Oleh A. Aziz Deraman
4 September 2021, 21:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

I

Bukankah al-Quran isinya segala?
Allah tegaskan setiap kebenaran
Kisah kejadian hingga ke balasan
Diterangkan sifat-sifat orang beriman
Sembahlah Allah bukan disekutukan.

Bukankah aqidah itu keutamaan?
Tauhidkan Yang Esa zat tumpuan
Kepada-Nya makhluk mohon bantuan
Dia tidak beranak tidak diperanakkan
Tiada sekufu tiada setara sepadan.

Bukankah al-Quran tiada kekurangan?
Perkara keimanan amalan kehidupan
Betapa agungnya setiap firman
Untuk manusia terokai pedoman
Petunjuk taqwa hidayah Tuhan.

Bukankah jelas perintah seruan?
Kufurnya al-kafirun tidak mengalah
Jangan sembah yang mereka sembah
Mereka itu penyembah yang diolah
Syirik beribadah bertipu helah.

Bukankah qalamullah kalimah nuzul?
Diturunkan melalui Rasul pilihan-Nya
Lanjutkan kitab-kitab dahulu kala
Zabur Taurat Injil tujuannya sama
Aqidah tauhid kepada Yang Esa.

Bukankah Yahudi-Nasara agama samawi?
Turun di zamannya bagi kesejahteraan
Manusia tetap lakukan kezaliman
Nyata derhaka dalam keingkaran
Rasul-rasul ditentang terang-terangan.

Bukankah agama Allah hanya Islam?
Tidak berselisih agama Yahudi-Nasara
Ada kitab-kitab yang mereka terima
Lalu tahu yang sah kebenarannya
Ditolak oleh hasad dengki di dada.

Bukankah kekufuran mudah berleluasa?
Manusia terjebak nafikan keterangan
Amat suka berhujah bantah seruan
Nabi sampaikan oleh kerana kewajipan
Bagi Allahlah segeranya perhitungan.
Bukankah telah datang seruan Allah?
Wahai orang-orang yang beriman
Taatlah kamu kepada Tuhan
Taatkan para Rasul sebagai utusan
Taatkan Ulil-Amri pemerintah zaman.

Bukankah Allah berikan peringatan?
Tentang amal ibadah dan kebajikan
Jika berbantahan banyak perselisihan
Kembalilah kalian kepada al-Quran
Ambil pedoman Sunnah Junjungan.

II

Apakah di dunia manusia beriman?
Beramal beribadah kerana Tuhan
Sesama manusia berbuat kebajikan
Insafi akhirat itu hari perhitungan
Buat terbaik, baiklah kesudahan.

Apakah diingati asal usul kejadian?
Mula dari Adam sampai masakini
Asal manusia puncanya terbukti
Adam-Hawa pasangan suami isteri
Jangan dihilangkan iman di hati.

Apakah difahami manusia membiak?
Dari Adam-Hawa datangnya keturunan
Zuriat berkembang, lelaki perempuan
Alaf ini berbilion sudah jadi sebutan
Peliharalah silaturrahim kerana Tuhan.

Apakah hakikat kebajikan dan kebaktian?
Bolehkah dicapai sepenuh sempurna
Jika kedekut, diri bakhil, sayangi harta
Ada yang lebih tidak mahu berderma
Allah ketahui tiap sesuatu di sukma.

Apakah Pemurah Allah disangka?
Sifat kupit peluk harta benda
Berlambak banyak peroleh kurnia
Fikirkan bakhilnya lekat sentiasa
Dilihat di akhirat buruk baiknya.

Apakah makna kerjakan amal baik?
Suruhan-Nya hendaklah lakukan segera
Peroleh keampunan dalam redha
Demikian firman cara ke syurga
Seluas langit bumi tidak terhingga.

Apakah infaq itu sebahagian taqwa?
Ya, bertaqwa memang tersedia cara
Buat yang disuruh jauhi larangan-Nya
Pada mereka yang suka berderma
Senang susah bukan diambil masa.

Apakah lagi tanda taqwanya Muslim?
Ya, bertaqwa itu memang bawa citra
Salah satunya orang menahan marahnya
Salah silap orang mudah dimaafkannya
Siapa buat baik, Allah akan kasihinya.

Apakah lagi perilaku orang bertaqwa?
Semasa dilakukan perbuatan keji
Terjun gaung aniayai diri sendiri
Saat sedar segera mengingati Ilahi
Bermunajat mohon dosa diampuni.

Apakah harus pendaman hati?
Ingatlah Allah apa yang diperhati
Apa yang ada di langit dan bumi
Allah rahmati sesiapa dikehendaki
Dia menyeksa Dialah mengasihani.

Apakah amal ibadah wajib dipatuhi?
Antaranya sempurnakan Rukun Islam
Selain shahadatain dirikan sembahyang
Berpuasa Ramadan, zakat dihulurkan
Bila mampu, haji-umrah dikerjakan.

Apakah tanda keyakinan yang teguh?
Pegang Rukun Iman, tersurat tersirat
Percayakan Allah, Rasul, Kitab, Malaikat
Percayakan qada dan qadar, hari Akhirat
Ingati hidup tiba waktu riwayat tamat.

Apakah erti makan atau ambil riba?
Dalam jamu nafsu urusan mahu laba
Diamal yang diharamkan kaedahnya
Kejar faedah untung berlipat ganda
Amalan jahiliyah sejahat-jahat riba.

Apakah itu kuasa mengada meniada?
Tentulah Allah Yang Maha Kuasa
Di fikiranmu siapakah lebih berkuasa
Jika lenyap pendengaran dari telinga
Lenyap penglihatan mata menjadi buta.

III

Dimanakah baiknya selalu solat?
Hari-hari ke bulan berjejak tahun
Menginsafi dosa-dosa bertimbun
Lima waktu tidak ralat terhimpun
Patuhi suruhan berjiwa tamadun.

Di manakah baiknya selalu puasa?
Wajib sunat bulan hari diambil kira
Isnin Khamis hari putih terlaksana
Tekun tidak mipat ke usia tua
Niat  bertaqwa memenuhi dada.

Di manakah baiknya berzakat?
Zakat – sedekah amalan bestari
Ringan tangan hulurkan setiap hari
Hatta orang datang seawal pagi
Senyuman manis tangan memberi.

Di manakah baiknya Haji dan Umrah?
Tertunailah Rukun tegakkan agama
Apabila diri mampu sudah berupaya
Kunjungilah Mekah terbilangnya kota
Ziarahlah Madinah ambil barokahnya.

IV

Baikkah orang suka beri nasihat?
Yang tidak tenteram ada teguran
Atas tingkah laku jelek perbuatan
Hukum dijaga dengan kemampuan
Nasihatkan yang keji cari arah jalan.

Baikkah orang harap limpah kurnia?
Diberikan lebih sebahagian kamu
Banyak harta tetapi tidak ilmu
Hasil kerja bukannya tidak tentu
Allah tahu apa tersimpan di kalbu.

Baikkah orang tunjukkan amal?
Diri berjubah dari pagi ke petang
Wanitanya tutup aurat malam siang
Ke mana saja jaga diri kenali orang
Akhlak bagus tahu kasih sayang.

Baikkah orang beramal ibadat?
Bangun tengah malam tidak mungkir
Solat tahajud sempurnakan witir
Solat tasbih solat hajat dan zikir
Bersihkan diri sucikan batin zahir.

Baikkah orang beramal ibadat?
Setiap masa ke masjid atau surau
Tekad istiqamah waktu dijangkau
Ke majlis ilmu dari hidup  merayau
Tidak sombong bagaikan Pak Malau.

V

Apakah cara amalkan tanggungjawab?
Warisi teladan ibu bapa kaum kerabat
Ukhuwah tolongi kesusahan diperhebat
Kekal tidak luput memberi nasihat
Langkah dakwah sederap tetap.

Apakah cara amalan soleh solehah?
Isteri taatkanlah Allah dan suami
Wajib dipelihara kehormatan diri
Ketika suami tiada di sebelah sisi
Jangan yang salah pula suami cari.

Apakah cara bina kesejahteraan?
Dorongkan rukun hidup aman damai
Nasihat berguna elakkan cerai-berai
Kerjakanlah kebajikan secara landai
Berbakti bantu orang dalam permai.

Apakah cara elakkan ujub riak takabbur?
Apabila timbul sombong rasa agah
Banggakan diri harta melimpah ruah
Jangan dibiarkan iman punah ranah
Mendabik dada akulah bukan sampah.

Apakah cara kukuhkan iman dan taqwa?
Buatlah apa disuruh jauhilah larangan
Agama tetapkan halal haram itu ajaran
Hukama ditanya siapakah seburuk insan
Dijawab lihatlah orang gendong kekejian.

Apakah cara kukuhkan iman dan taqwa?
Tanya diri siapakah orang yang baik
Rasa tanda buruk di dirinya berbelit
Waspadai hati tidak berbolak balik
Zikir bawa hati tenang tidak sakit.

Apakah Allah Pemaaf dan Pengampun?
Keras dosa di dada berbatu karang
Membesar di hati tidak berkurang
Jika tidak dirasakan Allah Penyayang
Ambillah tahu di mana diri kecundang.

Apakah manusia tahu saat diri ikhlas?
Di mana atau bilanya ikhlas datang
Kuat amal ibadat tidak kenal jurang
Buat kebajikan pada alang kepalang
Masa amalan diri tidak terkandang.

Apakah kerja kebajikan Allah terima?
Tidak siapa tahu yang mana satu
Bilakah masa dan di mana tertentu
Teruskanlah tanpa perlu menunggu
Kebajikan demi Tuhan Yang Satu.

Apakah cara ikhtiar di semua keadaan?
Mohonlah berlindung kepada  Tuhan
Tidak semua perkara dalam pengetahuan
Insaf diri banyak kelemahan kekurangan
Akan kerugian jikalau tiada keampunan.

Apakah dirasa orang lebih sempurna?
Kalau di bahtera selamat dipinta
Bukan azab yang amat pedihnya
Berkat kesenangan hidup di dunia
Pelihara diri dari tabiat tercela.

VI

Bolehkah dikatakan kita paling buruk?
Ada kalangan manusia simpan fikiran
Sikap molek bersihkan dosa perbuatan
Comel amalan jadi saksi kebenaran
Padahnya buruk jika ingkari Tuhan.

Bolehkah kita katakan perbaiki diri?
Beriktikad tiada Tuhan selain daripada-Nya
Dari bahan-bahan bumi kita dijadikan-Nya
Tiada pergerakan makhluk melainkan kuasa-Nya
Perbaiki diri membantu orang lain sama.

Bolehkah kita wujudkan keikhlasan hati?
Teliti seruan kepada kaum terdahulu
Sembahlah kalian Allah Yang Satu
Kenapakah dibantah Rasul-rasulmu
Mereka pembawa penyuluh hala tuju.

VII

Bagaimanakah diperoleh redha Allah?
Berikhtiar berdoa menaruh tawakal
Panjatkan harap dengan rasa tekal
Hidup bersama makmur terkawal
Perbuatan syirik jangan diamal .

Bagaimanakah latih diri jadi tawaduk?
Selalu mohon ampun pandang Allah
Aqidah dan tauhid yang tidak terbelah
Lawanlah ujub takabbur jangan beralah
Buangkan riyak sejauh-jauh arah.

Bagaimanakah kelembutan kasih sayang?
Hubungan sesama insan berikan salam
Salam sejahtera ke atas anda sekalian
Pupuk persahabatan perkukuh setiakawan
Jadikannya nilai budaya sebagai amalan.

Bagaimanakah menjadi lebih dewasa?
Awasi tidak pelik sewaktu bertindak
Cemas suasana sampai orang muak
Kelihatan perangai cara budak-budak
Suara terlolong seumpama badak.

Bagaimanakah elokkan tingkah laku?
Cari jalan petunjuk suruhan Allah
Rahmat-Nya sinar cahaya melimpah
Banyaknya eloknya mengubah tingkah
Ketepikan mazmumah ambil mahmudah.

Bagaimanakah dibawa sisa usia?
Pecahkanlah ruyung kaut sagunya
Itu hikmah madah orang tua-tua
Bijak pimpinan bawa orang bersama
Tumpang kasih gerak daya usaha.

Bagaimanakah dielak orang hiba?
Hatinya tidak sakit kerana kita
Kata atau tulisan tiada cerca
Maju mundur langkah bergaya
Sama bertahan angkara binasa.

VIII

Bagaimanakah dikenali Ulul Albab?
Sungguhlah pada kejadian langit bumi
Kebesaran Pencipta manusia renungi
Disaksikannya pada pertukaran hari
Malam siang bertukar tidak terperi.

Bagaimanakah dilihat segala tanda?
Seperti firman-Nya Dialah berkuasa
Ada tanda Bijaksana luas hemah-Nya
Orang-orang berakal memikirkannya
Tidak semua ini, Dia jadikan sia-sia.

Bagaimanakah dikelih setiap kejadian?
Manusia memandang mulut menyebut
Kenangi Allah waktu berdiri dan duduk
Berbaring mengiring buat hati runduk
Tidak lupa kerbau lembu itu bertanduk.

Bukankah harus perlu sikap diambil?
Tambahkan keimanan tidaklah jemu
Tidak bersimpang siur jalan tuju
Hati manusia hanya Allah tahu
Kembali pada-Nya jika terkeliru.

Bukankah pada fikiran manusia?
Tiba azab Allah tanpa menyangka
Atau secara terang datang menerpa
Tahu siapakah kelak akan binasa
Kaum penzalim pendusta derhaka.

Bukankah setiap bernyawa rasai mati?
Apabila roh meninggalkan badannya
Tiada lain kecuali tuju ke akhirat jua
Jika tidak terpedaya mewah dunia
Terhindar neraka ertinya ke syurga.

Kota Bharu
15–25 Jun 2021

 

Penyampai Gurinsya I | Zafirah Bahiah Hassan

Penyampai Gurinsya II | Raihani Mohd Saaid

Baca proses kreatif ciptaan gurinsya di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.