26 Ogos 2021, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan deklamasi sajak dan dendangan syair telah biasa dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bahkan kedua-dua pertandingan ini juga banyak dianjurkan oleh institusi lain yang sentiasa menyokong perkembangan bahasa dan sastera tanah air. Tetapi, dalam situasi pandemik yang melanda seluruh dunia hari ini, konsep dan kaedah persembahan pertandingan ini perlu disesuaikan dengan norma baharu. Bagi menyebarkan maklumat tentang petua dan kaedah persembahan yang baik dalam kedua-dua persembahan ini, DBP telah membincangkan hal ini dalam rancangan Yang Lama Dijunjung, “Gemilang Puisi Melayu” yang bersiaran secara langsung di media sosial DBP pada 24 Ogos 2021, pukul 10.00 pagi.

Rancangan tersebut telah menampilkan tokoh terkenal, iaitu Roslan Madun, ahli dalam dendangan syair dan Zaen Kasturi, tokoh dalam deklamasi sajak. Bual bicara ini merupakan perkongsian dari sudut pandangan kedua-dua tokoh ini yang biasa menjadi panel juri dalam pertandingan yang diadakan. Kedua-dua panel memberikan panduan kepada guru pembimbing dan peserta untuk mempersiap diri dalam pertandingan tersebut dari segi fizikal dan mental.

Pertandingan Deklamasi Sajak dan Dendangan Syair peringkat kebangsaan bersempena dengan Pertandingan Koakademik yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berlangsung pada 25 dan 26 Ogos 2021. Pertandingan ini buat julung-julung kalinya diadakan secara dalam talian. Berikutan hal ini, beberapa perkara telah diperbaharui berdasarkan kesesuaian pertandingan. Hal ini kerana, pertandingan yang berlangsung secara maya ini memberikan beberapa impak baharu dalam dunia penyampaian puisi kerana peserta hanya beraksi di hadapan lensa kamera sahaja tanpa khalayak yang menonton secara bersemuka.

Roslan Madun

Seperti pertandingan yang diadakan sebelum ini, setiap acara yang dipertandingkan pasti akan diberikan penilaian berdasarkan syarat yang telah ditetapkan. Menurut Roslan Madun, syarat pertandingan telah diberikan pembaharuan bagi memantapkan lagi kaedah penjurian pertandingan mengikut konteks situasi kini. Beliau turut menegaskan, para peserta remaja perlu lebih fokus mendendangkan syair mengikut wajah tersendiri sebagai tukang cerita semasa mendendangkan syair.

Zaen Kasturi pula menyatakan, apabila berhadapan dengan pertandingan deklamasi sajak kelaziman baharu seperti ini, asas persediaan awal adalah sama seperti pertandingan di atas pentas, cuma perlu diberikan kelainan baharu dari bentuk visual video yang dipersembahkan untuk melihat kreativiti peserta.

Tegasnya lagi, perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pendeklamator ialah bentuk suara yang dilontarkan dan juga gaya yang dipamerkan. Pemarkahan dinilai berpaksikan dua bentuk tersebut. Dalam kupasannya, suara pendeklamator perlu mempunyai daya tarikan dan jiwa apabila menyampaikan bait-bait sajak tersebut. Lontaran suara dinilai dari sudut nada, vokal, artikulasi dan kelancaran dalam persembahan. Jelasnya lagi, teknik dan gaya persembahan di atas pentas berbeza daripada yang dipersembahkan secara maya. Teknik dan gaya persembahan akan dinilai mengikut kesesuaian sajak dan video yang dipaparkan. Beliau menyatakan lagi, aspek keharmonian suara dan visual persembahan yang menarik akan memberikan nilai tambah kepada peserta dan boleh memikat panel juri untuk memberikan markah yang baik.

Zaen Kasturi

Dari sudut syarat pertandingan dendangan syair pula, Roslan Madun memaklumkan semua peserta perlu akur dengan syarat yang telah ditetapkan. Perubahan syarat pertandingan diinovasikan mengikut zaman. Tegasnya lagi, konsep pertandingan  berbeza daripada persembahan yang bersifat santai. Namun, beliau mengingatkan peserta supaya menjaga ketertiban dalam persembahan. Peserta perlu ada kreativiti apabila mendendangkan syair, terutamanya semasa mendendangkan irama syair tersebut. Peserta juga perlu menguasai irama syair tersebut supaya tidak tersasar daripada irama yang telah dipilih. Beliau turut menambah bahawa antara aspek pemarkahan yang dinilai termasuklah kreativiti persembahan peserta dan visual, kualiti suara, irama, lenggok dendangan, kualiti muzik, artikulasi kata, teks puisi, penghayatan, dan kelancaran.

Kedua-dua panel turut menyeru agar para peserta membuat persediaan yang secukupnya supaya tidak merencatkan persembahan kelak. Kedua-dua panel juga menegaskan, peserta perlu yakin dan tenang semasa membuat persembahan untuk mengelakkan berlakunya kesilapan. Dalam hal ini, Roslan juga mengingatkan guru pembimbing supaya melihat kemampuan pelajar ketika memberikan bimbingan kepada mereka.

Tonton bual bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.