Oleh Awang Sariyan
22 Julai 2021, 00:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa bukan sekadar deretan bunyi-bunyi
yang terbit daripada artikulasi
Bahasa bukan sekadar deretan aksara
yang ternukil mewakili suara
Bahasa buka sekadar yang tertanggap oleh indera
oleh telinga dan oleh mata.

Bahasa
sesungguhnya cerminan akal budi
pancaran diri dan pekerti
asas jati diri
paksi makna diri.

Bahasa
juzuk diri yang hakiki
ternurani pada akal yang rohani
tika roh pada jasad belum bersemadi
menjadi pengantara Khaliq dan makhluk berkomunikasi
tentang ketuhanan Tuhan anak adam bersaksi:
Alastu birabbikum; qalu bala syahidna.

Maka itu
usahlah dipersempit gagasan bahasa
pada lambang-lambang yang arbitrari.
Usahlah diperkecil daerah selidiknya
pada yang tampak di zahir diri.
Usahlah dipinggirkan di dunia sepi
tika membangun ekonomi
tika melonjakkan martabat diri
tika membina acuan madan dan hadhari.
Usah dibiarkan bahasa kita hanyut mencari nasibnya sendiri
dirempuh tsunami globalisasi
tersirna dalam kealpaan sendiri
dek terkesima dalam mencari tamadun mithali
hingga lupa akan sejarah gemilangnya sejak zaman bahari
lupa akan tamadun yang telah bersemi
dalam wacanan bahasa Melayu yang alami
dengan barisan pujangga bestari –
Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf al-Singkili
Syamsuddin al-Sumaterani
Syeikh Abdul Samad al-Banjari, Syeikh Daud Fatani,
Raja Ali Haji
dan warisnya hingga kini.

Marilah kita lestarikan
sendi tamadun dan akal budi bangsa
anugerah Allah Rabbulalamin
dalam membina jati diri
dalam membina kekuatan peribadi
dalam membina harga diri.

Puisi penutup Syarahan Raja Ali Haji Ke-14,
15 September 2005/11 Syaaban 1426,
terbit dalam majalah Dewan Bahasa,
Julai 2001:4.

Puisi ini merupakan antara 55 puisi yang terhimpun dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.