Oleh SHUKRY SIDDIQ
21 Jun 2021, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Webinar Puisi Alam mengetengahkan pembicara, iaitu Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air atau KASA), Profesor Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman (Jabatan Kesusasteraan Melayu Universiti Malaya serta Pemenang Anugerah Akademik Negara) dan Mohd Khair Ngadiron (Pengerusi International Islamic College) sebagai moderator. Webinar tersebut bersiaran secara langsung melalui Facebook langsung KASA pada 19 Jun 2021, pukul 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Bual bicara ini membincangkan alam yang menjadi tema utama penulisan puisi. Dr. Norhayati memulakan bual bicara dengan menyampaikan sebuah petikan perbilangan berkaitan dengan alam yang memberikan motivasi kepada khalayak dalam menuntut ilmu. Ungkapan tersebut berbunyi:

Penakek pisau seraut
Ambil galah batang lintubong
Seludang ambil ke nyiru
Setitis jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru.

Menurut beliau, “Alam sangat penting dalam penciptaan puisi Melayu”. Beliau memberikan contoh pada kata “Merenung gunung yang tinggi” yang menggambarkan gunung itu sebagai perlambangan kepada cita-cita yang tinggi dan cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha menggapai cita-cita yang diingini. Alam dilambangkan sebagai objek utama dalam sesebuah puisi untuk menyampaikan maksudnya yang tersirat.

Para penal (dari kiri): Profesor Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Mohd Khair Ngadiron selaku moderator.

Seterusnya, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini pula menyatakan dalam ucapannya bahawa “Puisi alam suatu konteks dalam kerangka pemikiran”. Beliau juga turut mengupas beberapa puisi berkenaan dengan alam daripada Sasterawan Negara, antaranya “Pesan dari Hutan karya Muhammad Haji Salleh.

Dalam kupasan bicaranya berkaitan dengan alam puisi dari konteks sastera pula, Dr. Norhayati menyatakan bahawa salah satu konsep alam sastera ialah ekologi. Prinsip ekologi sastera itu adalah seperti yang berikut:

  1. Menghormati alam sekitar supaya manusia boleh hidup dengan aman dan harmoni.
  2. Menampilkan hubungan manusia dengan alam sekitar terutamanya dalam konteks mahabbah dan pelestariannya.
  3. Menganalisis gerakan wacana ekologi beroperasi dengan mengungguli kehidupan yang harmoni.
  4. Menilai gerakan individu atau kolektif dalam pembentukan budaya ekologika, mengawal dan menyelaras dunia global demi kesejahteraan alamiah.
  5. Meneliti pergolakan yang bersifat ekologika terutamanya dalam aspek budaya, ekonomi, pembangunan dan sebagainya.
  6. Menanam rasa cinta sesama ciptaan Tuhan.

Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini dalam ulasannya menyatakan bahawa menulis puisi merupakan satu kebebasan dalam berkarya, tidak seperti sains yang berlandaskan fakta. Puisi boleh menjadikan masyarakat lebih tertib kerana sebelum mengeluarkan kata-kata, seseorang pemuisi akan berfikir seribu bahasa, serta mengambil masa yang cukup lama sehingga terciptalah serangkap puisi. “Kebanyakan Sasterawan Negara menggunakan isu alam dalam puisi-puisi mereka, seperti Baha Zain yang menulis kerana keadaan seperti berada di sesuatu tempat,” ulas beliau.

Beliau turut menggunakan pendekatan puisi lestari alam dalam setiap penyampaiannya sebagai saluran untuk menerangkan atau menjelaskan sesuatu usaha yang dilakukan dalam konteks yang mudah kepada khalayak. Menjawab soalan moderator tentang penerimaan orang ramai terhadap pendekatan yang digunakan, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini menyatakan bahawa puisi alam mempunyai satu kelainan dan mendapat tempat dalam kalangan orang ramai, sehinggakan beliau sering diundang untuk menyampaikan kuliah tentang alam sekitar.

Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini juga turut ditanya tentang tempoh masa yang diperlukan oleh beliau untuk menulis puisi dalam kesibukan menjalankan tugasan hakiki. Beliau menyatakan bahawa menulis karya perlu cepat, seperti yang diajar oleh guru beliau, Tan Sri A. Samad Ismail. Seseorang tidak perlu menunggu sehingga sampai pada tahap kesempurnaan apabila hendak menulis kerana sempurna itu susah untuk dicapai. 

Dalam soal keindahan bahasa pula, Dr. Norhayati menyatakan bahawa bahasa dalam puisi mempunyai dua sifat. Sifat yang pertama ialah konotasi. Diksinya mempunyai pelbagai makna dan sukar difahami. Pemuisi yang menggunakan sifat ini meminta pembaca menaakul karya yang ditulis oleh mereka. Manakala bagi sifat denotasi, bahasanya tidak mempunyai maksud yang berlapis-lapis, sebaliknya mempunyai kata-kata yang mudah difahami.

Sebelum mengakhiri webinar tersebut, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut berkongsi nama karya terbaharu beliau, Dari Penjuru Sofa, iaitu puisi yang tercetus sewaktu musim Pandemik COVID-19 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang dibicarakan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada 7 Jun 2021.

Siaran tersebut boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.