Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan terus menganjurkan program yang menyemarakkan kesusasteraan dan bahasa sebagai alat perpaduan seperti pertandingan Sanggar Puisi Perpaduan.
Malah, akan diperkasakan lagi dengan mengadakan program seperti Festival Puisi Rakyat pada masa akan datang dengan mengundang penyair dari pelbagai etnik, dan bahasa untuk mendeklamasikan puisi.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang yang menyempurnakan Majlis Perasmian Perasmian Sanggar Perpaduan 2024 di Grand Ballroom, Hotel Seri Pacific, semalam.
Dalam ucapan, Datuk Aaron menjelaskan Sanggar Puisi Perpaduan 2024 juga adalah sebuah platform untuk membangkitkan minat, dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa, dan sastera dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar terus menjadikan bahasa dan sastera sebagai jambatan perpaduan, serta wadah yang menghubungkan jiwa kita sebagai satu bangsa Malaysia yang harmoni.”
Sebelum itu, Ketua Pengarah PNM, YBrs. Puan Salasiah memberitahu program ini merupakan kesinambungan inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun lalu, iaitu Program Sanggar Puisi 2023: “Rima Mengikat Sukma”.
“Program ini amat penting dalam menyemarakkan dan memantapkan puisi sebagai elemen yang dapat mendukung perpaduan dan penyatuan masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa, dan agama,” ujar beliau.
PNM di bawah Kementerian Perpaduan Negara telah berusaha menyelaraskan fungsinya agar selari dengan visi dan misi kementerian.
“Pihak PNM sentiasa komited mengukuhkan ekosistem perpaduan yang mampan, dengan membangunkan masyarakat yang progresif melalui 534 buah Perpustakaan Khusus Gunasama, dan 506 buah Perpustakaan Desa di bawah kelolaannya”
“Melalui inisiatif “Ini Warisan Kita – Melestarikan Perpaduan”, PNM telah diberi kepercayaan untuk menganjurkan program Sanggar Puisi Perpaduan 2024 dan program Sayembara Novel Perpaduan bagi menggalakkan para penulis pelbagai kaum bergiat dalam penulisan kreatif berbahasa Melayu,” jelas beliau lagi.

Karya-karya ini akan dapat memenuhi keperluan bahan bacaan yang bermutu untuk generasi muda dan hal sebegini merupakan inisiatif yang akan memberi impak positif serta membantu melahirkan masyarakat MADANI yang bertamadun tinggi.
Sebagai penutup, beliau telah membacakan sajak Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said, berjudul “Langkah Lestari.”
Dalam Sanggar Puisi Perpaduan 2024, sebanyak lapan kategori telah dipertanding dan kesemuanya dilaksanakan dari 15 Mei hingga 5 November 2024 yang disertai 1,340 orang.
Wan Muhammad Wan Abd. Hamid telah dipilih menjadi Johan Sajak Dewasa Sanggar Puisi, sementara Mohd. Saifullah Abd. Rahim meraih Naib Johan dan tempat ketiga menjadi milik penyair mapan, Solihin Osman.
Selain itu, turut diadakan Sesi Bimbingan Teknik Penulisan dan Penyampaian Puisi Perpaduan, melibatkan penyair mapan Zaen Kasturi, dan Raja Syair Roslan Madun; Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan, dan Pameran Puisi Perpaduan.
Hadir memeriahkan majlis, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad dan SN Zurinah Hassan.
Majlis juga disajikan dengan persembahan yang menarik oleh kumpulan Kopratasa melalui lagu Tetamu Senja, Permata (untuk Isteriku) dan Masihkah Kau Ingat.
SN Rahman Shaari turut menarik perhatian dengan pendeklamasian sajak beliau berjudul “Mari Berbahasa”.
Berikut keputusan tujuh lagi kategori:
Kategori Sajak Remaja
– Johan: Mohamad Ali Mohd. Hamsa
– Naib Johan: Nur Hikmah Abdul Halim
– Tempat Ketiga: Nor Ain Anuar
Kategori Syair Remaja
– Johan: Nur Azlan Mohd. Bakri
– Naib Johan: Sangeeta Selvakumar
– Tempat Ketiga: Mohammad Hazim Bolhassan
Kategori Syair Dewasa
– Johan: Nur Azlan Zainuddin
– Naib Johan: Ahmad Harun
– Tempat Ketiga: Nurulhuda Jamaluddin
Kategori Pantun Remaja
– Johan: Nur Elain Kamaruzaman
– Naib Johan: Nurhusna Shamimie Manazil
– Tempat Ketiga: Sri Habine Iswari Seveikumaran
Kategori Pantun Dewasa
– Johan: Mohd. Bakri Talib
– Naib Johan: Rozana Khamis@ Abu Bakar
– Tempat Ketiga: Zuraida Ab. Rashid
Kategori Novel Remaja
– Johan: Nur A’fifah Najwa Mohammad Kamal
– Naib Johan: Arif Haiqal Roslan
– Tempat Ketiga: Mohamad Amirul Fahmi Yusaffandy
Kategori Novel Dewasa
– Johan: Nor Hanita Jalali
– Naib Johan: Kamarulzaman Jaafar
– Tempat Ketiga: Basri Zakaria
