Diterbitkan pada 22 Julai 2026, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muhammad Firdhaus Zulkifli membongkarkan hakikat bahawa terjemahan bukan sekadar perpindahan kata daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain, tetapi merupakan proses yang menuntut suatu pertimbangan terhadap makna, budaya dan tujuan sesuatu teks. Tulisan ini merupakan refleksi terhadap Fokus Utama Dewan Sastera Bil. 04/2026.

Persoalannya bukan lagi tentang apa itu terjemahan, tetapi bagaimana makna itu dipindahkan, dan pada harga apa?

Kita sering membaca teks terjemahan tanpa berfikir panjang. Pembacaan ini menggambarkan seolah-olah makna yang kita fahami itu hadir secara semula jadi. Namun begitu, di sebalik setiap ayat yang kelihatan lancar, tersembunyi satu proses yang kompleks, penuh pertimbangan dan kadangkala penuh kompromi. Terjemahan bukan sekadar memindahkan kata, tetapi melibatkan keputusan-keputusan kritikal yang menentukan sama ada sesuatu makna itu hidup dan dapat dirasai atau terpadam dan terpinggir dalam penghasilan bahasa baharu.

Di sinilah terletaknya paradoks terjemahan: semakin “mudah” sesuatu terjemahan dibaca, semakin tidak kelihatan usaha yang telah dilakukan oleh penterjemah. Maka, persoalannya bukan lagi tentang “apa itu terjemahan?”, tetapi “bagaimana makna itu dipindahkan, dan pada harga apa?”.

Kesetiaan yang Mengelirukan, Kebebasan yang Berisiko

Pendekatan terjemahan harfiah sering dianggap sebagai bentuk kesetiaan tertinggi terhadap teks asal. Dengan mengekalkan struktur dan pilihan kata, penterjemah dilihat tidak “mengkhianati” teks sumber. Namun begitu, kesetiaan seperti ini sebenarnya boleh bersifat mengelirukan. Bagaikan kesetiaan Hang Tuah kepada pembesarnya, kesetiaannya dibaluti pengkhianatan. Bahasa bukan sekadar sistem tanda yang boleh dipindahkan secara mekanikal. Setiap bahasa membawa logik, struktur dan dunia makna yang tersendiri. Apabila pendekatan harfiah diaplikasikan secara paksaan atau berlebihan, hasilnya sering mencipta satu ayat yang kaku, tidak semula jadi, malah kadangkala menyeleweng daripada maksud asal. Dalam erti kata lain, kesetiaan pada bentuk boleh membawa kepada pengkhianatan terhadap makna.

Lebih jauh daripada itu, pendekatan harfiah sering gagal menangkap dimensi retorik bahasa. Bahasa tidak lari daripada dihiasi unsur majaz, kiasan dan susunan yang memberikan nyawa pada sesuatu teks. Sebagai contoh, dalam tradisi keilmuan Arab, terutamanya dalam kajian berkaitan dengan I’jaz (kemukjizatan) al-Quran, menurut ʻAbd al-Qāhir al-Jurjānī, keindahan bahasa dan retorik yang termaktub dalam kitab suci al-Quran terletak pada nazm, iaitu cara makna disusun dalam bentuk yang unik (2025:48). Apabila dimensi ini diabaikan, terjemahan mungkin kelihatan tepat, tetapi sebenarnya kehilangan sesuatu yang lebih penting: pengalaman makna itu sendiri.

Sebagai tindak balas terhadap kelemahan ini, muncul pendekatan maknawi dan terjemahan dinamik yang mengutamakan kefahaman pembaca. Pendekatan ini mengalihkan fokus daripada bentuk kepada makna; daripada apa yang ditulis kepada apa yang dimaksudkan. Namun begitu, kebebasan ini ada harganya dan bukan tanpa risiko. Penterjemah kini bukan sekadar pemindah tetapi pentafsir. Dan, seperti mana-mana proses tafsiran, hal ini terdedah pada subjektiviti.

Konsep kesan setara yang diperkenalkan oleh Eugene Nida cuba menyeimbangkan keadaan ini (2009:73). Terjemahan yang baik bukan sekadar tepat, tetapi mampu menghasilkan kesan yang sama kepada pembaca sasaran. Namun, keseimbangan ini sentiasa rapuh, dan di sinilah bermulanya dilema sebenar penterjemah.

Pengkhianatan yang Tidak Dapat Dielakkan

Ungkapan Itali Traduttore, traditore” yang bermaksud “penterjemah ialah pengkhianat” mungkin kedengaran keras, tetapi hal ini mencerminkan satu realiti yang sukar dinafikan. Setiap terjemahan, dalam kadar tertentu, melibatkan kehilangan. Kehilangan itu bukan sahaja pada aras perkataan, tetapi juga pada keindahan retorik, susunan struktur dan muatan budaya sesuatu Bahasa (2013).

Dalam tradisi Arab, perbincangan tentang kemustahilan menterjemah puisi dan al-Quran memperlihatkan bahawa bahasa bukan sekadar wadah makna, tetapi juga ruang estetika yang sarat dengan unsur majaz dan isti‘arah (bahasa kiasan). Keindahan ini terletak pada nazm yang tidak dapat dipindahkan sepenuhnya ke dalam bahasa lain. Maka, terjemahan sering kali hanya menghadirkan bayangan makna, bukan keseluruhan pengalaman asal.

Pandangan ini selari dengan peringatan sarjana seperti Peter Newmark bahawa setiap terjemahan pasti melibatkan kehilangan makna (2020:43). Dalam konteks ini, “pengkhianatan” bukanlah kegagalan, tetapi satu kenescayaan. Penterjemah tidak memilih antara setia atau mengkhianati, tetapi menentukan apakah yang perlu dipelihara dan apakah yang terpaksa dilepaskan.

Apabila Budaya Menentukan Makna

Cabaran terjemahan menjadi lebih jelas apabila berdepan dengan perbezaan budaya. Bahasa mencerminkan cara hidup dan pemikiran sesuatu masyarakat, dan tidak semua ungkapan boleh dipindahkan secara langsung.

Mari kita perhatikan dan tadabbaur ayat 40 daripada Surah al-A’raf:

حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ …”

Ayat yang mulia tersebut merupakan satu kiasan yang menggambarkan kemustahilan mutlak. Terjemahan harfiah “sehingga unta masuk ke lubang jarum” mungkin tepat dari segi bentuk, tetapi tidak semestinya berkesan kepada pembaca Melayu. Sebaliknya, ungkapan seperti “sehingga kucing bertanduk” lebih mudah difahami dalam konteks tempatan, tetapi pada masa yang sama menghilangkan imej asal yang sarat dengan latar budaya Arab (2015:27).

Di sinilah jelas bahawa setiap pilihan terjemahan membawa implikasinya. Terjemahan harfiah mengekalkan bentuk tetapi mungkin gagal menyampaikan kesan, manakala terjemahan dinamik menyampaikan maksud tetapi mengorbankan identiti asal teks. Dalam keadaan tertentu, pendekatan penjelasan, iaitu dengan mengekalkan teks asal sambil menambah huraian boleh menjadi jalan tengah yang lebih seimbang.

Terjemahan sebagai Tanggungjawab Intelektual

Daripada semua perbincangan ini, jelas bahawa penterjemah bukan sekadar pemindahan bahasa, tetapi pentafsir dan perantara makna. Setiap pilihan yang dibuat membawa kesan kepada kefahaman pembaca. Dalam erti kata lain, penterjemah tidak pernah benar-benar neutral.

Namun, di sinilah juga terletaknya keindahan terjemahan. Terjemahan bukan sekadar proses teknikal, tetapi satu seni yang memerlukan keseimbangan antara disiplin dengan kreativiti. Terjemahan ialah satu tindakan pemikiran yang rumit yang melibatkan analisis, penilaian dan keputusan.

Dalam dunia yang semakin berbilang bahasa dan budaya, keperluan pada terjemahan yang berkualiti menjadi semakin mendesak. Maka, apabila kita membaca sesuatu terjemahan, mungkin sudah tiba masanya kita bertanya: apakah yang telah dipelihara, dan apakah yang telah hilang? Kerana di situlah kita akan memahami bahawa terjemahan bukan sekadar memindahkan kata, tetapi satu usaha untuk menghidupkan makna.

Rujukan

  • Akmal Hazri bin ʿAbd al-Raḥ (2004). Ishkāliyyat tarjamat al-Qurʾān al-karīm: dirāsah naẓariyyah wa taḥlīliyyah li-namādhij min al-dalālāt al-siyāqiyyah al-lafẓiyyah fī al-tarājim al-Mālayziyyah(إشكالية ترجمة القرآن الكريم: دراسة نظرية وتحليلية لنماذج من الدلالات السياقية اللفظية في التراجم الملايوية). Tesis PhD, International Islamic University Malaysia, Malaysia.
  • (2020). “Traduttore, traditore”- ‘The translator is a traitor’. The GSAL Journal.
  • Majdi Hajj Ibrahim. (2009). al-Tarjamah bayna al-ʿArabiyyah wa al-Mālayziyyah: al-Naẓariyyāt wa al-Mabādiʾ(الترجمة بين العربية والماليزية: النظريات والمبادئ). Kuala Lumpur: IIUM Press.
  • Hilmi Abdullah. (2008). Teori & kaedah penterjemahan Arab-Melayu. Ketereh, Kelantan: Pustaka Hilmi.
  • Mustafa Bashir Muhammad Ramadan. (2025). “Critics’ Views on Systems Theory and Its Foundations” dlm. Afro-Asian Journal of Scientific Research (AAJSR), 3(4), 45–54.
  • Nasimah Abdullah, Lubna Abd Rahman dan Saifulah Samsudin. (2020). “Terjemahan Kinayah salam Wacana Al-Quran: Analisis Teori Komunikatif Newmark” dlm. Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 5(30), 40–61.
  • Yaakub, Muhamadul Bakir. (2009). Muqaddimah ilā fann al-tarjamah(مقدمة إلى فن الترجمة). Kuala Lumpur: Haruman Timur Corporation Sdn. Bhd.

______________________________

Muhammad Firdhaus Zulkifli seorang pensyarah yang berpengalaman dalam bahasa Arab. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Linguistik dan Kesusasteraan Bahasa Arab dari Universiti Mohamed V, Rabat, Maghribi.

Kredit Foto: McGill Library
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi