Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Udang – Pegawai Psikologi, Ibtisam Sashim @ Hasim berjaya menempah tempat ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-40 Peringkat Kebangsaan selepas dinobatkan sebagai Juara SDPK ke-40 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, baru-baru ini.
Ibtisam mengalahkan 27 peserta lain menerusi persembahan deklamasi sajak “Bacalah Sejarah” karya Sani La Bise. Beliau membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM1,000, penginapan di Kundasang, Sabah, sebuah plak dan sijil.
Naib Johan pula menjadi milik Syarifah Fairuz Abdul Ghani menerusi persembahan deklamasi sajak “Rumah Kita Pernah Terbakar” karya Lee Cheong Beng dan membawa pulang wang tunai RM700, penginapan di Bukit Merah Laketown Resort, Perak, sebuah plak dan sijil.
Sementara itu, Norafiah Saini yang mendeklamasikan sajak “Merdeka Itu Kedaulatan Bangsa” nukilan Hasan Baseri Budiman meraih tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM500, penginapan di Metra Square, Melaka, plak dan sijil.
Kesemua sajak yang dideklamasikan merupakan sebahagian sajak daripada Antologi Puisi SDPK Atma Berdaulat yang diterbitkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) pada tahun ini.
Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, YBhg. Mejar Jeneral Haji Sani S. Omar dalam ucapan perasmian penutup berkata, golongan karyawan seni tidak boleh dikesampingkan dalam pembangunan negara manakala anggota beruniform yang dilihat relevan dalam usaha memperkasakan kedaulatan negara wajar berdampingan bagi mewujudkan semangat patriotism yang lebih mendalam.
“Mempertahankan negara bukan hanya tanggungjawab anggota tentera semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia. Melalui program seperti ini, kita dapat membina generasi yang bukan sahaja mahir berbahasa dan menghayati sastera, malah mempunyai jati diri yang kukuh, menghormati sejarah perjuangan wira terdahulu serta bersedia mempertahankan kedaulatan negara dalam apa jua keadaan,” ujarnya sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

SDPK ke-40 Peringkat Negeri Melaka anjuran Lembaga Bahasa Melayu Melaka menerusi inisiatif GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka juga menjalin kolaborasi buat julung kalinya bersama-sama Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera serta Kelab Deklamator Melaka.
Kelima-lima pihak tersebut memeterai kerjasama pada masa akan datang bagi terus memperkukuh penghayatan terhadap nilai-nilai patriotik, perjuangan dan jati diri bangsa.