Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O meneliti jika karya sastera benar-benar dapat mengubah hati nurani manusia yang menelaahnya.
Sejauh manakah sebenarnya karya sastera mampu membentuk hati dan nurani manusia?
Kebiasaannya, apabila seseorang penulis semakin matang berfikir dan berubah cara melihat dunia, cara dia melihat penulisan dan sikapnya dalam berkarya juga akan berubah.
Pada tahap ini, seorang penulis akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya.
Penulisan baginya kini tidak lagi dilakukan sekadar untuk mencari keseronokan atau menunjukkan kebolehan diri. Sebaliknya, karya yang ditulis dilihat sebagai satu tanggungjawab dan amanah.
Setiap tulisan yang dihasilkannya diharapkan membawa mesej yang baik, mengandungi nilai moral serta mengingatkan manusia tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba Tuhan dan semoga memberikan sedikit manfaat kepada sesama manusia yang membaca karyanya.
Kini, karya sastera yang digarapnya diharapkan dan dipastikan akan sentiasa mengumandangkan nilai-nilai intelek dan kemanusiaan sejagat seperti keadilan, keamanan dan penentangan terhadap penindasan terhadap sesama manusia.
Demikianlah misi, harapan, sikap, dan cita-cita yang mahu digapai oleh seorang penulis yang telah matang berfikir ketika sedang berkarya. Segalanya itu dibuktikan melalui karya demi karya yang dihasilkannya dan dikongsikan bersama khalayak pembaca karyanya.
Namun begitu, apabila kita melihat keadaan dunia hari ini, realitinya tidak seindah yang digambarkan dalam karya sastera atau tidak seperti apa yang diharapkan penulis.
Pertelingkahan sesama manusia masih berlaku, hak asasi manusia sering dicabuli dan konflik antara negara serta pemimpin terus berlarutan. Setiap hari, kita melihat dan membaca berita bagaimana manusia di sebuah negara dijarah sewenangnya dan keadilan atau pembelaan sekadar sandiwara belaka.
Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa begitu banyak karya sastera yang telah ditulis, dibaca dan dipelajari tidak benar-benar mampu mengubah sikap manusia agar menjadi semakin manusiawi.
Puluhan atau ratusan sudah tokoh sastera menerima pengiktirafan peringkat dunia, namun mereka seolah-olah memilih diam dan membisukan diri ketika melihat segala kesewenangan sedemikian rupa ini.
Hal ini menimbulkan satu persoalan lain: sejauh manakah sebenarnya karya sastera mampu membentuk hati dan nurani manusia? Adakah sastera hanya dibaca dan difahami oleh segelintir golongan sahaja, tanpa memberikan kesan kepada mereka yang memegang kuasa dan membuat keputusan penting untuk manusia yang lain?
Atau dengan kata lain, penulis dan karyanya sekadar mampu mengharapkan sebuah dunia utopia yang langsung tidak berpijak pada kenyataan sebenar kehidupan?
Ternyata, betapa pun tinggi harapan dan betapa pun murni hasrat dan cita-cita seorang pengarang ketika berkarya, tetapi hakikatnya, karya sastera tidak mempunyai kuasa secara langsung untuk menghentikan peperangan atau menghapuskan penindasan.
Betapa pun naif kedengarannya, namun demikianlah hakikat yang sebenarnya. Karya sastera bukan kitab suci, bukan undang-undang dan bukan juga memiliki kuasa politik.
Kekuatan sastera hanya, demikian harapan dan impian kebanyakan sasterawan sejati, pada keupayaannya menyentuh perasaan, membangkitkan empati dan mengajak manusia berfikir tentang soal betul dan salah.
Inilah persoalan dan masalah sebenarnya. Betapa pun murni harapan dan cita-cita seorang penulis, betapa pun gencar saran dan ajaran para ahli falsafah dan penteori sastera mengenai apa dan bagaimana semestinya sebuah karya ditulis, namun wujud jurang yang besar antara nilai murni dalam karya sastera dengan sikap manusia dalam kehidupan sebenar.
Ada manusia yang membaca dan memuji karya sastera, tetapi tidak mahu mengubah sikap dan perbuatan mereka sendiri. Dalam hal ini, kegagalan bukan terletak pada sastera semata-mata, tetapi pada manusia yang enggan mendengar suara hati mereka sendiri.
Selain itu, ada juga penulis yang terlalu selesa mencipta dunia yang indah dan sempurna dalam karya mereka, tetapi jauh daripada realiti sebenar kehidupan. Karya di tangan mereka hanya menjadi kata-kata indah tanpa kekuatan dan kuasa, seperti harapan dan saranan ahli teori dan falsafah sastera kita: untuk menyedarkan, menginsafkan dan menggugat pemikiran pembaca.
Jadi bagaimana?
Untuk dan perlu apa lagi karya sastera ditulis, dibaca dan dipelajari, jika segala harapan dan impian murni kita sebagai manusia yang cintakan perdamaian, keadilan dan ingin menegakkan hak asasi manusia agar berada pada tempatnya yang wajar tidak terpenuhi?
Apakah tugas dan tanggungjawab seorang penulis sekadar menulis tentang kemanusiaan, menggambarkan penderitaan, ketidakadilan, dan penindasan terhadap sesama manusia, namun pada waktu sama, dirinya sendiri menjadi salah seorang aktor aktif dalam kejahatan tersebut.
Jawabnya terserah kita. Mahu terus menulis atau tidak, mahu menjadi aktor yang terlibat dalam kejahatan tersebut atau tidak, terserah masing-masing pilihan.
Apakah mahu menuliskan karya baik dan bermutu sepertimana arahan serta suruhan para ahli falsafah dan penteori atau pengkritik sajak, juga terserah. Masing-masing bebas memilih dan menentukan.
Mahu tidak mahu, yang penting kita perlu menerima hakikat bahawa sastera tidak mampu mengubah manusia yang sudah menutup hati nuraninya. Karya yang paling baik sekali pun tidak akan memberikan kesan kepada mereka yang hanya mengejar kuasa dan keuntungan.
Kesimpulannya, peranan sastera mungkin bukan untuk mengubah dunia secara serta-merta, tetapi untuk menjadi saksi yang jujur terhadap apa-apa yang berlaku.
Sastera menjadi suara yang mencatat penderitaan, penindasan dan kegagalan manusia mempertahankan nilai kemanusiaan. Di situlah sebenarnya letak makna dan kepentingan sebuah karya sastera.
Penulis pula, yang telah matang berfikir dan telah berubah caranya melihat dunia akan tetap terus menulis karya yang difikirkannya akan mampu memberikan sedikit manfaat kepada pembacanya.
Tanpa perlu diarah, disuruh, apalagi disergah agar menulis karya yang begitu dan begini oleh sesiapa sahaja yang berasaskan dirinya memanggul tanggungjawab besar untuk berbuat demikian.
Kerana penulis, boleh dan tahu berfikir sendiri. Sedar diri dan ruang dan tidak ingin hidup sebagai seorang yang munafik.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.