Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Kredibiliti Muhammad Aibaq Mohd. Aidi sebagai deklamator terus terbukti apabila beliau berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 2026 Peringkat Negeri Kelantan.
Menerusi puisi berjudul “Genta Kedaulatan” daripada antologi Atma Berdaulat terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Aibaq Aidi cemerlang menambat hati panel juri pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), semalam.

Kejayaan mengekalkan takhta kejuaraan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 berserta sijil penghargaan.
Naib Johan pula disandang oleh Naeema Natasya Puteri Mohd Ghazali yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700, manakala Nik Fateeha Syuhada Imran merangkul tempat ketiga berserta hadiah wang tunai bernilai RM500.
SDPK Ke-40 merupakan program anjuran bersama DBPWT, GAPENA dan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
Penolong Setiausaha GAPENA, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Ahmad Zawawi Che Kob yang menyempurnakan majlis perasmian dan penyampaian hadiah berkata, sayembara yang digerakkan sejak tahun 1987 itu bermatlamat untuk menyemai semangat patriotisme dan memupuk rasa cinta akan negara menerusi seni deklamasi puisi.
“Selain menyemarakkan bahang sambutan kemerdekaan, penganjuran pusingan ke-40 ini turut diangkat sebagai medium yang berkesan untuk memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk, di samping meningkatkan apresiasi umum terhadap naskhah kesusasteraan kebangsaan,” tambah beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua 1 PUSPA, YBrs. Dr. Haji Abdul Aziz Haji Mahmood serta Timbalan Pengarah (Pemupukan dan Pengalakan) DBPWT, YBrs. Encik Muhamad Ikhram Fadhly Hussin yang hadir mewakili Pengarah DBPWT.