Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKritikan puisi seharusnya bersandarkan ilmu dan bukan dibuat atas tujuan memperolok-olok atau merasa diri (pengkritik) jauh lebih baik daripada orang lain. Hal ini akan lebih membantu dalam usaha meningkatkan mutu dan memanjangkan hayat karya berkenaan.
Secara ringkas, hal itu yang boleh disimpulkan dalam perbincangan antara penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir) bersama-sama penulis, Ainunl Muaiyanah Sulaiman yang dimudahcarakan oleh Fahd Razy menerusi program Moreh Puisi secara langsung di laman Facebook Tukang Puisi.
S.M. Zakir berkata, kritikan juga memerlukan pengkritik yang jujur dan tahu latar belakang subjeknya.
“Kritikan tidak harus dibuat secara emosi atau merasakan kita lebih baik daripada orang lain hingga kelihatan ia memperolok-olok manakala, ‘name dropping‘ yang dibuat tidak nampak tulus,” katanya.
Tegas S.M. Zakir, kritikan membantu memperkenalkan dan memanjangkan hayat karya sepertimana karya T Alias Taib yang dibaca oleh generasi muda kini. Fenomena ini bermula dengan kritikan oleh penyair muda seperti Wan Nor Azriq.
“Setiap generasi perlu ada pengkritik kerana mereka yang mengenal pengarang sezaman. Hal ini kerana, pengkritik itu hanya melihat satu karya sahaja dan kritikan itu tidak lengkap. Pengkritik perlu ada ilmu dan berguru tidak semestinya secara formal tetapi mesti ada ilmu,” katanya.
S.M. Zakir turut menyifatkan ketika ini, ranah sastera kebangsaan tidak ada pemuisi pelapis selepas Zaen Kasturi. Jika ada, mereka ialah pemuisi seperti Muhammad Lutfi Ishak dan Fahd Razy, tetapi selebihnya khalayak masih tercari-cari.
“Kita ada ramai penulis generasi muda, mereka ini berbakat tetapi berkarya dalam lab (makmal).Contohnya, macam Karim Mohd. Dia muncul dengan satu karya, sesudah itu dia diam. Dia bereksperimen, berjaya, tetapi kemudian tidak muncul lagi,” katanya.
Tambah S.M. Zakir, landskap puisi kebangsaan juga seharusnya memunculkan karya dengan pengucapan baharu dan bukan mengulang gaya penyair sebelum ini.
“Ada beberapa puisi yang baik dan ‘menakutkan’ saya tetapi apabila kita imbas, pengucapan yang sebegitu sudah pun dibuat oleh penyair sebelum ini.”
Sementara itu bagi Ainunl Muaiyanah, kritikan generasi muda terlihat sebagai kritikan peribadi kerana medium yang dipilihnya.
Katanya, kritikan biasanya dibuat di laman sosial yang bersifat personal, menjadikan kritikan itu berubah menjadi kritikan yang bersifat peribadi walaupun niatnya mahu membuat kritikan karya. Hal ini berbeza dengan kritikan yang dibuat di akhbar atau majalah yang kelihatan lebih serius.
Walau bagaimanapun, Ainunl Muaiyanah berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, penjaga pintu puisi itu ialah pemuisi sendiri bukan seperti ketika ini yang kebanyakan daripada mereka lebih cenderung pada prosa, sama ada cerpenis atau novelis.
“Satu hal yang boleh kita lihat pada masa sekarang ialah ada pendirian ketidakbergantungan penulis pada institusi besar, dan hal ini melahirkan banyak penyair kerana mereka menulis secara lebih bebas, berani dan tiada tapisan. Namun ada kontranya, mungkin pada akhirya kita berbalik pada isu kualitinya pula,” katanya.
Sementara itu, Ainunl Muaiyanah berkata, sepanjang 10 kebelakangan ini, beliau banyak “mendampingi” pemuisi wanita generasi muda yang tampil dengan karya yang hebat dan baik. Walau bagaimanapun, seperti yang disebut oleh S.M. Zakir, kebanyakan mereka mengambil masa yang lama untuk tampil dengan karya baharu sesudah karya awal mereka menggegarkan khalayak.
“Mereka juga tampil menulis sekadar untuk menulis dan tidak berminat untuk mencipta nama,” katanya.
Ainunl Muaiyanah berkata, ada kala sesebuah puisi yang ditulis secara eceran menangkap minat khalayak kerana pengucapan yang segar tetapi apabila ia dibukukan dalam sebuah kumpulan puisi, ia mudah tenggelam.