Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari memperkenalkan penyair lewat usia, Yusoff Abdollah yang prolifik tetapi terpencil, menetap jauh di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah, daerah Jeli, dalam Jajahan Kuala Krai, Kelantan.

Jelas, penyair ini memiliki jiwa halus dan penyayang.

Yusoff Abdollah berupaya mengungkapkan suara yang menarik, indah, segar, dan halus dalam sebahagian pengucapannya. Lihat sahaja petikan puisinya yang berikut:

…..Membilang waktu yang hilang
…..menjadi ranting-ranting kering
…..tua dan lara di pohon usia
.
………..(“Aku dan Awan”, 2024:3)

…..Kutanggalkan resah
…..kutampal ke dada malam
…..agar tidak siapa dapat melihat
…..parut luka yang membarah.
………..(“Hujan Sepanjang Perjalanan”, 2024:47)

…..cahaya usia yang kian malap
…..di tabir gelap.
………..(“Jejak Tak Bertapak”, 2024:52)

…..tepiannya kematian
…..noktahnya batu nisan
………..(“Perpisahan”, 202497)

Sebagai penyair berada dalam lingkung sosiobudaya masyarakat yang hidup dengan sumber alam, beliau tidak lupa mengamati dan melarikkan kepekaan puisinya terhadap orang desa. Malah, terdapat beberapa buah puisinya mengkhusus kepada para penoreh getah.

Contoh ini boleh dilihat dalam sajak “Akulah Penoreh Getah” (2024:4) yang memaparkan kepekaan dan simpati mendalamnya: “Akulah penoreh/basah dan resah walau mata/kekeringan air mata lenyai hati meleleh basah/ke segenap urat nadi dan darah/mengiringi hujan yang mencurah.”

Melalui sajak “Itikku Telah Tiada” (2024:48) pula, memberikan gambaran sosiobudaya kehidupan masyarakat desa yang turut diwakili oleh diri penyair sendiri. Puisi ini tampak melucukan, namun jika direnung secara halus, puisi ini mengharukan: “Itikku telah tiada/aku kehilangan zikirnya/yang tidak mengharapkan apa-apa/selain mengesakan-Nya”.

Tidak hairanlah jika kepekaan dan pemikiran ini wujud dalam proses kreativiti penyair ini. Jelas, penyair ini memiliki jiwa halus dan penyayang. Beliau tampil mengasihi haiwan ternakan dan peliharaan. Dalam hal ini, beliau jelas sekali menuju pada kecenderungan mengungkapkan puisi bernafaskan keislaman. Sebahagian besar puisi dalam kumpulan ini mengetengahkan pengucapan ketakwaan kepada Allah SWT, termasuk sikap insaf pada ibadah, selain menaakul pada titik kematian sebagai noktah yang sedang menunggu di hujung hidup.

Rona malam yang indah di Kuala Balah, di hadapan kediaman Yusoff Abdollah.

Sebahagian besar, disedari atau tidak dalam dunia puisi mutakhir tanah air, baris penyair Kelantan merupakan paling ramai dan konsisten menyumbangkan pengucapan puisi keislaman.

Hal ini dapat ditemukan secara konsisten melalui barisan penyair Kelantan yang termasuk A. Aziz Deraman, Abham TR, Abdulhadi Muhammad, Ashaari Muhammad, Darma Mohamad, Marhan, Moechtar Awang, Mujahid Adil, Norhisham Mustaffa, Rahimidin Zahari, Rudi Mahmood, Salman Sulaiman, Sutung Umar RS, Wan A. Rafar, dan terbaharu Ramzan al-Firdausi, Zuharman Mohammad Nor, di samping Ezani Daud, Leo AWS, M. Arif, Marah Mahadi Hassan, dan Nik Mohd Hafiz Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama).

Kehadiran Yusoff Abdollah pada kepekaan dan kecenderungan pemikiran puisi keislaman ini boleh dibanggakan, menambahkan lagi pengisian baris penyair Kelantan (berserta penyair lain di tanah air) pada juring pengucapan ini.

Kumpulan Daerah Cinta ini juga menarik, membuktikan beliau bukan penyair dari hulu yang terbatas lingkung di situ sahaja. Pengucapannya turut keluar ke lingkungan jauh, melalui beberapa buah puisinya, kesan kunjungannya ke luar negara. Baris-baris taakulannya mengabadikan kepekaan kepenyairannya semasa di Indonesia, Jepun dan Tanah Suci.

Yusoff Abdollah (kanan) berfoto kenangan berhampiran Gunung Fujiyama, Jepun.

Misalnya ketika beliau mengunjungi Negara Matahari Terbit, beliau mencatat dalam “Di Bawah Pohon Sakura” (2024:31): “dahan dan ranting hanya terdiam/dalam cinta yang mendalam/tidak mampu menahan/sakura tetap berguguran”.

Sewaktu di Tanah Suci pula, beliau mengabadikan keinsafan dalam “Labbaikallahumma Labbaik” (2024:65): “kuketuk pintu hidayah-Mu ya Allah/menemukan segala kunci keagungan/untuk kumasuk bersujud/di petarana kebesaran-Mu”.

Walau sekadar ‘hanya penyair dari hulu Kelantan’, beliau sudah pun mengisi dunia puisi dalam kesusasteraan Kelantan dan tanah air secara bermakna

Penyair Yusoff Abdollah tentu sahaja akan tetap menetap di hulu Kelantan. Beliau akan dikagumi dan dihargai sebagai susuk penyair yang sepi, menyendiri, jauh; namun akan terus menyumbangkan kreativiti puisi dari hulu sana.

Semenjak meneliti manuskrip kumpulan puisi Daerah Cinta beliau, sehingga diterbitkan, penulis belum pernah bersua wajah dengannya.

Sehinggalah pada sekitar bulan September 2024, ketika penulis memohon jasa baik Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur untuk mengadakan dan mengendalikan bengkel Kedinamikan Bahasa Kebangsaan Merentas Sastera Kreatif Patriotik. Pada masa itulah beliau turut hadir. Saat itulah kami bertemu, pertama kali.

Malah, beliau hadir dalam semua siri yang diadakan dua kali, tiga jam setiap satunya. Salah satu pengisian matlamat bengkel itu, bagi menggalakkan dan membantu para penulis muda Kelantan menyahut seruan menyertai Sayembara Penulisan Kreatif DBP yang diumumkan baru-baru itu.

Kali kedua, ketika majlis pelancaran buku antologi puisi penyair Kelantan dan Perlis, Hujan dan Daun di Halaman terbitan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Penulis Perlis (3P) melalui kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan yang, berlangsung di Hotel Rayyan Sofea, Pengkalan Chepa, Kelantan. Puisi beliau, salah satu terpilih mengisi antologi ini.

“Pada jam berapa bertolak?” sapa penulis. Beliau tiba pagi benar.

“Bertolak awal sebelum matahari terbit. Selepas solat Subuh, terus berlorak (bergegas). Sama lorak dengan matahari.”

Penulis bersyukur, beliau sudah menampilkan komitmen serius untuk menyertai pertemuan sastera, walau harus berlorak-lorak datang dari jauh ketika awal pagi. Malah, kami sempat bersarapan nasi berlauk di sebuah warung berhampiran, bersama-sama pelukis batik profesional, Amir Batik Tulis.

Ketika bersembang di warung, penulis terkejut, beliau memiliki dan mengusahakan kebun sawit sendiri seluas 10 ekar.

Yusoff Abdollah di kebun sawitnya.

“Itulah untungnya, kalau tinggal di kawasan ulu. Sayur boleh tanam. Ikan mudah dapat di sungai. Tambah pula, ada sawit sendiri,” Amir mencelah.

“Di kampung ulu, udara bersih. Umur panjang. Kalau umur lebih lagi panjang, boleh tambah isteri lagi.” Pecah lagi derai tawa kami dijentik oleh kelakar Amir.

“Tentu banyak pohon durian juga. Abang Yusoff harus tahu, Abang Rosli ini hantu durian.”

“Saya tak ada sebatang habuk. Sudah tanam sawit penuh. Tanah orang lain, banyaklah,” jawabnya kepada Amir. “Tetapi, tak apa. Tak perlu kecewa. Datanglah pada musimnya. Saya belikan. Di ulu, durian banyak, berlambak, murah sahaja harga. Kadang, sepuluh riyal (ringgit) pun boleh dapat tiga biji, jenis durian baik (elok).”

“Saya datang dengan van,” ujar penulis.

Kami gelak lagi.

“Tidak pernah cuba menulis puisi di bawah pohon sawit?” Penulis cuba berjenaka kepadanya.

“Pernah cuba,” ujarnya jujur, gelak, “tetapi payah. Asyik nampak sawit sahaja.”

“Cuba bayangkan, tentu indah, kalau melihat bulan dari celah-relah daun pohon sawit.”

Termenung sejenak-renak, barangkali mungkin terbayang pada bulan begitu, beliau mengangguk. Tersenyum beriring lalu mengungkap, “Ya, indah.”

Penulis mengharapkan moga kreativiti beliau akan terus menyusul dengan kumpulan puisinya yang hadapan lagi. Yang benar, walau sopan merendahkan diri, menganggap posisinya terpencil, sebagai sekadar “hanya penyair dari hulu Kelantan”, namun beliau sudah pun mengisi dunia puisi dalam kesusasteraan Kelantan dan tanah air secara bermakna.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri, Yusoff Abdollah, Abd. Razak Rezeki Othman dan Dahri Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi