Oleh Adib MN
28 Julai 2021, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Novel pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2017, Kazuo Ishiguro bakal bersaing dengan 12 lagi karya yang disenarai panjang dalam Hadiah Booker 2021.

Pengarang British kelahiran Jepun yang sebelum ini memenangi Hadiah Booker 1989 dengan The Remains of the Day, kali ini mempertaruhkan novel terbaharunya, Klara and the Sun.

Selain Ishiguro, bekas pemenang Hadiah Booker yang disenaraikan ialah pengarang Amerika Syarikat, Richard Powers, dengan novelnya, Bewilderment. Powers memenangi hadiah edisi 2018 lewat The Overstory.

Karya kedua-dua pengarang itu bakal diadili bersama-sama dengan novel A Passage North oleh Anuk Arudpragasam; Second Place (Rachel Cusk); The Promise (Damon Galgut); The Sweetness of Water (Nathan Harris); An Island (Karen Jennings); A Town Called Solace (Mary Lawson); No One is Talking About This (Patricia Lockwood); The Fortune Men (Nadifa Mohamed); China Room (Sunjeev Sahota); Great Circle (Maggie Shipstead); dan Light Perpetual (Francis Spufford).

Pemenang bakal membawa pulang hadiah wang bernilai £50,000 (RM292 000), tetapi nilai itu jauh lebih kecil daripada sorotan dan tumpuan yang bakal diberikan oleh khalayak pembaca antarabangsa, termasuk meningkatkan serta melambungkan jualan naskhah di seluruh dunia.

Buku yang dicalonkan dalam hadiah ini bakal diadili panel juri yang diketuai oleh sejarawan Maya Jasanoff; dan dianggotai oleh pengarang dan editor, Horatia Harrod; pelakon yang terkenal dengan filem Ronin dan The Truman Show, Natascha McElhone; novelis yang pernah dua kali disenarai pendek dalam Hadiah Booker, Prof. Chigozie Obioma; serta penulis dan mantan Biskop Besar, Rowan Williams.

Jasanoff berkata, elemen yang menyatukan semua novel yang disenarai panjang itu ialah kekuatan untuk menarik pembaca menyelami kisah yang unik dengan cara penuh seni dan suara tersendiri.

“Ramai dalam kalangan mereka yang mampu melihat cara manusia bergelut dengan masa lalu – sama ada melalui pengalaman peribadi yang sarat duka nestapa dan keterasingan dengan warisan sejarah kesan penghambaan, dasar aparteid dan perang saudara.

“Begitu juga ramai yang mencerakinkan hubungan keakraban yang diuji dengan tekanan sehingga dijadikan landasan untuk merenung idea kebebasan dan tanggungjawab atau apa-apa yang menjadikan kita sebagai manusia.

“Tentu yang paling ketara ketika melalui pandemik ini, wajar untuk dinyatakan semua buku ini memiliki suara penting dalam mengungkapkan sifat masyarakat daripada dunia kecil dan terasing hinggalah ruang maya yang luas tanpa sempadan,” katanya, seperti yang dipetik dalam kenyataan di laman web The Booker Prize.

Jasanoff menegaskan, membaca buku-buku itu ketika menjalani sekatan pergerakan menimbulkan perasaan hubungan kuat dengan karya berkenaan, sekali gus mencetuskan perasaan bersama dalam kalangan hakim.

“Meskipun kami tidak selalunya memberikan reaksi sama terhadap pilihan yang diambil oleh seseorang pengarang dalam karya itu, setiap buku yang disenaraikan ini mencetuskan perbincangan panjang buat kami, yang membawa kepada arah tuju tidak terjangka dan mencerahkan.

“Kami teruja untuk berkongsi senarai yang pastinya menarik perhatian selera pembaca dan kami berharap ia akan memacu lebih banyak perbincangan selepas pembaca menyelongkar karya-karya ini,” katannya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Hadiah Booker, Gaby Wood dalam kenyataan yang sama menokok pandangan bahawa senarai panjang hadiah itu beberapa tahun kebelakangan ini, menarik perhatian khalayak terhadap elemen baharu dalam novel, iaitu bereksperimen dengan bentuk, bermain dalam genre yang tidak pernah wujud dan pengarang baharu.

“Senarai tahun ini juga terserlah dengan kisah yang mengasyikkan dari sudut pandang geografi dan pengiktirafan pengarang yang berkarya dengan standard yang sangat tinggi selama bertahun-tahun.

“Sebahagiannya sudah pun menerima pelbagai anugerah seperti Hadiah Nobel, Pulitzer dan lain-lain. Dua daripada mereka adalah dalam kalangan penulis baharu tetapi ramai yang sudah pun berada dalam lingkaran Booker sebelum ini.

“Melihat semuanya disatukan dan mendengar suara mereka dalam buku-buku ini bermakna kita mengetahui sastera kekal berada di pena pengarang mampan serta kreatif,” katanya.

Pengarang yang dimaksudkan Wood itu sudah tentu selain Ishiguro dan Poers ialah Damon Galgut yang disenarai pendek melalui The Good Doctor pada tahun 2006 dan In a Strange Room (2010); Mary Lawson (disenarai panjang pada tahun 2006 lewat The Other Side of the Bridge); serta Sunjeev Sahota (disenarai pendek pada tahun 2015 dengan novel The Year of the Runaways).

Senarai panjang Hadiah Booker 2021 ini akan disaring dan diumumkan sebagai senarai pendek pada bulan September ini, manakala pemenang akan dinobatkan pada 3 November depan.

Senarai itu dipilih daripada 158 novel yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland antara 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2021 tanpa mengira kewarganegaraan penulisnya, asalkan dalam bahasa Inggeris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.