Oleh Salman Sulaiman
29 Ogos 2021, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Liga Penulis Kelantan (LPK) yang mula muncul dalam arena sastera Kelantan sejak tahun 2018 sentiasa memeriahkan perkembangan kesusasteraan negeri tersebut dengan pelbagai program persuratan, diskusi dan bimbingan penulisan kreatif. LPK dipengerusikan oleh Mohd Dahri Zakaria yang merupakan aktivis sastera dan perbukuan yang tidak asing lagi dalam kalangan para penulis dan sasterawan, terutamanya di negeri Cherang Tegayong tanah Tok Janggut, Kelantan Darul Naim.

Kini, Liga Penulis Kelantan meneruskan lagi program membina pelapis baharu dalam jagat penulisan kreatif melalui Bengkel Cerpen Hujung Minggu yang dibimbing oleh pengarang yang cukup dikenali, iaitu Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari. Rosli merupakan sasterawan serba boleh Kelantan yang menulis dalam pelbagai bidang penulisan kreatif. Acara yang diadakan melalui ruang maya Google Meet ini merupakan siri ke-2, lanjutan daripada edisi pertamanya minggu lalu yang telah dirasmikan oleh Dato’ A. Aziz Deraman, Presiden PERADABAN. Program yang bermula pukul 9.00 malam pada 26 Ogos 2021 itu berlanjutan hingga sekitar jam 11.00 malam, diakhiri dengan sesi soal jawab. Ceramah pembukaan yang disampaikan oleh Rosli berkisar perihal pengenalan tentang perkembangan kesusasteraan Melayu moden di Malaysia sejak awal tahun 1800.

Perkembangan kesusasteraan Melayu moden seawal zaman Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi turut diperinci dengan panjang lebar oleh Rosli. Lebih menarik, karya pertama Abdullah berjudul Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan menampilkan kembaranya menggunakan kapal laut ke Kelantan. Beliau sendiri menyanggah pendapat kebanyakan sarjana yang mengangkat Abdullah Munsyi sebagai pelopor sastera Melayu moden, malah pandangan Profesor Naquib al-Attas yang meletakkan Hamzah Fansuri sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu juga turut tidak dipersetujui Rosli.

Rosli K. Matari

Bagi Rosli sendiri, pelopor kesusasteraan Melayu moden ialah Ahmad Rijaluddin yang mengarang Hikayat Perintah Negeri Benggala dan dikarang 27 tahun lebih awal daripada karya Abdullah Munsyi tadi, iaitu sekitar tahun 1811. Naskhah tersebut kemudiannya diterbitkan oleh John Crawfurd di Pulau Pinang berdasarkan transliterasi yang dibuat oleh C. Skinner daripada manuskrip asal yang tersimpan di British Library, London. Namun begitu, menurutnya, karya Abdullah Munsyi tersebut tetap mempunyai nilai kesenian dan keintelektualan yang tinggi serta turut mengandungi kritikannya terhadap raja-raja Melayu.

Beliau kemudian turut memuji sumbangan Kassim Ahmad, selain sebagai penyair tersohor yang aktif berkarya seawal dekad 60-an dan 70-an, Kassim jugalah yang bertanggungjawab melakukan kajian dan transliterasi terhadap naskhah Hikayat Hang Tuah yang sampai ke tangan kita hari ini. Malah, Kisah Pelayaran Abdullah yang pernah diterbitkan oleh Oxford University Press pada tahun 1960 itu juga merupakan hasil kerja Kassim Ahmad.

Bahasan yang panjang lebar turut dikemukakan tentang kemunculan karya awal dalam bidang penulisan novel, cerpen, sajak dan drama. Penulis dengan nama Madrasi atau nama sebenarnya Nor bin Ibrahim yang bertanggungjawab menghasilkan cerpen “Kecelakaan Si Pemalas” (Pengasuh Jilid 2 Bil.40, 4 Februari 1920) dianggap sebagai cerpen paling awal disiarkan di media cetak. Namun, kata Rosli lagi, kajian lebih mendalam perlu dilakukan bagi mengesahkan benar atau tidak dakwaan yang mengatakan pengarang tersebut juga merupakan Mufti Kelantan pada ketika itu.

Rosli sendiri sebagai penulis mengakui bahawa beliau ketika di tingkatan empat sudah pun menulis skrip drama radio. Salah satu kenyataan Rosli yang mengejutkan dalam ceramahnya itu ialah penegasan beliau tentang kepenyairan Rudi Mahmood.

Menurutnya, Rudi merupakan penyair nombor satu Malaysia dan jika dibandingkan dengan Latiff Mohidin sekalipun, Rudi jauh lebih hebat. Menurutnya lagi, generasi penulis yang ada hari ini masih belum dapat menandingi generasi penulis yang muncul pada dekad 70-an, kerana dari sanalah lahirnya Muhammad Haji Salleh, Kassim Ahmad, Latiff Mohidin dan beberapa nama lagi yang memberikan jejak yang begitu berbekas pada sastera Malaysia sehingga ke hari ini.

Bagi Rosli, generasi penulis 1980-an ialah generasi yang paling malang dalam sejarah kesusasteraan kita kerana seperti tidak ada langsung diperkatakan berkenaan penulis generasi tersebut. Pesannya kepada para penulis muda, “Bacaan mesti luas. Penulis apa jika tidak mahu membaca. Perlu cekal, dan cari identiti dalam satu-satu bidang (penulisan) yang diceburi.”

Bengkel anjuran Liga Penulis Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan PERADABAN ini mendapat sambutan baik daripada para penulis dalam negeri dan juga dari luar Kelantan. Turut ikut serta sebagai peserta-penonton kali ini termasuk Abdul Razak Othman, Tuan Siti Mastazameatun, Wee Soo Lian, Mohd Zuharman, Zaidi Ismail, Nik Hafiz, Haji Ezani Haji Daud, Abu Haikal, Suhaimi Ibrahim, Chu E. Liang, dan salah seorang Ahli Lembaga Koordinator LPK sendiri, N. Faizal Ghazali (sekadar menyebut beberapa nama). Seorang lagi Ahli Lembaga Koordinator LPK, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub (Nimoiz T.Y) bertindak sebagai pemudah cara sekali gus menguruskan bahagian teknikal bengkel, dan turut dibantu oleh Ikhram Fadhly Hussin bagi pihak DBP Wilayah Timur sebagai penganjur bersama.

Bengkel ini akan diteruskan lagi pada waktu yang sama minggu hadapan, iaitu pada hari Khamis jam 9.00 malam dengan tumpuan kepada kesusasteraan Kelantan secara khusus, sebelum panel bercakap tentang penulisan cerpen dengan lebih mendalam pada minggu-minggu yang seterusnya. Kepada para penulis pemula tanpa mengira usia yang berminat untuk menjadi peserta bengkel istimewa ini, boleh rujuk halaman Facebook Liga Penulis Kelantan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.