Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sangat rugi apabila ruang untuk membicarakan karya penulis anak negeri di platform seperti media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang boleh diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia tidak digunakan sepenuhnya.
Hal ini kerana, penulis anak negeri yang bermastautin di negeri sendiri seperti acara Bicara Tokoh Penulis Kedah bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Kedah kelmarin, bukanlah selalu diadakan.
Namun, apabila panel tidak dapat mengupas dengan baik dalam masa yang terhad, sebaliknya berbicara soal tidak penting, hal ini memang merugikan.
Penulis dan penyelidik, Dr. Husairi Hussin memulakan acara dengan membentangkan kajian mengenai Jihaty Abadi – tokoh penulis Kedah. Namun begitu, beliau tidak banyak mengupas mengenai karya Jihaty secara terperinci sebaliknya lebih tertarik untuk bercakap mengenai penggunaan nama samaran yang dipilih oleh Jihaty. Hal ini agak meleret walaupun beliau turut juga memberitahu latar belakang Jihaty secara serba sedikit dan menyebut judul karya pengarang itu secara sepele.
Hussairi hanya kemudiannya benar-benar mengupas mengenai puisi Jihaty apabila ditanya oleh penonton pada hujung acara. Ketika itu, barulah kita dimaklumkan, Jihaty, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 1991, tiada identiti dari segi bentuk sajak tetapi mempunyai idealisme yang kuat dalam ungkapan sajaknya.
Bayangkan jika tiada soalan sedemikian daripada penonton?
Pembentangan Dr. Phat a/l Awang Deng dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia sangat menarik apabila mengupas mengenai karya Osman Ayob. Namun malangnya, dalam masa yang singkat mengapa perlu mengupas hingga tiga naskhah novel?
Pendekatan struktural yang dipilih oleh Phat menarik tetapi lebih molek jika hanya membincang satu atau dua (sebagai perbandingan) novel sahaja kerana ia akan membolehkan kupasan yang padat dan terfokus.
Kupasan mengenai novel Dukhan: Langit Akhir Zaman oleh Osman yang terbit pada tahun 2013 sangat menarik apabila Phat mengaitkan senario dalam novel itu dengan perkembangan semasa.
Phat berkata, naskhah terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu menceritakan sekumpulan manusia pada masa hadapan yang berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan hidup apabila bumi bertembung dengan meteor.
“Keadaan ini menyebabkan malapetaka sehingga membuatkan manusia tidak boleh keluar rumah, bergelap dan hanya bergantung kepada Allah SWT. Manusia pada zaman itu juga keluar dengan memakai pelitup muka bagi mengelak daripada jangkitan paru-paru.
“Saya kagum dengan Osman kerana pembacaannya dan apa yang ditulisnya pada tahun 2013 relevan dengan apa yang kita hadapi ketika ini,” katanya.
Namun sayang, kerana masa yang terhad dan perlu membicarakan tiga buah novel, kupasan Dukhan: Langit Akhir Zaman tidak dapat dikongsi dengan lebih terperinci.
Penulis, Hassan Baseri Budiman berkongsi mengenai Ismail Restu dan bagaimana kerjaya Ismail sebagai guru mempengaruhi kepengarangannya. “Ismail menjadi guru sejak usianya 16 tahun dan walaupun menulis sejak tahun 1972 dan merentas genre, tetapi elemen menasihat itu terus kekal dalam karya beliau.
“Misalnya dalam naskhah pantun kanak-kanak juga awal remaja, pantun yang dikarang oleh Ismail membawa unsur nasihat seperti berikut, hutan belukar terbakar rentung/batang rumbia dikerat-kerat/rajin belajar memang beruntung/akan bahagia dunia akhirat,”katanya.
Satu hal yang perlu diperbaiki, sesi dalam talian dan acara bersemuka sangatlah berlainan. Apabila panel dan moderator gagal memahami hal itu, masa yang sepatutnya digunakan untuk bercakap mengenai penulis dan karyanya menjadi remeh-temeh dengan ucapan-ucapan pada awal acara yang tidak kompeten.
Acara Bicara Tokoh Penulis Kedah yang berlangsung dalam talian direalisasikan dengan kerjasama DBP Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).
Kita boleh menyimpulkan dengan mengakui Kedah mempunyai ramai penulis hebat, malah sudah melahirkan tiga orang Sasterawan Negara, iaitu Dato’ Abdullah Hussain, Dato’ Shahnon Ahmad dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.
Namun terdapat juga ramai penulis kelahiran Kedah yang berada di luar negeri itu dan mencipta nama besar pada peringkat kebangsaan tetapi mungkin kerana mereka bukan ahli ASASI, tidak menetap di situ lalu karya mereka kurang diperkatakan dan jarang juga dirujuk sebagai penulis Kedah.
Adakah mereka hanya akan dirujuk sebagai penulis Kedah apabila bergelar SN? Hal sebegini akan merugikan sastera Kedah.