Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 14:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil masa hampir enam tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Menurut penulisnya, YBrs. Puan Zaleha Ahmat, dua tahun pertama merupakan tempoh amat mencabar ekoran pelbagai dugaan dan ketidakpastian untuk menulis tentang seorang tokoh yang begitu disegani dalam dunia kesusasteraan tanah air.

“Setelah dua tahun berlalu, barulah saya memulakan kajian dengan cara membaca sebanyak mungkin karya Pak Lah (Abdullah Hussain), lalu saya mencari dan menyenaraikannya,” ujarnya dalam Bicara Karya Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Kumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, Rabu lalu.

Namun, kata beliau, perjalanan selepas itu tidak mudah apabila penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir besar di daerah Yan telah memperlahankan proses kajian yang dilakukan, menyebabkan beliau terpaksa bergantung pada sumber dalam talian selama hampir tiga tahun.

Setelah keadaan kembali mengizinkan, beliau meneruskan pelaksanaan kajian lapangan di Kedah selama tiga hari dengan bantuan seorang pemandu tempatan untuk menjelajah beberapa lokasi penting dalam kehidupan awal Abdullah Hussain.

Ujarnya, antara tempat yang dilawati termasuklah Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael dan Kampung Sungai Limau Dalam, yang disifatkan sebagai sebuah “terowong masa” untuk menelusuri perjalanan awal tokoh berkenaan.

Jelas Zaleha, walaupun kajian lapangan melibatkan kunjungan dari satu kampung ke kampung lain untuk bertanya kepada penduduk mengenai latar belakang keluarga Abdullah Hussain, namun kebanyakannya merupakan generasi ketiga dan tidak mengenali tokoh tersebut secara langsung.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang hasil pertemuan dengan rakan sekelas kepada adik Abdullah Hussain serta kediaman keluarga tiri tokoh itu yang masih wujud hingga hari ini telah membuka ruang kepada maklumat baharu dalam kajiannya.

Mengulas lanjut, pemilihan judul buku biografi tersebut berdasarkan pengalaman beliau menyaksikan Abdullah Hussain menyampaikan pandangan dengan panjang lebar semasa pertemuan Sasterawan Nusantara pada tahun 1999 di Johor Bahru, menyerlahkan susuk keperibadian beliau sebagai seorang tukang cerita.

Suasana majlis Bicara Karya Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL bersempena dengan PBAKL 2025.

Tegas Zaleha, tujuan penerbitan buku ini adalah untuk memberikan alternatif kepada khalayak dalam mengenali tokoh besar itu, memandangkan empat jilid autobiografi sedia ada terlalu tebal dan mungkin sukar untuk dicerna oleh kebanyakan pembaca.

Pak Lah sendiri mengambil inisiatif untuk menulis riwayat hidupnya melalui empat buah autobiografi, termasuk Sebuah Perjalanan yang melebihi 800 halaman, namun autobiografi tersebut hanya mencatatkan sebahagian perjalanan hidup beliau.

Tiga lagi autobiografi, iaitu Perjalanan Mencari Bahasa, Perjalanan Mencari Hikmah dan Perjalanan Mencari Diri pula mengandungi anekdot dan serpihan pengalaman yang tidak disusun secara kronologi.

Menyedari akan tanggungjawab menyusun semula naratif kehidupan tokoh ini, beliau mengambil pendekatan untuk menyelaraskan keempat-empat autobiografi tersebut secara kronologi sejak lahir sehingga beliau meninggal dunia, termasuk penerbitan karya-karya beliau.

Mungkin 30 hingga 40 peratus dirujuk daripada autobiografi, manakala selebihnya saya sendiri membuat kajian dengan pergi ke perpustakaan di Kedah, Kuala Lumpur dan Singapura untuk mencari bahan.

Bagi Zaleha, penulisan biografi merupakan genre yang paling mencabar kerana memerlukan penelitian fakta secara menyeluruh yang merangkumi aspek peribadi, latar kehidupan, pengkaryaan serta konteks budaya dan sosial tokoh, berbanding dengan penulisan karya kreatif lain yang memiliki kebebesan tersendiri.

“Saya bersyukur dapat berjumpa Datin Saroja (isteri Abdullah Hussain) yang memberikan banyak dapatan baharu dari perspektif yang berbeza, walaupun saya membaca berulang kali autobiografinya (sebelum ini),” katanya.

Menyorot kembali peringkat awal penulisannya, beliau merujuk Bahagian Penyelidikan Sastera DBP bagi memastikan hala tuju karya selaras dengan kehendak penerbit sebelum akhirnya beliau diberi kebebasan memilih bentuk naratif yang sesuai.

Di sebalik penghasilan biografi tersebut, beliau menjelaskan bahawa pemilihan gaya penulisan yang dekat dengan jiwa beliau sebagai seorang yang gemar membaca dan menulis novel ditemukan selepas hampir dua bulan, sekali gus membina momentum dan semangat yang berterusan untuk menyempurnakannya.

“Saya mengambil amanah ini dan cuba menulis sesuatu dengan harapan agar karya tersebut menjadi bahan bacaan bermanfaat untuk anak bangsa zaman-berzaman, sebenarnya ini satu tanggungjawab khazanah sastera dan dokumentasi negara,” tegasnya.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi