Oleh SHUKRY SIDDIQ
14 Jun 2021, 07:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Perisytiharan Hari Puisi Malaysia telah bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 13 Jun 2021 (Ahad), pukul 3.00 petang.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Beliau menyatakan, “Sebagai Penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia, saya menyambut baik usul mengadakan satu hari khusus bagi mengangkat serta memartabatkan puisi dalam kalangan masyarakat di negara ini.”

Dalam ucapan tersebut juga, beliau menyifatkan puisi sebagai medium ucapan rasa, idea dan pemikiran yang perlu diberi kedudukan sewajarnya agar dikenang oleh generasi baharu dari semasa ke semasa.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapannya menyatakan bahawa UNESCO telah menetapkan 21 Mac sebagai Hari Puisi Sedunia. Beliau berucap, “Akhirnya bagi pihak DBP, kami memberi jaminan bahawa DBP akan sentiasa menyokong apa juga program, apa juga usaha yang dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan yang bertujuan untuk mengangkat dan juga menyemarakkan kegiatan-kegiatan kebangsaan ataupun kegiatan-kegiatan persuratan di negara kita.”

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian daripada YBhg. Dato’ Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sebagai wakil rasmi YB. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Beliau membacakan teks ucapan menteri.

“Dalam pandangan saya, puisi itu adalah ekspresi kepada pemikiran yang jelas terhadap sesuatu isu yang disusun dalam bahasa yang indah. Betullah kata Za’aba, puisi atau karangan berangkap sebagai khas dipakai untuk melafazkan pemikiran yang cantik dan bahasa yang indah.

“Puisi juga dianggap sebagai pengubat jiwa dan emosi. Puisi pernah digunakan sebagai penaik semangat perjuangan sesuatu bangsa,” ujar beliau. Dato’ Dr. Noor Zari juga berpendapat, acara puisi boleh dijadikan acara tarikan pelancongan, seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara luar. Akhir kata, beliau mengisytiharkan 13 Jun sebagai Hari Puisi Malaysia yang akan disambut pada setiap tahun.

Majlis diserikan dengan acara membaca puisi oleh para Sasterawan Negara (SN), termasuk Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (“Aku Penyair”), Datuk Dr. Anwar Ridhwan (“Paus”), Datuk Dr. Zurinah Hassan (“Ketika Alam Menangis”), dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail (“Malam Sunyi Kota Raya”).

Majlis Perisytiharan Hari Puisi Malaysia yang berlangsung secara talian ini boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.