Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Perlis telah dimenangi oleh Nor Fa’alina Abu Hassan, pensyarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Citra Jiwa Merdeka” karya Abdul Karim Ghulam. Selain itu, Nor Fa’alina menerima wang tunai RM1000 sekali gus mewakili Perlis untuk ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Kebangsaan 2021. Kehebatan deklamasi puisi beliau terserlah apabila Nor Fa’alina menampilkan gaya srikandi yang tangkas dengan busana pahlawan serba hitam.
Naib Johan pula disandang oleh Noryusri Mansor, guru Pendidikan Islam di SMK Syed Hassan yang mendeklamasikan puisi “Landskap Bangsa” karya Mohamad Saleeh Rahamad. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nor Nubailah Nasri, guru SMK Abi yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Naratif Ogos Seorang Helang” karya Zainal Rashid Ahmad. Hadiah sagu hati dimenangi oleh dua peserta, Mohammad Firdaus Roslee dan Afifah Abdullah.
Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Perlis telah berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook rasmi Persatuan Penulis Perlis (3P) pada 15 Ogos 2021. Penganjuran sayembara deklamasi bagi peringkat akhir ini telah disertai oleh 11 orang peserta. Penganjurannya telah dijayakan oleh 3P dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPS), Majlis Kebudayaan Negeri Perlis (MKNP), dan Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNP).
Persatuan Penulis Perlis merupakan penggerak utama acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh pendeklamasi yang diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan pada setiap tahun. Sayembara kali ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Asmaiza Ahmad, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.
Pusingan awal sayembara bermula dari 15 Julai hingga 1 Ogos 2021, menyaksikan seramai 20 orang peserta terpilih untuk mendeklamasikan puisi menerusi rakaman video. Seterusnya, 20 rakaman video tersebut dinilai oleh barisan juri untuk melayakkan mereka ke peringkat akhir sayembara. Lebih membanggakan, acara kali ini turut disertai oleh pendeklamasi puisi kaum Cina dari Perlis, seperti Kam Yit Lan yang berjaya terpilih ke peringkat akhir dan Li Yin Yeap yang berjaya terpilih ke peringkat saringan.
Semoga penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Perlis terus melahirkan ramai pendeklamasi puisi, selain terus memartabatkan dunia puisi Melayu moden di Perlis.
Tonton persembahan penuh acara sayembara di sini.