Diterbitkan pada 2 Mei 2026, 07:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengarang novel Sirat Figura, Wahyu Budiwa Rendra A. Wahid atau W.B. Rendra tidak menyangka bahawa novel tersebut merupakan satu-satunya buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memenangi Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 2025/2026 pada 23 April lepas.

Novel tersebut memenangi Anugerah Buku PNM di bawah kategori Fiksyen Dewasa Bahasa Melayu.

Beliau tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi semasa menghantar karya ciptaannya itu dan keputusan tersebut ternyata menjadi kejutan besar, sekali gus amat bermakna baginya.

“Sejujurnya, saya menulis Sirat Figura dengan tidak pernah memikirkan atau mengharapkan apa-apa kemenangan. Tetapi, apabila diumumkan sebagai pemenang, hal itu benar-benar di luar jangkaan saya,” katanya semasa dihubungi pada hari ini.

Katanya, beliau mengambil masa kira-kira dua tahun bagi proses menyiapkan novel tersebut, bermula pada tahun 2012 sebelum siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2014 selepas melalui pelbagai fasa, termasuklah pemurnian dan suntingan.

Menurutnya, proses pembikinan novel tersebut juga menjadi cabaran besar bagi beliau kerana terpaksa merujuk banyak sumber bahan bacaan berkaitan dengannya, termasuklah responden berautoriti bagi memastikan fakta sebenar.

“Saya mengumpulkan bahan-bahan rujukan berautoriti, kemudian membuat penilaian dan saringan untuk kesesuaian, selain mendapatkan pandangan sejarawan serta tokoh-tokoh dalam bidang berkenaan,” jelasnya.

Sirat Figura terbitan DBP pada tahun 2023 membawa naratif sejarah politik Johor pada abad ke-17 yang sarat dengan isyarat dan metafora, menjadikan novel ini mampu memberikan kesan emosi, pengalaman estetik dan paparan semangat zaman.

Gabungan fakta sejarah dengan unsur fiksyen bukan sahaja menyaksikan konflik dalaman dan luaran serta pembangunan ekonomi dan sosial latar novel, sebaliknya memantapkan aliran cerita, watak, latar, dan gaya bahasa novel ini.

Isu atau topik yang diketengahkan menggambarkan hubungan Johor dengan Patani secara terperinci, sekali gus secara tidak langsung menjadikan novel ini sebagai sebuah novel sejarah yang sesuai untuk bacaan umum.

Tambah menarik, keupayaan pengarangnya menggabungkan unsur imaginasi serta latar peristiwa sebenar membolehkan Sirat Figura dibaca dalam dua sisi, iaitu sebagai novel sejarah dan juga karya fiksyen.

Mengulas lanjut, W.B. Rendra memaklumkan bahawa semasa proses menyiapkan novel ini, beliau mengambil pendekatan mengkuarantinkan diri bagi memastikan konsentrasinya tidak terganggu oleh kesibukan sekitar.

“Tempoh kuarantin ini biasanya mengambil masa satu minggu hingga dua minggu juga untuk membuat pasak atau teras novel sebelum kerja-kerja pemurnian dengan lebih terperinci,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar novel tersebut sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan umum, khususnya bagi mereka yang meminati kisah sejarah tempatan.

Nik Mohd Hafiz Abdullah.

Sementara itu, seorang penyair dan penulis muda, Nik Mohd Hafiz Abdullah menyifatkan Sirat Figura yang bertemakan eksistensialisme membawa pembaca mengembara secara mistikal menelusuri watak utama dalam pencarian diri sendiri.

“W.B. Rendra berjaya memanfaatkan kemahiran puitikanya untuk menghasilkan sebuah novel bersifat polisemi melalui watak-watak dan jalan cerita,” katanya.

Tambahnya, W.B. Rendra telah berjaya membawa mesej kritik sosial yang berkesan menerusi watak-watak yang ditampilkan dalam novel berkenaan.

Nik Hafiz turut berharap agar pada masa hadapan, berkemungkinan dalam masa yang terdekat novel tersebut dapat diberikan perhatian untuk diadaptasi dalam pelbagai medium, termasuklah layar perak dan teater bagi tontonan umum.

Beli Sirat Figura di sini.

Kredit Foto: Yayasan Warisan Johor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi