Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Nasirin Abdillah membincangkan kumpulan puisi Ars Poeticas (2025) karya Juliana Spahr, pemenang Hadiah Pulitzer bagi Puisi 2026.
Kumpulan puisi ini meletakkan bahasa dalam keadaan tertekan, seolah-olah puisi sedang berusaha bertahan dalam dunia yang semakin rapuh akibat krisis politik, kemusnahan alam sekitar dan keretakan hubungan sosial.
Kemenangan Juliana Spahr dalam Pulitzer Prize for Poetry 2026 (Hadiah Pulitzer bagi Puisi 2026) menerusi kumpulan puisi Ars Poeticas (2025) membawa makna penting dalam perkembangan puisi kontemporari Amerika. Pengiktirafan tersebut bukan sekadar mengangkat mutu estetika karya Spahr, tetapi turut menandakan perubahan cara puisi dinilai pada zaman mutakhir. Jika puisi dalam tradisi klasik sering dikaitkan dengan persoalan bentuk, keteraturan dan keindahan bahasa, Ars Poeticas pula bergerak ke arah yang jauh lebih gelisah. Kumpulan puisi ini meletakkan bahasa dalam keadaan tertekan, seolah-olah puisi sedang berusaha bertahan dalam dunia yang semakin rapuh akibat krisis politik, kemusnahan alam sekitar dan keretakan hubungan sosial.
Judul Ars Poeticas sendiri mempunyai hubungan langsung dengan tradisi panjang kesusasteraan Barat, khususnya karya Horace, Ars Poetica, yang ditulis sekitar tahun 19-18 Sebelum Masihi. Karya tersebut merupakan puisi epistolari yang ditujukan kepada keluarga Piso dan sering dianggap sebagai antara teks terpenting dalam sejarah kritikan sastera Barat. Horace menghuraikan prinsip asas seni kepenyairan, termasuk soal kesederhanaan, keseimbangan, kesatuan bentuk, dan disiplin teknikal dalam penulisan puisi. Bagi beliau, puisi perlu mencapai keharmonian estetik melalui kawalan bentuk dan ketelitian bahasa. Setiap genre mempunyai aturan tersendiri dan penulis perlu memahami batas tersebut agar karya kekal konsisten dari segi nada, watak dan struktur.
Horace turut mengemukakan gagasan terkenal bahawa puisi harus “menghiburkan dan mendidik” (“aut prodesse aut delectare”) pada masa yang sama. Puisi bukan sekadar hiburan, tetapi juga alat untuk memperhalus pemikiran dan membentuk masyarakat yang beradab. Oleh sebab itu, Ars Poetica kemudiannya menjadi asas penting kepada tradisi Neoklasik Eropah yang melihat puisi sebagai seni yang terikat pada aturan rasional dan ketepatan bentuk. Dalam kerangka ini, puisi berfungsi menghasilkan keharmonian.
Namun, Ars Poeticas oleh Spahr bergerak dalam arah yang hampir bertentangan. Beliau tidak menawarkan panduan tentang cara menulis puisi yang “baik” seperti Horace. Sebaliknya, puisinya mempersoalkan kedudukan penyair dalam dunia yang sedang menghadapi krisis. Jika Horace berbicara tentang keteraturan, Spahr menulis dari tengah-tengah kecelaruan. Dunia dalam puisinya dipenuhi ancaman perubahan iklim, kepupusan spesies, kebangkitan fahaman pelampau, peperangan, dan keruntuhan moral politik semasa. Perbezaan paling ketara antara kedua-dua karya tersebut terletak pada tujuan puisi itu sendiri. Horace percaya bahawa puisi mampu memperhalus tamadun melalui keindahan dan disiplin estetika. Spahr pula melihat puisi sebagai ruang untuk menyuarakan keresahan kolektif. Dalam erti kata lain, Ars Poetica mengajarkan bagaimana puisi harus ditulis, manakala Ars Poeticas mempersoalkan sama ada puisi masih mempunyai makna ketika dunia berada dalam keadaan genting.
Pertentangan ini dapat dilihat dengan jelas melalui puisi pembuka dalam koleksi tersebut. Spahr menulis:
To write poetry after Castle Bravo.
Then to write poetry after 1,500 feet.
Baris ini merujuk Castle Bravo, ujian nuklear pada tahun 1954 yang menyebabkan kemusnahan besar dan pencemaran radioaktif. Rujukan sejarah ini penting kerana Spahr menghubungkan penulisan puisi dengan trauma sejarah manusia. Frasa “to write poetry after” diulang beberapa kali sehingga menghasilkan kesan bahawa puisi sentiasa hadir selepas kehancuran. Puisi tidak lahir dalam keadaan damai atau stabil, tetapi muncul daripada serpihan sejarah dan ingatan kolektif.
Penggunaan pengulangan tersebut turut mengingatkan pembaca pada perdebatan yang sering dikaitkan dengan Theodor W. Adorno tentang penulisan puisi selepas Holokus, khususnya melalui ungkapan terkenalnya: “To write poetry after Auschwitz is barbaric.” Dalam konteks Spahr, persoalannya berubah: bagaimana puisi boleh terus ditulis selepas peperangan, selepas kemusnahan alam sekitar dan selepas keruntuhan moral politik dunia moden? Spahr tidak memberikan jawapan yang mudah. Beliau terus menulis sambil mengakui keterbatasan bahasa itu sendiri. Dalam salah satu bahagian lain, beliau menulis:
I understood I could/not ever write a poem that in any/way had such complexity, variation/as this throat and this galaxy and all that/it held in between.
Pengakuan ini memperlihatkan bahawa Spahr tidak meletakkan puisi sebagai alat yang mampu menyelesaikan segala-galanya. Sebaliknya, beliau mengakui bahawa realiti jauh lebih rumit daripada bahasa yang digunakan untuk menggambarkannya. Walau bagaimanapun, kesedaran terhadap keterbatasan tersebut tidak menyebabkan beliau berhenti menulis. Puisi tetap diteruskan, bukan kerana puisi mampu menyelesaikan krisis, tetapi kerana puisi masih menjadi ruang untuk berfikir dan mengingati.
Krisis ekologi menjadi salah satu tema utama dalam Ars Poeticas. Dalam satu ulasan kritikal, karya ini digambarkan sebagai renungan tentang penulisan puisi pada zaman perubahan iklim dan kepupusan spesies. Spahr sendiri mengakui bahawa persoalan utama yang mendorong buku ini ialah: “what does poetry do in these moments?” Pertanyaan tersebut membentuk keseluruhan nada karya ini. Puisi tidak lagi difahami sebagai objek estetika yang terpisah daripada dunia, tetapi sebagai tindak balas terhadap keruntuhan yang sedang berlaku di sekeliling manusia.
Dalam konteks ini, Spahr turut dipengaruhi oleh Bertolt Brecht. Ketika fahaman “alt-right” semakin kuat dan kadar kepupusan spesies semakin meningkat, Spahr membaca Brecht untuk mencari jawapan terhadap persoalan tentang “dark times” atau “zaman gelap”. Brecht pernah bertanya sama ada masih wujud nyanyian pada zaman gelap. Beliau sendiri menjawab bahawa para penyair akan tetap bernyanyi tentang zaman gelap tersebut. Gagasan inilah yang penting dalam Ars Poeticas.
Dalam salah satu puisinya, Spahr menulis:
It has always been a terrible moment.
And there have always been poets too.
And always poets writing the terrible nation into existence.
Baris-baris ini memperlihatkan kesedaran bahawa krisis bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah manusia. Setiap zaman mempunyai bentuk keganasannya sendiri dan penyair sentiasa hadir sebagai saksi pada keadaan tersebut. Namun begitu, Spahr tidak sekadar melihat penyair sebagai pemerhati pasif. Frasa “writing the terrible nation into existence” menunjukkan bahawa bahasa dan puisi turut terlibat dalam membentuk kesedaran politik sesebuah masyarakat. Puisi bukan hanya merakam sejarah, tetapi juga mempunyai peranan dalam menghasilkan imaginasi kolektif tentang negara, kekuasaan dan krisis.
Melalui enam puisi utama dalam koleksi ini, Spahr “bernyanyi” tentang zaman gelap kontemporari. Namun, puisinya tidak hanya dipenuhi kehancuran. Beliau turut menulis tentang terumbu karang, lagu pop, kasih sayang sesama manusia, dan kemungkinan hubungan baharu antara puisi dengan politik. Unsur-unsur ini menjadikan puisinya tidak tenggelam sepenuhnya dalam pesimisme. Dalam keadaan dunia yang semakin retak, masih ada usaha untuk mempertahankan rasa kebersamaan dan harapan kecil terhadap masa hadapan.
Kecenderungan Spahr menghubungkan pengalaman individu dengan pengalaman kolektif juga menjadi salah satu kekuatan utama karya ini. Dalam puisinya, kata ganti “I” sering berubah menjadi “we”. Perubahan kecil ini membawa makna yang besar kerana menunjukkan bahawa keresahan individu sebenarnya berkait rapat dengan keadaan sosial yang lebih luas.
Dalam dunia moden yang semakin individualistik, keinginan untuk menjadi sebahagian daripada “kita” merupakan satu bentuk penolakan terhadap pengasingan sosial. Puisi menjadi ruang untuk membina solidariti. Tema ini selari dengan karya beliau sebelum ini, This Connection of Everyone With Lungs (2005), yang menekankan keterhubungan manusia secara global.
Dalam Ars Poeticas, kecenderungan tersebut diteruskan melalui penggunaan kata ganti yang beralih antara “I” dengan “we”. Peralihan ini bukan sekadar gaya, tetapi mencerminkan usaha memahami pengalaman individu sebagai sebahagian daripada jaringan sosial yang lebih kompleks.
Kritikan semasa turut menegaskan bahawa karya ini berfungsi sebagai renungan tentang hubungan antara puisi dengan politik. Dalam penerangan rasmi oleh juri Pulitzer yang memetik Spahr sendiri, koleksi ini menyorot persoalan: “what politics and poetry have done with each other, but what they might yet do together.” Pernyataan ini penting kerana hubungan tersebut bukan sahaja dilihat sebagai sesuatu yang telah berlaku, tetapi juga sebagai kemungkinan masa depan. Puisi menjadi ruang untuk membayangkan hubungan baharu antara seni dengan tindakan sosial.
Puisi menjadi ruang untuk membayangkan hubungan baharu antara seni dengan tindakan sosial.
Selain tema dan pemikiran, struktur puisi Spahr turut mencerminkan keadaan dunia yang tidak stabil. Beliau tidak menggunakan bentuk yang ketat atau simetri seperti tradisi klasik. Puisinya bergerak secara longgar, kadangkala terputus-putus, dengan pengulangan dan senarai yang panjang. Teknik ini bukan sekadar eksperimen formal, tetapi berkait rapat dengan tema yang dibincangkan. Dunia yang digambarkan oleh Spahr tidak tersusun rapi. Oleh itu, bentuk puisinya turut menolak keteraturan yang terlalu sempurna.
Hal ini sangat berbeza daripada pendekatan Horace. Dalam Ars Poetica, keharmonian bentuk menjadi syarat utama keindahan. Spahr pula menulis daripada pengalaman dunia yang sudah kehilangan keharmonian tersebut. Jika Horace percaya bahawa puisi perlu dikawal melalui disiplin estetika, Spahr menunjukkan bahawa bahasa kadangkala gagal mengawal kekacauan realiti. Walaupun begitu, Ars Poeticas tidak menolak sepenuhnya tradisi lampau. Sebaliknya, Spahr berdialog dengan tradisi tersebut. Beliau meminjam istilah ars poetica, tetapi mengubah fungsi dan maknanya. Tradisi klasik digunakan bukan untuk mengulang aturan lama, sebaliknya untuk mempersoalkan sama ada aturan tersebut masih relevan dalam keadaan semasa. Dengan cara ini, Spahr membina hubungan antara puisi kontemporari dengan sejarah panjang kesusasteraan Barat.
Dari sudut gaya, bahasa yang digunakan oleh Spahr cenderung langsung tetapi berlapis. Beliau sering menggunakan pengulangan untuk menekankan idea tertentu. Teknik ini dapat dilihat dalam puisi pembuka yang mengulang kata ‘after’ secara berterusan. Pengulangan tersebut bukan sahaja mencipta ritma, tetapi turut menguatkan kesedaran tentang kesinambungan sejarah. Dalam salah satu ulasan kritikal lain, puisi Spahr digambarkan bergerak seperti “a river of thinking.” Gambaran ini tepat kerana puisinya berkembang secara beransur-ansur, seolah-olah mengikuti aliran pemikiran yang sentiasa berubah. Kadangkala, baris-barisnya terasa seperti catatan renungan, dan di situlah terletaknya kekuatan karya ini. Spahr tidak cuba mencipta kepastian palsu. Sebaliknya, beliau mengekalkan keraguan sebagai sebahagian daripada pengalaman manusia moden.
Dari sudut tematik, Ars Poeticas menghubungkan beberapa isu utama seperti sejarah keganasan, krisis ekologi dan ketegangan politik kontemporari. Ketiga-tiga unsur ini tidak dipisahkan, tetapi digabungkan dalam satu rangka pemikiran. Dalam satu ulasan, dinyatakan bahawa koleksi ini bergerak daripada “the distant calamities of the postwar period to the climate crisis and the rise of the alt-right.” Peralihan ini menunjukkan bahawa krisis masa lalu dan masa kini saling berkaitan.
Selain itu, karya ini turut menekankan keterbatasan tindakan manusia. Walaupun puisi tidak mampu menyelesaikan krisis global, puisi tetap mempunyai nilai sebagai bentuk refleksi. Dalam hal ini, puisi berfungsi sebagai ruang untuk memperlahankan pemikiran dan memberi perhatian terhadap kerumitan yang sering diabaikan. Ulasan oleh The Washington Post menyatakan bahawa puisi boleh membantu “memulihkan” sebahagian daripada nuansa dan kerencaman dunia yang serba pantas. Kenyataan ini selari dengan pendekatan Spahr yang menulis pascakrisis melalui penonjolan kecelaruan dan ketidaktentuan.
Perbandingan dengan finalis Pulitzer yang lain turut membantu menonjolkan keunikan pendekatan Spahr. Patricia Smith melalui The Intentions of Thunder: New and Selected Poems (2025) menampilkan puisi yang lebih dramatik dan naratif. Smith banyak menulis tentang sejarah dan identiti kaum Afrika-Amerika dengan bahasa yang kuat dan langsung. Douglas Kearney pula, menerusi I Imagine I Been Science Fiction Always (2025), terkenal dengan eksperimen visual dan tipografi yang mencabar bentuk konvensional puisi.
Spahr berbeza daripada kedua-duanya. Kekuatan beliau bukan terletak pada drama bahasa atau permainan visual, tetapi pada keupayaan membina renungan yang perlahan dan berlapis. Puisinya memerlukan pembacaan yang sabar. Pembaca tidak diberikan kesimpulan yang mudah, sebaliknya diajak memasuki proses berfikir itu sendiri.
Ars Poeticas oleh Juliana Spahr merupakan karya penting dalam puisi kontemporari kerana berjaya menghubungkan persoalan bahasa, politik, sejarah, dan krisis ekologi dalam satu kerangka pemikiran yang kompleks. Dengan meminjam tradisi Ars Poetica daripada Horace, Spahr bukan sekadar menghidupkan kembali bentuk klasik tersebut, tetapi turut menulis semula maknanya untuk zaman yang penuh ketidaktentuan.
Akhir kata, jika Horace melihat puisi sebagai jalan menuju keharmonian estetik dan keteraturan tamadun, Spahr pula menampilkan puisi sebagai suara yang lahir daripada dunia yang retak. Namun, dalam keretakan itu, puisi masih terus wujud. Puisi mungkin tidak mampu menyelamatkan dunia, tetapi masih mampu menjadi ruang untuk mengingati, merenung dan mempertahankan kemanusiaan.
_________________________
Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.