Diterbitkan pada 19 April 2021, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bermula 19 hingga 22 April 2021, pemuisi dari 19 buah negara termasuk Malaysia akan mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu sempena Festival Puisi Antarabangsa.

Acara itu yang akan disiarkan dalam media sosial, Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah sebahagian daripada acara Kuala Lumpur Ibu kota Dunia (KLWBC) 2020.

Dianjurkan DBP dengan kerjasama Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), ia akan menampilkan pemuisi dari Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, China, Vietnam, Korea Selatan, Itali, India, Rusia, Belgium, Timor Leste, Uzbekistan, Azerbaijan, Mauritania, Yaman, Jepun, Belanda dan Australia.

Antara yang akan mendeklamasikan puisi termasuklah Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Muhamad Haji Salleh, SN Dr. Siti Zainon Ismail dan SN Dr. Zurinah Hassan, selain penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) antaranya Datuk Jasni Matlani, Zakaria Ariffin dan Zaen Kasturi.

Acara itu turut diserikan dengan bacaan puisi oleh penerima SEA Write Thailand, Zakariya Amantayya juga pemuisi Indonesia Joko Pinurbo.

Selain puisi moden, acara ini turut akan menampilkan puisi tradisional. Istimewanya, kesemua deklamator ini akan mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu selain puisi dalam bahasa kebangsaan masing-masing.

Acara itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi