Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Jabatan Pendidikan negeri Kelantan dan Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (Pesisir) menganjurkan Program Bimbingan Penulisan “Kesusasteraan Melayu Komunikatif (Puisi)”.
Program diadakan secara dalam talian melalui penggunaan aplikasi Google Meet. Acara bermula pada pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang pada 27 hingga 28 Jun 2021. Program bimbingan ini menghimpunkan seramai 89 orang peserta, iaitu terdiri dalam kalangan guru, pegawai dan individu yang terlibat dengan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta dan membantu para pelajar dalam usaha memupuk kebolehan pelajar, terutama dalam bidang penulisan kreatif. Program juga dapat memupuk bakat pelajar berasaskan kreativiti dan inovasi yang menjadi asas penting dalam industri kreatif di Malaysia.
Dato’ Rahman Shaari, Presiden Persatuan PENYAIR Malaysia dan Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award tahun 2007) menjadi penceramah Program Bimbingan Penulisan selain Tuan Haji Mohd Fauzi Abdullah, Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM).
