Oleh A. Aziz Deraman
4 September 2021, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Atas pengalaman puisi yang panjang, A. Aziz Deraman memperkenalkan sebuah genre puisi tradisional yang inovatif, “gurindam syair” atau gurinsya.

Istilah memang boleh sahaja dicipta bersumberkan petunjuk daripada apa-apa yang ada dalam bahasa induk, yakni bahasa Melayu atau jika tiada, dirujuk pada bahasa rakyat asal di negara sendiri atau serantau, bahasa-bahasa daerah dan daripada mana-mana dialek Melayu.

Dalam kumpulan puisi persendirian saya, Cakna Budi yang diterbitkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), terdapat sebuah puisi berjudul “Sayangi Ibu Bapa”. Saya agak sukar untuk memberikan kategorinya. Adakah ia sajak atau gurindam atau syair. Ia seperti sebuah gurindam tetapi tidak seperti kelaziman tafsiran pada gurindam. Bukankah gurindam itu dimaksudkan kepada bentuk puisi yang terdiri daripada bait dua baris, manakala syair pula empat baris satu rangkap dengan isinya membawa berbagai-bagai pengajaran dan nasihat? Sajak pula lebih bebas, tiada ikatan aturan sebagaimana gurindam dan syair. Hal itu sudah menunjukkan suatu keunikan dalam proses kreatif sastera Melayu.

Pada masa kini, syair dan gurindam merupakan antara puisi tradisional yang agak terpinggir, sebagaimana masyarakat sedang melupakan nazam. Pada saya, puisi-puisi tradisional seperti syair dan gurindam perlu dihidupkan kembali. Pantun masih tetap bertahan, kekal dihayati dan ciptaannya masih berkembang melalui seni persembahan dikir barat, boria, ghazal, dondang sayang dan bermukun serta masih digunakan semasa diadakan sesuatu majlis. Juga ada bermacam program atau kegiatan yang dianjurkan oleh pelbagai institusi, organisasi dan pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk memajukan genre ini.

Idea menulis puisi “campuran” antara gurindam dengan syair ini terjadi agak spontan. Entah bagaimana cetusan ilhamnya boleh tiba. Ciptaannya memang berbentuk baharu. Ia tidaklah gurindam atau syair per se, tetapi gurindam dalam syair atau gurindam syair. Konsepnya semacam sama sebagaimana gurindam, biarpun tidak pada bentuknya. Ia tetap sebuah puisi, cuma mengambil adunan antara gurindam dengan syair, gabungan ciri-ciri gurindam. Ia tidak lagi dua baris, tetapi lima baris; ada unsur syair pada empat baris kemudian, iaitu sambungan pada permulaan di baris pertama.

Puisi bentuk ini saya anggap sebagai “suatu inovasi dalam proses kreatif” sendiri. Bentuk lima baris untuk satu rangkap itu mengambil baris pertamanya cara gurindam, dan diikuti empat baris bentuk syair lengkap, khususnya dari segi rimanya. Keutamaan jumlah perkataannya yang terbaik tetap empat patah. Sungguhpun begitu, ada kelonggaran sekiranya timbul keperluan, menggunakan tambahan kata untuk menjelaskan maksud, asalkan dengan suku kata yang pendek.

Dalam dunia persuratan Melayu, Raja Ali Haji menggunakan gurindam bagi menyampaikan fikiran dan nasihat kepada keluarga diraja agar menjauhkan sifat-sifat negatif atau tercela (mazmumah) dalam kehidupan (A. Aziz Deraman, Wacana Peradaban Malaysia, 2010:260). Misalnya dalam “Gurindam Dua Belas”, beliau menyebut:

Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itu tandanya hampirkan duka.

 Apabila banyak mencela orang,
Itu tandanya dirinya kurang.

Hampir sama dengan gurindam ialah nazam yang juga banyak menyelitkan nasihat dan kata pesan buat panduan hidup. Misalnya Pak Tenas Effendy, budayawan Melayu Riau-Indonesia, mentafsirkan beberapa tanda “Melayu” dan “kemelayuan” itu. Bagi beliau “Melayu”, antaranya ialah amalan cara hidup yang sederhana, tidak bermewah-mewah, dan mengimbangi kehidupan dunia dengan akhirat:

Apa tanda Melayu jati,
Bermewah-mewah dia tak sudi.

 Apa tanda Melayu jati,
Dunia akhirat hidup serasi.

 Apa tanda Melayu jati,
Tahu dunia akhirat mengerti.

 Apa tanda Melayu terpuji,
Hidup sederhana sampai mati.

Istilah memang boleh sahaja dicipta bersumberkan petunjuk daripada apa-apa yang ada dalam bahasa induk, yakni bahasa Melayu …

Trend menulis syair berputik di hati saya pada tahun 2013, lalu datang idea untuk mengubah “gurindam syair” ini. Syair pertama yang saya tulis ialah semasa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan kemudiannya ke Kertih dan Kuantan pada 20–28 Jun 2013. Syair alam sekitar itu bertajuk “Jerebu Oh Jerebu”, diterbitkan dalam kumpulan puisi persendirian Gelora Nurani (ITBM, 2015) mengandungi 41 rangkap. Manakala dalam buku yang sama, sebuah syair agama berjudul “Ya” ada 12 rangkap, terhasil di Bandar Putra Permai pada 26–31 Julai 2013 (bersamaan 17–22 Ramadan 1434H). Di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), yang saya menjadi Ahli Panel Penyelidikan dan Penerbitan MAIK dan Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat MAIK (sejak tahun 2013), kami juga menerbitkan karya berbentuk syair, Syair Adat Istiadat Kesultanan Melayu Kelantan (2019).

Sewaktu saya menduduki Lembaga Pengarah, Pembangunan Wilayah Segi Tiga JENGKA di Pahang (1990), pihak pengurusan mereka menamakan Balai Orang Ramai sebagai “Balora”, dan di sana ada dewan dinamakan sebagai “Balora Mestika”. Istilah “pawagam” dicipta bagi akronim panggung wayang gambar semasa Allahyarham P. Ramlee sudah berpindah dari Singapura ke Studio Ulu Kelang. Cuba teliti rangkap-rangkap berikut dalam “Sayangi Ibu Bapa” yang saya anggap sebagai gurindam dalam syair, atau “gurindam syair”. Inilah yang saya namakan sebagai gurinsya:

Apakah tanda kita sayangi ibu bapa?
Adakah kerana kita selalu ziarahi kubur
Ketika rumput melata semakin subur
Dipotong dibersihkan dedaun yang gugur
Sedangkan iktibar di hati kian lebur.

Apakah yang sedang mereka harapkan?
Tentulah antara lain ada keampunan
Semoga anak-anak mohon rahmat Tuhan
Agar makbul-Nya jadi terbaik kurniaan
Dalam kembara menuju hari perhitungan.

Bukankah mati setiap makhluk bernyawa?
Tidak mati melainkan dengan izin-Nya
Itulah ketetapan sebagai ajalnya
Yang sudah tertentu masa ketika
Ada bahagian balasan buat semua.

Bentuk seperti di atas mungkin sahaja bermula dengan pertanyaan atau seumpamanya pada baris pertama, bebas rima. Empat baris yang mengekori mengambil rima syair sepenuhnya, dan menjadi kesatuan dalam rangkap yang sama. Saya terfikir untuk memberikannya satu istilah apabila menggabungkan unsur gurindam dan syair ini. Jika tidak, apakah jenis puisi sedemikian boleh dipanggil? Saya meneliti, perlunya ada satu dua pilihan akronimnya. Adakah ia akan menjadi ‘gurinsa’ (gurindam+sajak), ‘sasyarindam’ (sajak+syair+gurindam), ‘sagurindam’ (sajak+gurindam), atau ‘gurinsya’, yakni gurindam dalam syair (seperti yang dimaksudkan tadi). Lebih ringkas lagi ialah ‘gurindam syair’.

Ilham gurinsya saya yang terkini berjudul “Amalan dan Kebajikan”, tertulis di Kota Bharu pada 15–25 Jun 2021 sebanyak 60 rangkap. Gurindam syair ini mengambil tema agama yang membicarakan persoalan tauhid dan aqidah, keimanan dan taqwa, asal usul kejadian manusia, seruan dan tuntutan agama, rukun-rukun dalam Islam, amal ibadat, akhlak, kebajikan, Ulul Albab, dan ancaman balasan Allah SWT terhadap mereka yang kufur. Cuba teliti beberapa rangkap berikut:

Bukankah al-Quran isinya segala?
Allah tegaskan setiap kebenaran
Kisah kejadian hingga ke balasan
Diterangkan sifat-sifat orang beriman
Sembahlah Allah bukan disekutukan.

Bukankah agama di sisi Allah hanya Islam?
Tidak berselisih agama Yahudi-Nasara
Ada kitab-kitab yang mereka terima
Lalu tahu yang sah kebenarannya
Di tolak oleh hasad dengki di dada.

Bukankah Allah berikan peringatan?
Tentang amal ibadah dan kebajikan
Jika berbantahan banyak perselisihan
Kembalilah kalian kepada al-Quran
Ambil pedoman Sunnah Junjungan.

Apakah itu kuasa mengada meniada?
Tentulah Allah Yang Maha Kuasa
Di fikiranmu siapakah lebih berkuasa
Jika lenyap pendengaran dari telinga
Lenyap penglihatan mata menjadi buta.

Di manakah baiknya Haji dan Umrah?
Tertunailah Rukun tegakkan agama
Apabila diri mampu sudah berupaya
Kunjungilah Mekah terbilangnya kota
Ziarahlah Madinah ambil barokahnya.

Bukankah setiap bernyawa rasai mati?
Apabila roh meninggalkan badannya
Tiada lain kecuali tuju ke akhirat jua
Jika tidak terpedaya mewah dunia
Terhindar neraka ertinya ke syurga.

Istilah memang boleh sahaja dicipta bersumberkan petunjuk daripada apa-apa yang ada dalam bahasa induk, yakni bahasa Melayu atau jika tiada, dirujuk pada bahasa rakyat asal di negara sendiri atau serantau, bahasa-bahasa daerah dan daripada mana-mana dialek Melayu. Maka atas prinsip yang sama ini, saya bercadang memilih kata gurinsya (gurindam syair, yakni gurindam dalam syair) untuk puisi berbentuk begini. Hal ini saya serahkan juga kepada pandangan pemikir atau sarjana sastera bagi menetapkan satu istilahnya. Wallahualam.

Baca gurindam syair terbaharu beliau, “Gurinsya Amalan dan Kebajikan”.

_________________________

A. Aziz Deraman atau Dato’ Haji Abdul Aziz Deraman pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1994–2004) dan kini merupakan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Bahtera Madani (DBP, 2001), Kau dan Aku (DBP, 2004), Suara Gunung Kehidupan (DBP, 2014), Gelora Nurani (ITBM,2015), kumpulan esei Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia (DBP, 2002) dan Geger Sokmo (Buku Prima, 2011).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.