Oleh Adib MN
24 Ogos 2021, 22:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketika penggal kedua George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) berakhir, ramai pelawak dan penulis jenaka politik termasuk penggiat komediri (stand-up comedy) mengeluh kerana “hilang” sumber inspirasi mereka selama hampir satu dekad.

Hal ini kerana Bush banyak melakukan malapropisme atau sasulan berlebihan, bahkan aksinya juga menjadi bahan lelucon termasuk dalam rancangan bicara larut malam, selain langkah politik yang diambil oleh Rumah Putih di bawahnya (siapa boleh lupa dengan kain rentang “Mission Accomplished” di kapal induk pesawat udara sebagai tanda kemenangan misi AS di Afghanistan – apatah lagi perkembangan terbaharu Taliban yang berjaya menguasai kembali negara berkenaan).

Bagi penulis jenaka politik, pelawak dan penggiat komediri, bagaimana mungkin mereka dapat meneruskan seni itu tanpa Bush melakukan malapropisme, malah Rumah Putih kemudiannya ditadbir oleh Barrack Obama yang memiliki karisma serta berkaliber?

Namun, ternyata ahli politik mana sekalipun mempunyai potensi, bahkan risiko untuk mengeluarkan kenyataan lucu atau mengambil tindakan menggelikan hati walaupun ia bukanlah tujuan sebenar mereka.

Bagaimana pula dalam konteks penerbitan buku politik? Sejauh mana ketiadaan watak politik yang menarik untuk disorot atau dikritik, khususnya yang memberikan kesan negatif pada pasaran buku politik?

Kita berkesempatan melihat hal ini apabila Donald Trump tersungkur dalam Pilihan Raya Presidennya pada tahun lalu, sekali gus gagal meneruskan penggal kedua selepas tewas kepada Joe Biden.

Tulisan Alexandra Alter dalam The New York Times menarik untuk dibaca apabila mencatatkan, ketika Biden mengambil alih Rumah Putih, penerbit di AS mengalami senario sama yang dihadapi oleh penulis jenaka politik, pelawak dan penggiat komediri lebih 10 tahun lalu.

Hal ini kerana, sepanjang tempoh pentadbiran Trump, penerbitan buku politik meraih laba besar kerana banyak buku politik laris di pasaran, termasuk karya pendedahan oleh wartawan veteran Bob Woodward dan Michael Wolff, serta memoir oleh bekas Penasihat Keselamatan kepada Trump, John Bolton dan anak saudara bekas presiden terbabit, Mary Trump, yang mencatatkan jualan jutaan naskhah.

Pada tahun lalu sahaja, buku politik terjual sebanyak 10.5 juta naskhah dalam bentuk cetak mahupun e-buku di AS berdasarkan data NPD Bookscan, meningkat daripada 6.1 juta pada tahun 2019. Malah, The Marker melaporkan lebih 1 ribu judul mengenai Trump diterbitkan dalam tiga tahun pertama pentadbirannya, berbanding 450 judul mengenai Obama dalam tempoh tiga tahun terawal di Rumah Putih.

Bagaimana pula dengan era Biden? Seperti dijangka, tulis Alter, jualan buku politik jatuh dalam tujuh bulan pertama sejak beliau mengambil alih Rumah Putih dalam pilihan raya yang mencatat sejarah, termasuk perubahan besar dalam cara mengundi.

Namun begitu, penerbit tidak berpeluk tubuh, sebaliknya tetap agresif memasarkan genre ini, terutamanya trend penerbitan buku oleh pengarang konservatif yang biasanya meningkat apabila ahli politik Demokrat menuani kerusi panas di Pejabat Oval, Rumah Putih.

Presiden dan Penerbit Syarikat Penerbitan Regnery yang menerbitkan karya konservatif, Thomas Spence, berkata lebih mudah untuk menjual buku politik apabila pembacanya berada dalam posisi pembangkang dan terasa tergugat serta lebih bereaksi dan marah.

Oleh itu, Spence seperti dipetik Alter berkata, tempoh dua suku pertama tahun ini sangat baik kepada mereka.

Hal ini termasuklah Penerbit Simon & Schuster yang berjaya menandatangani perjanjian penerbitan dua buah buku dengan bekas Naib Presiden AS, Mike Pence yang menjadi penyokong kuat Trump meskipun pada akhir pentadbirannya tidak terlepas daripada dikritik oleh Trump sendiri.

Malah, penerbitan era pasca-Trump di Rumah Putih juga tertunggu-tunggu bagaimana pula dengan memoir bekas Presiden AS itu sendiri yang bukan sahaja terkenal dengan status Twitter kontroversi sehingga sering dipadamkan oleh media sosial itu, bahkan mewujudkan apa yang dikenali sebagai “Post-Truth” atau pascakebenaran.

Seperti yang ditegaskan oleh Alter, penerbit kini berlumba-lumba untuk menandatangani perjanjian penerbitan buku oleh pengarang konservatif, malah mereka seperti tergesa-gesa untuk menulisnya. Hal ini termasuklah buku oleh menantu Trump, Jared Kushner yang turut menjadi bekas penasihat bapa mentuanya dan terbabit secara aktif dengan pelan damai Trump di Timur Tengah, khususnya Perjanjian Abraham serta normalisasi negara Arab dengan Israel.

Walau bagaimanapun, penganalisis di Kristen McLean menjangkakan trend polarisasi ideologi dan isu sosial akan terus memacu jualan buku untuk kedua-dua aliran politik, sekali gus memberikan khabar gembira kepada penerbit buku di AS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.