Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Karya sastera yang bermutu perlu berupaya mengangkat pengalaman manusia secara mendalam melalui gabungan emosi, pemikiran dan bahasa yang berkesan.
Demikian menurut Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Bermula daripada Sebuah Dunia Kecil” dalam Kolokium Sastera Kajian Kepengarangan Pengarang Malaysia: Ada Apa dengan Pengarang yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dewan Bahasa dan Pustaka semalam.
Menurut beliau, proses kreatif seorang pengarang bersifat separa peribadi dan tidak mudah dijelaskan secara teratur kerana penciptaan karya sering lahir daripada gerak intuisi, imaginasi dan pengalaman yang sukar diterjemahkan secara langsung.
“Saya percaya, kreativiti ialah sesuatu yang harus dialami dan bukannya dijelaskan sepenuhnya.
“Pembaca berhak meneroka karya daripada sudut pandang mereka sendiri tanpa terlalu terikat dengan penjelasan pengarang,” katanya.
Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan bahawa perjalanan awal kepengarangannya bermula melalui puisi yang dianggap sebagai “dunia kecil” yang padat dengan emosi, pemikiran dan falsafah.
Walaupun pernah beranggapan yang puisi mudah ditulis ketika remaja, beliau kemudiannya menyedari bahawa genre tersebut merupakan antara bentuk penulisan yang paling mencabar kerana memerlukan ketepatan diksi serta keupayaan menyampaikan makna yang berlapis dalam ruang yang terhad.
Anwar turut berkongsi pengalaman menghasilkan cerpen yang diibaratkannya sebagai organisma “ameba” kerana sifatnya yang fleksibel mengikut ruang penerbitan.
Beliau menjelaskan bahawa kekangan ruang dalam akhbar dan majalah tidak seharusnya dilihat sebagai batasan, sebaliknya sebagai cabaran kreatif yang memaksa pengarang memadatkan emosi, pemikiran dan peristiwa dalam bentuk yang lebih berkesan.
“Kekangan bukan membatasi tetapi cabaran kreatif. Dalam ruang yang kecil, pengarang perlu memilih diksi yang tepat serta menyaring emosi bagi memperoleh kesan yang paling murni,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa karya fiksyen tidak semestinya mengangkat keseluruhan perjalanan hidup pengarang, sebaliknya hanya meminjam serpihan pengalaman yang diolah semula melalui imaginasi bagi menghasilkan karya yang lebih universal.
Menurutnya, cerpen dan novel yang dihasilkannya merupakan gabungan pengalaman peribadi, pemerhatian sosial serta imaginasi kreatif yang bertujuan menyentuh aspek psikologi, budaya dan kemanusiaan.
Pada masa yang sama, beliau menekankan kepentingan emosi sebagai elemen utama yang membolehkan sesebuah karya kekal dalam ingatan pembaca.
“Pembaca bukan sahaja mengingati cerita, tetapi juga emosi yang ditanggung oleh watak-watak dalam karya tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pemikiran sebagai jiwa pada sesebuah karya kerana kebijaksanaan yang terkandung dalam sastera mampu mengangkat pengalaman manusia melangkaui batas masa dan budaya.
Mengakhiri pembentangannya, Anwar menegaskan bahawa bahasa merupakan medium terpenting dalam kesusasteraan kerana ketepatan bahasa menentukan keberkesanan penyampaian idea, emosi dan imaginasi kepada khalayak.
“Tanpa gaya bahasa yang baik, idea yang paling kuat sekalipun tidak dapat berdiri teguh dalam jiwa pembaca,” katanya.