Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuisi sebenarnya memiliki penggemar yang ramai namun cabaran terbesar ialah menukarkan peminat itu menjadi pembeli. Apatah lagi peminat puisi di Malaysia jika dilihat secara kasar sering terpecah oleh kelompok-kelompok kecil, sama ada oleh generasi, organisasi, lokaliti, mahupun medium yang digunakan.
Bagi Fahd Razy, penyair yang membangunkan penerbitan indie, Kata-Pilar, di Facebook dan Twitter misalnya, wujud penggemar puisi dalam kelompok sendiri. Katanya, keadaan terpisah-pisah ini mengakibatkan pasaran buku puisi sering terbatas dalam lingkungannya sendiri.
“Keadaan ini menjadi cabaran, justeru formula yang praktikal dan konsisten masih diperlukan untuk menjadikan puisi sebagai produk yang kompetitif dalam pasaran buku secara keseluruhan,” katanya.
Justeru, meskipun dalam keadaan ramai penerbit buku mengeluh mengenai kemerosotan jualan, Kata-Pilar baru-baru ini melancarkan tiga buah kumpulan puisi. Satu daripadanya ialah Bara Hujan oleh Rudi Mahmood, manakala dua lagi masing-masing tulisan penyair muda, Abdullah Hussaini (Daftar Mimpi) dan Hidayyah AT Mizi (Kata-kata yang Muncul di Cermin).
Rudi Mahmood bukan nama asing bagi khalayak sastera kebangsaan namun mempertaruhkan kumpulan puisi oleh penulis baharu seperti Hidayyah agak berisiko. Namun bagi Fahd Razy, hal yang paling utama sebelum sesebuah karya itu diterbitkan ialah kualiti karya itu sendiri. Seterusnya dari situ, potensi seseorang penulis untuk terus maju boleh dilihat sebelum mereka dinilai, maka perlulah diberi ruang penerbitan.
“Hidayyah sebenarnya mula menulis sebelum tahun 2010 lagi melalui laman portal sastera Kapasitor.net. Melalui halaman Facebook Tukang Puisi, kami mengesan gaya penulisan Hidayyah nampak kukuh dan tersendiri.
“Pemilihan imej dalam puisi Hidayyah selalu kelihatan lincah dan di luar jangka, tapi dalam masa yang sama segar dan kemas. Sesuatu yang baharu untuk penulisan puisi,” katanya.
Tambah Fahd Razy, manuskrip Hidayyah dan Abdullah Hussaini sebenarnya diambil daripada penyertaan Sayembara Puisi KataPilar 2.0. Sayembara itu juga kata Fahd Razy membantu untuk mengenal pasti manuskrip yang baik untuk diterbitkan.
Namun satu hal yang jelas bagi Fahd Razy, baharu atau lama bukan persoalan utama kerana Kata-Pilar sentiasa bersedia menerbitkan karya sesiapa sahaja tanpa berkompromi tentang soal kualiti.
“Jika diletak hierarki, pertama tentunya kekuatan karya. Tiada kompromi. Kedua, kekuatan penulis yang dinilai melalui konsistensi karya dan potensi yang ditunjukkan penulis di luar manuskrip. Ketiga, kebolehpasaran karya dan hal ini amat dipengaruhi oleh keadaan semasa dan khalayak Kata-Pilar. Keempat, nilai tambah yang lain, misalnya gaya penulisan yang baharu dan berbeza, seperti yang dibawakan oleh Jack Malik dan Aliff Awan, yang dapat mempelbagaikan rupa puisi di Malaysia,” katanya.

Bara Hujan, Kata-kata yang Muncul di Cermin dan Daftar Mimpi sudah ada di pasaran sejak 25 Mei 2021 dan boleh dibeli di sini. Promosi harga prapesan masih berjalan sehingga 18 Jun ini.