Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Merbok – Karya sastera bukan sekadar bahan bacaan kreatif untuk hiburan semata-mata, sebaliknya sebuah karya yang mampu menjadi sebuah wasiat pemikiran, dakwah dan amanah seorang pengarang dalam usaha memimpin masyarakat ke arah kehidupan yang lebih bertamadun.
Sasterawan Negara (SN) YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan menjelaskan bahawa perkara ini dapat dilihat melalui ketokohan Allahyarham SN Datuk Abdullah Hussain yang menulis dengan niat untuk menyampaikan pesanan, amanah, teguran, dan panduan kepada masyarakat.

“Beliau menulis bukan sekadar untuk bercerita, tetapi sebagai medan dakwah untuk membetulkan amalan yang dirasakan tidak betul dalam masyarakat.
“Dalam proses penghasilan novel Imam misalnya, beliau berwasiat kepada anaknya bahawa karya tersebut mesti diterbitkan walau dengan cara apa sekalipun kerana penulisan tersebut merupakan luahan hati dan pesanan beliau kepada anak bangsa negara ini.
“Wasiat ini sangat relevan sehingga kini kerana masyarakat kita masih berdepan dengan pelbagai kekeliruan, konflik kepimpinan dan perpecahan yang menuntut kebenaran serta keberanian untuk diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkongsi hal demikian pada program Bicara Sasterawan Negara: Abdullah Hussain, Sebuah Karya dan Satu Wasiat yang berlangsung di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, pada 4 Mei lalu bersempena Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 Peringkat Zon Utara.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Shahrul Rizal Hashim; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa serta moderator program, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Asmadi Mohamed.
Dalam sesi bicara tersebut, Dato’ Zurinah berkata, kekuatan penulisan SN Kelapan ini lahir daripada pengalaman hidup yang amat luas, termasuk beliau pernah menjadi perisik semasa zaman penjajahan Jepun dan terlibat dalam dunia perfileman di Singapura.

“Kehidupan beliau yang penuh warna-warni, daripada seorang budak kampung di Yan, Kedah sehinggalah menjadi wartawan dan editor membentuk gaya penulisan yang sangat terperinci dan mendalam.
“Beliau seorang tukang cerita yang berjaya memanusiakan manusia melalui karya-karyanya seperti Imam dan Interlok,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, Allahyarham Abdullah dididik dan diasuh oleh nenek beliau, Tok Teh Jamai, yang juga dikenali sebagai penglipur lara.
Selain itu, Zurinah turut menyatakan bahawa cabaran penulis masa kini adalah untuk mengekalkan keaslian pemikiran dan luahan rasa tanpa bergantung sepenuhnya pada teknologi moden.
“Sekarang ini mudah, hantar e-mel atau guna ChatGPT pun boleh, tetapi karya yang kita tulis itu mestilah datang daripada pemikiran dan luahan rasa sendiri.
“Ambillah peluang dan pengetahuan yang ada sekarang untuk menghasilkan karya yang mampu memberikan kesan besar kepada jiwa pembaca, sebagaimana yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu,” pesan beliau.