19 Julai 2021, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Selang semesta, Parlimen Puisi sudah buka. Kawan-kawan kita setiakawan untuk #Lawan, tak kira dari bucu katil atau di lapangan. Sedia untuk angkat puisi dan tunjuk perasaan dengan #PuisiDarurat. Nyalakan api revolusi meski dari bilik tidur!” Itulah bait-bait yang banyak berlegar dalam internet, memanggil para penggiat puisi untuk turut serta dalam gerakan Puisi Darurat.

Puisi protes, puisi yang menggambarkan rasa melawan, defensif dan agresif seorang penulis disuarakan dengan penuh emosi dan perasaan. Rata-rata masyarakat tempatan di serata negara bersama-sama menyemarakkan suasana menyuarakan pemikiran dan perasaan yang terpendam dek tekanan sosial, ekonomi, politik dan pandemik melalui puisi dan sajak.

Walaupun dunia semasa sedang bergelut dengan serangan pandemik, komuniti peminat puisi tempatan tidak menjadikan hal itu sebagai halangan untuk berkumpul dan berkongsi tulisan. Pada 17 Julai 2021 (Sabtu), gerakan yang disertai oleh lebih daripada 700 pengguna media sosial Twitter dan Facebook (setakat jam 10.00 malam) telah memulakan inisiatif mereka pada jam 3.00 petang. Para pengguna yang terlibat membuat hantaran dengan tanda pagar #PuisiDarurat.

Hantaran-hantaran diseragamkan namun bersifat terbuka dan terdiri daripada pelbagai variasi penulisan puisi, pantun, gurindam, deklamasi sajak, dan pelbagai lagi hantaran yang berkaitan, menepati objektif gerakan. Acara sastera ini dianjurkan oleh Bilik Penyair, sebuah rumah puisi tempatan dan Gerak Malaysia, badan organisasi belia untuk kemanusiaan. Kedua-dua platform ini juga mengumpulkan kumpulan suara dan hantaran awam untuk #PuisiDarurat di laman Twitter dan Facebook mereka.

Selain puisi baharu dan rekaan sendiri oleh para peserta, karya penulis lain turut sama dijadikan bahan. Puisi langka Wiji Thukul, “Peringatan” ditampilkan, selain perkongsian semula beberapa puisi Usman Awang (“Jiwa Hamba”, “Karya”), T. Alias Taib (“Di Parlimen”), Salmi Manja (“Untuk Umat Manusia”), dan puisi kontemporari. Faisal Tehrani di Twitternya turut mengongsi sajak berjudul “Puisi Tak Beri Kamu Makan”.

Figura yang turun memeriahkan, antaranya termasuk Karim Mohd, Aliff Awan, Zikri Rahman, Zoul Yazix, Edry Faizal, A. Muziru Idham, Puteri N. Balqis, Nana, Jack Malik, Petak Daud, Fazallah Pit, Za’im Yusoff, Fahmi Mustaffa, Dinie Fadil, Ivvy Valerie, Karl Agan, Wafa Awla, Taufiq Roslan, dan Lutfi Ishak (sekadar menyebut beberapa nama).

Antara hantaran yang dilihat mendapat pencapaian tertinggi ialah rakaman pembacaan dan pendeklamasian sajak. Penyair dan penulis Karim Mohd membacakan dua sajak ciptaan Latiff Mohidin, iaitu “Kalau Kau Mau” dan “Permainan Gasing”.

Nana juga sempat membacakan sajaknya dan kini telah mencapai lebih daripada 1300 tontonan. Sajak kontemporari gabungan sajak konkrit yang dibaca dan diiramakan oleh Aliff Awan dan Mohd Azmen, “Sajak Mashup”, pula disaksikan oleh lebih daripada 5000 pengguna platform Twitter. Sementara itu, hantaran pembacaan Dinie Fadil bagi “Puisi Aku, Puisi Cekal”, Amirul Hisyam bagi “Pahat” karya Luthfi Ishak, Jack Malik bagi “Hanuman” karya Ramidin Zahari turut diraikan.

Puisi konkrit merupakan puisi yang banyak ditampilkan. Antaranya termasuk karya pengguna Twitter @cktanmy, Markko @kosmikecewa dan karya Fared Ayam bertajuk “Pesan (Dari Aku dan Kawan-Kawan)”. Petak Daud juga berkongsi puisi konkritnya yang bertajuk “Di Parlimen”, cerminan puisi konkrit dengan tajuk yang sama daripada T. Alias Taib.

Turut terlibat menyemarakkan suasana ialah hantaran bertulis karya penulis sendiri, termasuk Ridhwan Saidi dengan sajak “Doa Orang Susah Tak Makbul Hari Ini”, Nana dengan “Yang Lapar Jadi Lauk”, May Chong dengan “Bawang”, Iman Najaa dengan “Kawat Duri”, Ivvy Valerie dengan “Khianat” dan “Kejam”, Syakir Ahmad dengan “Celik Mata”, Epahalyahya dengan puisi konkrit “Ter-le-tak”, Halim Muhammad dengan “Lapar”, dan Jack Malik dengan “Sepetang Amerikano Kafe Mukha di Taman Tun”.

Pada malam pula dirancakkan dengan sesi Parlimen Puisi di Twitter Space @bilikpenyair. Para pemuisi, iaitu Norleha Taupik, Ali Adenan, Nana, Jack Malik, Fazrul Azril, Maliqi Malik, Izzah Dejavu, Mucky, A. Muziru, Iman Najaa, Atirah Ameer, dan Bue Hasnul membaca puisi protes pilihan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.