Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTujuh dekad dimangsai
oleh kuasa serakah
perampok yang direstui
oleh mata-mata dunia
dan umat dalam kesesatan yang nyata
bukan penyeksaan yang ringan
melainkan penderitaan yang berpanjangan
sementelahan tetangga seagama
yang mendakwa menjadi khadam tanah suci dan sekutunya
berpaling mengabaikan taklif membela golongan yang tertindas
sebaliknya mencumbui seteru yang nyata
Maka dalam keterasingan
perjuanganmu perlu didukung
oleh bani-bani lain meskipun ‘ajam
yang masih mengibarkan panji-panji
keadilan, kebenaran, erti hak dan maruah
dan masih dengan keyakinan
bahawa kemunafikan bukan kemuliaan
dan kemiskinan bukan harga penghinaan
Bangkitlah sekalian bani
atas nama apa-apa pun
tanpa nasab anbiya‘ sekalipun
selama pegangan dan tindakanmu
atas lunas risalah dan syariat Ilahi
Pengorbanan di sini dan kini
ialah bekal nanti yang dibawa
sebagai bukti pengabsahan kalam Allah
“Innamal mukminuna ikhwah”
Dan bukti kepercayaan sabda Nabi
bahawa hubungan sesama Muslim
umpama hubungan antara semua anggota pada jasad
Ayuh, tanpa ragu sekalian bani
bangkit menyertai perjuangan saudara kita di Palestin!