Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari memperkenalkan penyair lewat usia, Yusoff Abdollah yang prolifik tetapi terpencil, menetap jauh di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah, daerah Jeli, dalam Jajahan Kuala Krai, Kelantan.
Usahkan pada kalangan penyair muda dan calon penyair; bahkan, penyair mapan sekalipun belum tentu mudah tersiar.
Kelantan mempunyai keunikan tersendiri tentang pembahagian dan penandaan kawasan dalam negeri. Persempadanan utama pada bahagian petempatan penduduk tidak terus bermula dengan kawasan yang dinamakan daerah. Sebaliknya, terlebih dahulu disempadankan sebagai jajahan. Kemudian baru diikuti dengan daerah. Seterusnya merupakan mukim dan kemudian kampung.
Pada masa lalu, jajahan yang terletak di sebelah hulu lazimnya dianggap umum sebagai tempat yang terlalu jauh untuk sampai, kawasan terpencil atau pedalaman, malah ketinggalan pembangunan. Di Kelantan, Gua Musang merupakan kawasan jajahan yang terletak paling hulu. Diikuti dengan Jajahan Kuala Krai yang juga dianggap demikian kerana terletak bersebelahan (sebelum tiba di Gua Musang). Namun begitu, kedua-dua jajahan atau kawasan ini, pada masa kini sebenarnya tidaklah lagi sebegitu terpencil, berbanding dengan kala lalu.
Kita tidak lagi harus berperahu, berakit atau semata-mata hanya dapat menggunakan kemudahan kereta api. Di samping itu, jalan raya pula ketika itu belum menyeluruh, kecil sahaja dan kurang sempurna. Kini, infrastrukturnya sudah boleh dikatakan lengkap berikutan kemudahan daripada pembangunan negara. Malahan, terbina lebuh raya dan urbanisasinya juga sudah cepat berkembang. Selain itu, terdapat peningkatan sektor pertanian, khasnya ladang dan kebun, terutamanya pada sawit, getah dan sayuran kerana udara dingin pagi di kawasan ini.
Demikianlah gambaran perubahan pembangunan Gua Musang dan Kuala Krai yang terletak di bahagian hulu Kelantan pada masa kini.
Jika diamati pula pada kedinamikan kesusasteraan, sama ada khas di Kelantan atau tanah air secara amnya, hal ini dapat diketahui dan difahami bahawa di Gua Musang dan Kuala Krai masih amat kurang memberangsangkan. Dalam konteks negeri Kelantan, antara faktor ini termasuklah kedudukan kedua-dua jajahan ini yang jauh dari Kota Bharu yang menjadi pusat bandar penting dan ibu negeri bagi Kelantan.

Peranan, kepentingan, dan signifikan ibu negeri, termasuk ibu kota, tidak dapat dinafikan merupakan pusat yang dapat mendinamikkan serta mempengaruhi perkembangan dan kemajuan bidang kesusasteraan tanah air.
Hal ini kerana, ibu negeri/ibu kota menjadi titik penting destinasi berkumpul para penulis, malah lebih banyak pengisian aktiviti, program sastera dan pelbagai penerbitan, percetakan dan kecendekiawanan melalui institusi pengajian tinggi tertumpu di situ.
Hal ini misalnya dapat diamati pada ibu kota Singapura ketika zaman lalu dan juga Kuala Lumpur pada masa kini. Bahkan, di mana-mana negara pun, ibu kota tetap menjadi pusat perkembangan dan kemajuan bagi dunia sastera.
Merenung akan hal ini, penulis terkenang sekitar pertengahan tahun 2024, penulis pernah diserahkan sebuah manuskrip puisi oleh budayawan, dalang wayang kulit dan penulis Kelantan, Abdul Razak Ismail yang lebih dikenali dengan nama penanya, CT Puspa.
Akan tetapi, manuskrip itu bukan karya peribadi beliau. Milik penyair lain.
Beliau minta untuk tolong disemak. Tentulah dengan hasrat besar oleh penyairnya untuk manuskrip itu diterbitkan. Manuskrip itu berjudul “Daerah Cinta”. Seingat-ingat penulis, manuskrip ini mengandungi lebih 90 buah puisi, atau hampir-hampir 100 buah puisi. Hal ini membuktikan penyairnya begitu prolifik berkreativiti. Nama penyair itu ialah Yusoff Abdollah. Lebih mengagumkan kerana beliau tinggal terpencil di Hulu Kelantan.
Mengulang cuba mengingat nama Yusoff Abdollah, ketika itu, penulis terpegun merenung.
Pertama, secara peribadi, penulis memikirkan nama itu belum pernah penulis ketahui. Oleh itu, cepat-cepat penulis mengandaikan nama penyair itu merupakan nama penyair yang tentu terlepas daripada pengetahuan dan pemerhatian penulis. Namun hairan juga, paling tidak, kebanyakan penulis dan penyair muda Kelantan selalunya lazim penulis ketahui dan diambil pemerhatian.
Kedua, penulis terus menganggap penyair ini, meski jauh di Kuala Krai, hulu Kelantan, namun begitu prolifik mencipta puisi, memperagakan bukti minatnya dalam kreativiti puisi yang begitu besar, berterusan dan tekun sekali. Mengagumkan!
Ketiga, penulis memikirkan, berkemungkinan beliau ada berusaha mengirimkan karya puisi kepada mana-mana majalah atau akhbar, namun belum mendapat perhatian editor. Memang hal ini suatu hal yang tidak semudah memetik jari. Usahkan pada kalangan penyair muda dan calon penyair; bahkan, penyair mapan sekalipun belum tentu mudah tersiar. Sememangnya, peluang dan ruang memperoleh tempat bagi disiarkan karya bukanlah nasib yang mudah. Dari serata pelosok tanah air, berlambak bagai seratus buah karya, apatah lagi genre puisi, yang diterima oleh editor bagi mana-mana majalah dan akhbar saban minggu.
Atau, keempat, beliau sebenarnya tidak pernah mengirim kepada mana-mana media. Sekadar, minat dan prolifik mencipta. Setelah lama kemudian, justeru timbun draf puisi, baru timbul hasrat ingin membukukan karya puisinya.
Begitulah awal tanggapan penulis.
Sebelum lewat kemudian, baru penulis mengetahui rupa-rupanya beliau sesekali pernah menulis dalam sebuah portal sastera di talian, e-Sastera. Inilah suatu medan usaha yang cukup terpuji, membuka ruang luas kepada semua penyair dan penulis, terutamanya dalam kalangan angkatan muda dan bakat pemula bagi peluang besar mengembangkan minat dan bakat.
Penulis melapangkan masa meneliti dan menyemak manuskrip puisi Yusoff Abdollah. Bukan sahaja kerana selalu mengharapkan agar sentiasa boleh wujud kesemarakan dan kesinambungan bakat besar dari sisi sastera Kelantan yang sedia terkenal merupakan Lubuk Puisi dalam kedinamikan sastera tanah air (sejak dekad 80-an lagi), namun juga kerana berasa segan pada ajuan permohonan CT Puspa agar membantu menyemak.
Di samping itu, tentulah penulis amat mengharap dan menaruh harapan besar agar penyair Yusoff Abdollah dapat tampil prolifik, terkenal sebagai sebaris dengan angkatan penyair Kelantan dan para penyair lain di tanah air.
Sangatlah penulis ingat, penulis meneliti puisi beliau dalam selang-relang hujan renyai malam. Sekitar pertengahan tahun, Kelantan bagai sering dihambat oleh hujan kerana menghadapi musim peralihan Monsun Timur Laut dengan Barat Daya. Meski dingin atau sesekali tempias hujan merintik dari laman serambi, tempat membaca dan menulis, penulis berusaha tekun menyemak.
Tiada banyak juring yang patut ditegur atau sarankan melalui catatan penulis, kerana beliau sudah tampak jelas pada bakatnya, berkebolehan mencipta puisi dengan baik. Bahkan, sesetengahnya ketara pula bagus sekali pada mutu penciptaan dan juring pemikirannya.
Kumpulan puisi Daerah Cinta ini kemudian diterbitkan pada sekitar hujung tahun yang sama, 2024, oleh penerbit Bunda Susanti di Kelantan.

Membaca kembali kumpulan ini, penulis teringatkan seorang penyair/penulis mapan Kelantan, Abd. Razak Rezeki Othman di Gua Musang, sedangkan Yusoff Abdollah pula di Kuala Krai.
ChatGPT menerangkan, jarak Kota Bharu ke Gua Musang melalui jalan raya sekitar 185 hingga 235 km, bergantung pada titik mula sebenar dan laluan yang digunakan. Secara umum, kebanyakan pemandu menganggarkan jaraknya kira-kira 190 km. Jika trafik lancar, perjalanan biasa mengambil masa sekitar tiga jam. Hal ini bererti, lebih jauh ke Kuala Terengganu yang hanya pada sekitar 165 hingga 117 km.
Bahkan, pada mana-mana cuti musim perayaan, Jajahan Gua Musang itulah paling terkenal, diketahui menjadi titik lokasi paling sesak dengan lebih sejuta buah kenderaan sehimpun jujuk menghala memasuki Kelantan, terutama dari arah Kuala Lumpur.
Di pedalaman inilah, betapa pun terpencil dan menyendiri, beliau dapat konsisten pada minat dan bakatnya, tampil menjadi penyair.
Berbeza daripada Abdul Razak, Yusoff Abdollah tidaklah dari Kota Bharu kerana merupakan anak jati Jerimbong. Jerimbong sebuah desa di daerah Jeli, dalam Jajahan Kuala Krai, yang kalau puluhan tahun dulu dianggap sebagai antara pedalaman. Alamnya indah, udara bersih, malam dan pagi yang dingin, serta jauh dari hiruk-pikuk aktiviti manusia.
Yusoff pernah menggunakan nama Yajuk. Hal ini menghairankan, malah susul sedikit tawa kecil penulis. Hal ini kerana, cepat pula teringatkan pada Yakjuk Makjuk. Namun, tentu sahaja berlainan ejaan dan maksud. Ketika kesempatan penulis bertanyakan maksud nama itu, beliau menjelaskan, “Ringkas daripada Yusoff Abdollah, Jerimbong, Ulu Kelantan.” Dalam kalangan oghe Kelate, kata hulu memang disebutkan ulu. Terpegun penulis. Pandai beliau pada nom de plume itu.
Sekarang, Yusoff Abdollah sudah menetap di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah, Jeli, namun masih tetap juga di jajahan yang sama. Alam masih tetap seperti Jerimbong. Masih tetap sebagai kawasan pedalaman, meski sudah terdapat kemudahan infrastruktur.
Di pedalaman inilah, betapa pun terpencil dan menyendiri, beliau dapat konsisten pada minat dan bakatnya, tampil menjadi penyair.
Sebagaimana Gua Musang, Kuala Krai (atau khasnya Kuala Balah) tempat Yusoff Abdollah, kedua-duanya masih tetap kekal indah dengan banyak hutan, rimba, bukit, gunung, dan sungai, malahan juga air terjun.
Yusoff Abdollah juga pendidik seperti Abd. Razak, malah menariknya, beliau mengajar subjek Matematik. Wah, cakna pada sastera, tetapi mencintai dan langsung mencipta puisi!
Beliau dilahirkan pada tahun 1954, sebelum kemerdekaan tanah air. Yusoff memulakan pendidikan awal di kampungnya, Bukit Jering sedari tahun 1961. Kemudian, beliau meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Arab Maahad Muhammadi di Kota Bharu sehingga tahun 1971. Bayangkan, seorang anak baru awalan belasan tahun, seumur 13 tahun dari pedalaman hulu, harus cekal bermandiri “membawa diri” semata-mata untuk gigih mencari ilmu, meneruskan pelajarannya di bandar Kota Bharu.
Pada tahun 1973, beliau mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian melalui sekolah swasta, Institut Pendidikan Kota Bharu yang ketika itu terkenal sebagai “Sekolah IP”. Beliau berjaya memasuki Maktab Perguruan Seri Pinang, Pulau Pinang pada tahun 1975 – 1976 dengan pengkhususan dalam bidang Matematik.
Kini, beliau sudah lama bersara.
Meminati dan mencintai puisi, beliau memulakan karya puisinya melalui e-Sastera pada tahun 2008 yang dianggapnya sebagai fasa sedang belajar menulis puisi ketika itu. Bayangkan, pada ketika itu, usia beliau sudah pun mencecah 54 tahun, baru belajar mencipta puisi! Dari juring kesusasteraan tanah air, pada usia sedemikian, tentulah terpandang begitu lewat berkreativiti.
Disusuli, kira-kira empat lima tahun kemudian, berkat kegigihan dan sabarnya, beliau memberanikan diri untuk menyertai (dan diterima) terbitan beberapa buah antologi puisi tanah air.
Namun begitu, pada tahun 2012, kumpulan puisinya berjudul Sejalan Tak Sehaluan, disusuli Menyulam Merdeka (2014) diterbitkan oleh e-Sastera Enterprise, sebelum kemudian cepat pula diikuti dengan Suara Orang Terbuang (2015) yang diterbitkan oleh Kaukab.

Kini, dunia sastera tanah air dapat menerima beliau sebagai antara penyair yang ikut menyemarakkan alam puisi. Malah, kami di Kelantan tentulah paling gembira menyambut kehadirannya.
Berdasarkan pengucapan dalam kumpulan puisi terbaharu beliau, Daerah Cinta, taakulan dan suara Yusoff Abdollah dapat direnung luas menjurus pada liput dan litup keinsafan ketakwaan, tendensi sejarah, rakaman pengalaman diri, catatan kenangan hidup, ingatan cinta, kepekaan pada alam, lingkungan alam desa, renungan pada masyarakat, pengamatan di luar negara, dan nasib pengungsi.
Landskap alam tentulah amat dekat pada nurani penyair ini. Kepekaannya dimanfaatkan dari sisi pengucapannya, justeru berada dalam suasana di hulu sana. Sebagaimana pada beberapa contoh pengamatan ini:
…..tidak pernah terjadi
…..pelangi muncul sendiri
…..di langit kering dan garing
…..berselubung kumulus debu
………..(“Di Balik Titis Hujan”, 2024:29)
…..dadaku turut menggenang takungan air
…..yang tak terbendung merembas di hati
………..(“Di Lubuk Hati Terdalam”, 2024:32)
…..Malam dan siang semakin panjang
…..terbelit cinta di kabus harapan
…..kau menjadi bianglala penuh parut luka
………..(Ketika Rindu Mula Terbakar, 2024:60)
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.