Oleh Salman Sulaiman
26 Jun 2021, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menjelaskan tugas dan peranan hakiki seorang pengkritik sastera dan kesedaran seorang penyair untuk memahami hakikat kritikan.

Andai kata kalaupun diberikan peruntukan sebanyak RM30 000 agar saya menulis sebuah buku kritikan sajak, adakah kerana nilai itu bermakna saya perlu melakukan hentaman yang paling kuat ke tubuh penyair kita?

Penulis yang profesional dengan sendiri faham akan kritikan terhadap karyanya tanpa perlu “sentap” atau terasa hati, kerana pengkritik yang profesional juga akan hanya mengkritik karya, bukan memusuhi peribadi, menjatuhkan maruah atau mengaibkan; tidak sama sekali.

Yang dikritik ialah karyanya, bukan keperibadian penulisnya. Pengkritik itu mengkritik bukan untuk mencari musuh, tapi untuk perbaiki dan menambah baik karya dan juga, dia menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya agar menulis satu esei kritikan terhadap satu-satu karya atau sekelompok karya. Pengkritik itu juga mengkritik untuk mengangkat sesebuah karya yang baik agar lebih dikenali dan diberi perhatian oleh khalayak sastera dan pengkritik lain. Itu saja. Tidak ada pun niat di hati pengkritik untuk berlagak pandai atau memandai-mandai, kerana kritikan yang dilakukan itu pun dipelajari dan dicontohi daripada para pengkritik terdahulu.

Untuk mengukuhkan hujahnya, dia boleh saja memetik mana-mana nama pengkritik masyhur daripada Roland Barthes, Jean-Paul Sartre, Jacques Derrida, E.M. Forster, Michel Foucault, Rene Wellek, Austin Warren, Terry Eagleton, Peter Barry, Fredric Jameson, Yuri Lotman, Jonathan Culler, M.H. Abrams, Edward W. Said, A. Teeuw, hinggalah kepada Henry Guntur Tarigan, Nyoman Kutha Ratna, Umar Junus, Ali Ahmad, Mana Sikana, Sohaimi Abdul Aziz, atau sesiapa saja pengkritik yang disukainya. Namun ketika mengkritik, dia tetap juga perlu tegas dengan diri sendiri agar berpegang teguh pada prinsip profesionalismenya sebagai sasterawan-penulis-pengkritik.

Tidak ada faedahnya untuk seorang pengkritik menghentam habis-habisan karya yang dikritik itu hanya untuk RM300, sehinggakan dia terpaksa menggadaikan persahabatan dalam jagat sastera semata-mata kerana duit sebanyak itu. Misalnya, andai kata kalaupun diberikan peruntukan sebanyak RM30 000 agar saya menulis sebuah buku kritikan sajak, adakah kerana nilai itu bermakna saya perlu melakukan hentaman yang paling kuat ke tubuh penyair kita? Tidak sekali-kali saudaraku. Tidak sekali-kali. Saya hanya akan menulis seperti yang pernah saya tulis sebelum ini juga, biasa-biasa saja. Saya hanya akan menegur-kritik apa-apa yang patut dikritik sahaja, sekadar seperti selalu-selalunya juga, tidak lebih daripada itu. Saya hanya mahu sajak-sajak kita akan terus dikaji-baca sampai bila-bila, di mana-mana saja di ceruk penjuru dunia!

Ketika mengkritik, pengkritik perlu buang sifat ego diri yang merupakan bisikan-bisikan jahat yang menghasut di telinganya, seperti “aku lebih pandai, karya orang lain semua tak sedap”, “kenapalah tulis bodoh macam ini” atau “aku pun boleh tulis lebih baik kalau sekadar begini”. Kita tentu dengan pasti dapat mengatakan pengkritik yang profesional semestinya tidak mempunyai sifat-sifat buruk seperti yang tersenarai.

Karya saya sendiri terbuka untuk dikritik, tiada masalah. Apabila kita ditugaskan untuk mengkritik, kita juga perlu bersedia karya-karya kita sendiri akan dihentam-ganyang nanti. Silalah, saya menunggu karya saya dicincang lumat, tiada masalah. Tapi sekurang-sekurangnnya, tidaklah saya meluah perasaan macam anak belasan tahun meluah perasaan di majalah sekolah dalam sajak-sajak saya; atau menulis sajak hanya seperti mencatat rasa hati dalam diari peribadi.

Dunia kritikan sajak dalam negara kita sekian lama dipenuhi puji-pujian – di majalah, kemudian di media baharu seperti Facebook dan WhatsApp. Pengkritik yang ditugaskan menulis esei dalam majalah hanya menerangkan semula sajak tersebut bercerita tentang apa. Ia menjadi ulasan pelajar KOMSAS untuk peperiksaan SPM, bukan kritikan. Ya, itu kita namakan ulasan, bukan kritikan. Menjadikan ramai penyair kita “naik lemak” dan apabila ada pengkritik yang menegur dengan agak pedas karya tersebut, mulalah ada yang tersinggung dan terasa hati kerana mereka telah sangat lama tidak ditegur dan dibiarkan menulis sajak amat kabur yang sarat klise. Penyair kita tidak biasa dengan kritikan yang sihat dan membina. Mereka hanya asyik dibuai keseronokan kerana karya mereka berjaya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah perdana. Dek lama sangat dibuai keasyikan itu, menyebabkan karya yang akhirnya dikritik pedas itu pun tetap tidak berubah kemudiannya. Keluar sajak lain selepas dikritik tajam itu pun tetap klise juga, masih duduk beku dalam gaya lama yang sebelum itu juga. Tetap tidak tengadah juga walaupun terhantuk, sebab lama sangat terperuk lesu-lapuk tidak pernah terhantuk atau dihantuk. Penyair kita jadi agak susah untuk terbuka menerima teguran-kritikan kerana telah lama terperap beku dalam pujian – dingin dan selesa tanpa perlu tersentak apa-apa. Maka, untuk majalah atau akhbar keluaran edisi seterusnya pun kita akan jumpa (dan baca) sajak yang tepu-statik-klise lagi, dan lagi dan lagi; sehinggakan Abang Jamil sudah entah berapa kali hidup balik, berapa kali mati pun – penyair kita rata-ratanya masih di situ juga, dengan hal yang itu-itu juga. Sarjana sejati dan penyair mapan yang sungguh-sungguh menulis pun, setelah membacanya entah hendak menangis atau mahu ketawa.

Penyair kita tidak biasa dengan kritikan yang sihat dan membina. Mereka hanya asyik dibuai keseronokan kerana karya mereka berjaya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah perdana.

Tulislah sajak yang benar-benar sajak. Jika tidak yakin mencapai tahap sebuah sajak, simpanlah untuk bacaan sendiri sahaja, tak perlulah “gatal tangan” untuk dihantar ke mana-mana penerbitan atau media cetak. Jika diketatkan disiplin ini kepada diri sendiri, nescaya kita akan semakin banyak mencipta sajak yang lebih berkualiti daripada karya gopoh yang belum cukup matang untuk disiarkan. Memang, kita tidak dapat menafikan keghairahan penulis baharu untuk menembusi media utama tanah air, seperti beberapa majalah dan surat khabar. Namun bersikap tidak sabar, terlalu tergesa-gesa mahu melihat karya disiarkan hanya akan merosakkan reputasi sendiri sebagai penyair apabila karya tersebut belum cukup berkualiti.

Salman Sulaiman

Menulislah untuk keabadian, bukan sekadar untuk bermain-main. Permainan ini serahkanlah kepada budak-budak – bocah. “Ada bocah cilik main kejaran dengan bayangan” pun tidak main-main walaupun ada frasa “budak bermain” di situ kerana Chairil sedar dia sedang menulis sajak. Penyair kita kena sedarlah, seperti Chairil sedar, orang Kelantan kata “kaba kediri”. Ya, kena “kaba kediri” (kalau dalam teater hal ini dipanggil “ilmu kesedaran”). Ilmu kesedaran ini penting dalam bidang-bidang lain pun, termasuk dalam lapangan penulisan sajak.

“Chairil mati pada waktunya yang tepat.” Saya tidak ingat dengan jelas siapa yang berkata demikian, sama ada Sitok Srengenge ataupun Joko Pinurbo. Ingatan saya condong kepada Sitok. Dialah yang mengungkapkan kata-kata tersebut ketika menyampaikan ceramahnya kepada kami para penulis muda Nusantara di sebuah resort pesisir pantai Anyer, Banten pada Julai 2012 – dengan hujahan bahawa walaupun Chairil meninggal pada usia singkat tapi ketika berada di kemuncak. Sebab itu dia terkenal sehingga hari ini sebagai salah seorang penyair besar Indonesia selain Sutardji, Sapardi, Sitor Situmorang, Taufik Ismail, Goenawan, dan Rendra. Malah, dia dinobatkan sebagai penyair yang mengepalai para penyair Indonesia yang lain – pelopor Angkatan 45 sebagaimana yang diiktiraf oleh H.B. Jassin (namun kita agak hairan, kenapa Subagio dan Wiji Thukul tidak termasuk dalam kumpulan penyair besar yang disenaraikan oleh Sitok?). Dikatakan “tepat pada waktunya” kerana jika dia masih hidup lagi selepas itu, mungkin sajaknya sudah tidak sedap.

Kesedaran seorang penulis ialah dia perlu bertanggungjawab atas setiap apa-apa yang ditulisnya. Tentu dia akan menulis sebaik mungkin apabila dia sedar setiap tulisannya akan dipertanggungjawabkan. Menjadi kritis itu memang menyakitkan kerana ia memerlukan keberanian. Semua orang boleh menegur saya kira, boleh menjadi kritis. Namun, kesan selepas kritikan itu disiarkan dan kemudian dibaca orang, itu yang menyakitkan. Ada penyair hebat yang menolak untuk mengkritik sajak para penyair lain oleh sebab kesan selepas itulah (siapa mereka, rasanya tidak perlulah saya jelaskan di sini), kerana teguran yang dibuat menuntut keterbukaan. Persoalannya, berapa ramai penyair yang benar-benar boleh menerima teguran pengkritik? Pernah saya membuat sedikit teguran terhadap nama pena seorang penulis dalam esei saya, teguran itu dipertikaikan. Walhal nama pena ialah hal yang sangat penting kerana nama pena juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap seseorang penulis. Saya mempunyai alasan kukuh terhadap perkara yang saya kritik, walau dikatakan “hanya sekadar nama pena saja pun”. Yang tidak puas hati tentang teguran terhadap nama pena penulis itu, boleh baca lanjut esei saya perihal perkara tersebut dalam “Membina Identiti Atas Nama Sendiri” (Tunas Cipta Julai 2017) untuk mengetahui secara lebih mendalam kewajaran dan hujah-hujah saya berbuat demikian.

Dikatanya kepada pengkritik itu, “Hanya dia seorang saja yang betul, orang lain tak betul.” “Pengkritik ini perasan dia seorang saja yang pandai,” kata yang lain pula, atau macam-macam lagi kata-kata yang muncul selepas dia menyelesaikan tugasnya sebagai pengkritik. “Kawan-kawannya sendiri dipuji, selain itu semua tidak kena dan tidak betul,” kata yang lain lagi. Mungkin juga akan ada yang kata, “Perasan mentang-mentang orang suruh (beri tugas) dia kritik karya orang lain.”

Untuk mengukuhkan prinsip dan jati diri kepenyairan para penulis muda (dan penulis lama juga) yang ingin meneroka dunia penulisan sajak, saya kira elok ditelaah dua esei kritikan yang dihasilkan oleh dua orang kritikus muda berwibawa ini, iaitu “Paganisme Baharu Sastera” oleh Lutfi Ishak (Berita Harian, 22 Ogos 2015) dan “Kejayaan Menumpulkan Pena” oleh Wan Nor Azriq (Mingguan Malaysia, 17 Januari 2016). Saya katakan berwibawa kerana kedua-dua pengkritik ini bukan hanya pandai mengkritik tetapi mereka sendiri menghasilkan karya yang kuat dan bernilai tinggi. Baca dan hayatilah kedua-dua esei ini sehingga ia menyentak anda untuk menghasilkan karya yang bermutu. Jika dibaca dengan tekun dan berniat untuk memperbaiki karya, dua esei ini saya kira memadai untuk memberikan semangat kepada para penyair kita agar tidak main-main dalam proses penciptaan masing-masing dan mereka akan berusaha memperbaiki karya dari semasa ke semasa, bukan membiarkan sajak-sajak yang dihasilkan beku dan tepu di takuk lama.

Kesedaran seorang penulis ialah dia perlu bertanggungjawab atas setiap apa-apa yang ditulisnya.

Esei Lutfi akan mengingatkan pembaca agar serius dan tidak main-main dalam penulisan sajak. Kerana sajak ialah wacana ilmu, sejak dahulu lagi ia dijadikan suara pujangga untuk berwacana tentang pelbagai perkara. Namun akibat adanya medium yang lebih mudah hari ini di internet, sajak ditulis dengan sewenang-wenangnya sekadar untuk bermain-main. Kata Lutfi, permainan hanya layak untuk budak hingusan. Yang merosakkan lagi taman sastera yang indah ini ialah sikap ego orang yang bermain-main itu, apabila ditegur, orang yang menegur pula yang akan dimarah. Teguran Lutfi ialah satu penegasan bahawa menulis dalam genre apa-apa pun termasuk sajak, adalah bukan kerja main-main. Jika penulis berpegang pada prinsip ini, nescaya dia tentunya akan berusaha untuk menulis sajak yang bukan saja baik, tapi juga berkualiti.

Esei Azriq akan menyentak penulis agar sedar daripada lenanya dibuai-buai oleh sajak sendiri yang ditulis sebelum ini, yang dirasakan sedap dan mengagumkan para peminat puisi. Sehinggakan dia lupa untuk kekalkan momentum kekuatan dan keindahan sajak itu dalam sajak-sajak yang seterusnya. Oleh kerana itulah, Azriq mengatakan para penyair kita nampaknya sudah berhenti mengasah penanya. Sekali sajaknya dipuji sedap atau menang hadiah, maka penciptaannya akan terhenti di situ. Dia tidak lagi bersungguh-sungguh mencipta. Dia terbuai oleh kemenangan lama, tanpa berusaha untuk mengekalkan kesedapan sajak-sajak baharu seperti sajak-sajaknya yang diiktiraf pada masa lalu. Oleh sebab itulah Azriq mengatakan kejayaan telah menumpulkan pena.

Tidak ramai yang mampu mengekalkan momentum persajakannya seperti Zaen Kasturi yang istiqamah dengan jati diri karya-karyanya yang kuat dan indah berseni. Kekuatan Zaen dalam Katarsis diteruskan dalam 77 Tuju yang diterbitkan beberapa puluh tahun kemudian. Dia konsisten dengan cara dan gayanya yang utuh dan kukuh, tidak berubah. Hal ini terbukti apabila 77 Tuju akhirnya dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2016/2017 bagi kategori A untuk kumpulan puisi. Muhammad Haji Salleh juga begitu. Kemunculannya dengan Sajak-sajak Pendatang pada tahun 1973 yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara 1991 tidak mengubah prinsip dan jati diri kepenyairan Muhammad. Begitulah sajak-sajaknya dalam Salju Shibuya yang terbit pada tahun 2004, hinggalah dalam Setitik Darah di Bilik Bundar pun, dia konsisten dengan cara keintelektualan dan gaya bahasa tanpa irama yang juga indah memikat itu. Malaysia memerlukan lebih ramai penyair seperti Muhammad Haji Salleh dan Zaen Kasturi yang tidak lena dibuai kejayaan ketika berada di puncak kemenangan.

Esei kritikan yang pedas dan tajam itulah sebenarnya yang diperlukan dalam dunia kritikan kita agar dapat menyentakkan penulis daripada lenanya. Menjentik kesedarannya sebagai pengarang. Esei oleh Lutfi dan Azriq tadi memang pedas, agak tajam dan menghiris. Tajam dan menghiris dengan cara masing-masing. Lutfi dalam kiasannya ada kesinisannya. Azriq dalam terus terangnya ada kebenaran hujah yang tidak dapat disangkal. Kebenaran yang sepatutnya menyentak fikiran dan emosi para penulis, dan penyair khususnya.

Daripada tulisan-tulisan sebeginilah penyair sepatutnya belajar untuk jadi lebih terbuka, di samping jadi lebih kritis terhadap karya-karya sendiri untuk semakin maju pada masa hadapan sebagai penulis berjaya. Hakikat teguran dan kritikan itu, jika tidak dibuka hati dan fikiran seluas-luasnya, memang pedih dan sangat perit sebenarnya. Penyair yang mempunyai prinsip dan jati diri yang teguh dalam arena penulisan, tentu saja dia akan sangat terbuka dan profesional sifatnya kerana dia bukan menulis sekadar bermain-main atau selesa di takuk lama tanpa memperteguh kaedah kepengarangan sendiri.

Pengkritik pun kebanyakannya, selalunya, dalam kalangan penulis juga. Maka, dia tentu faham apa-apa yang dirasai oleh penulis apabila karyanya dikritik. Dan, apabila mengkritik tentulah dia sangat profesional dalam kerja kritikannya. Penulis yang dikritik itu sendiri pun, jika kualiti sajaknya tidak berubah sejak bertahun-tahun menulis, malah ada yang belasan dan puluhan tahun tidak berganjak daripada gaya lama dan klise; maka wajarlah dia dikritik dengan tajam. Dia patut terbuka menerima kritikan pedas itu dan memperbaiki sajaknya sedikit demi sedikit. Itulah gunanya sifat keterbukaan dalam menerima kritikan.

Tajuk di atas juga perlu diterbalikkan – keterbukaan pengkritik dan profesionalisme penyair. Sikap profesional dan terbuka juga perlu dimiliki oleh kedua-dua belah pihak, iaitu pengkritik dan penyair. Pengkritik juga perlu terbuka dan penyair pun mesti profesional. Natijahnya, dunia kritikan menuntut dua sikap utama tadi – profesional dan terbuka; sama ada pengkritik itu sendiri ataupun penyair yang dikritik.

_________________________

Salman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, ‘Ngembara…, ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, “Ini Tanah Kita” dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015–2019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.