Oleh Fadli al-Akiti
9 Ogos 2021, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Penggiat Sastera Johor dalam Anugerah Sastera Johor (ASJ) Ke-12 bagi tahun 2021. Anugerah khas ini yang merupakan anugerah persuratan tertinggi dari negeri Johor diumumkan oleh YAB Datuk IR. Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor.

Penganugerahan ini diberikan kepada Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan atas berkat usaha dan konsistensi beliau dalam perjuangan mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan tanpa mengira konteks perubahan global kini.

“Syabas kepada Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Usaha dan keringat perjuangan yang dicurahkan selama ini sungguh besar ertinya kepada kita semua. Perjuangan beliau wajarlah diteladani oleh semua pihak,” ucap Datuk Hasni.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menjadi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di Universiti Pengajian Asing Beijing, China, Ketua Pengarah DBP, Profesor Bahasa di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya, tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Karyanya terdiri daripada lebih 60 judul buku dan lebih seribu makalah. Antara buku tulisannya termasuklah Ceritera Bahasa, Warna dan Suasana: Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia, Sintaksis Bahasa Melayu Bersumberkan Karya Sastera, Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam, dan Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Beliau turut menghasilkan buku puisi, iaitu Mencari Makna Diri dan Di Denai Kehidupan.

Tokoh bahasa dan persuratan negara ini membawa balik hadiah wang tunai berjumlah RM6000. ASJ kali ini dibuat secara maya menerusi Facebook Yayasan Warisan Johor pada hari Ahad, 8 Ogos 2021 berikutan pandemik COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.