastera, hadirlah, walaupun kita tidak menang. Hadir untuk bertemu kawan-kawan dan mendengar. Jangan malu. Terus gigih. Kita hendak menulis perlu ada jadual, mesti berdisiplin.”

Berita Berkaitan |

Menekuni Kesusasteraan Bersama Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.