Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSalasiah Jelon memberikan pandangannya terhadap penganugerahan Anugerah Sastera Negara kepada Mana Sikana.
Dalam tradisi sastera, kehadiran seorang pemikir sering melampaui hayat jasmaninya.
Dalam wacana persuratan, pertikaian bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya bukti bahawa sesuatu institusi masih hidup dan berfungsi dalam ruang fikir yang dinamik. Polemik berhubung penganugerahan Anugerah Sastera Negara (ASN) kepada Allahyarham Mana Sikana wajar diraikan sebagai sebahagian daripada tradisi intelektual tersebut. Namun demikian, dalam keghairahan mempertahankan prinsip, kita juga harus berhati-hati agar tidak mengabaikan keadilan terhadap proses dan keputusan yang telah dicapai dengan sah.
Asas pertama yang perlu diperjelaskan ialah sifat pemilihan itu sendiri. Mana Sikana tidak dipilih selepas pemergiannya. Sebaliknya, beliau telah melalui seluruh proses penilaian ketika masih hidup, dan keputusan telah dimuktamadkan oleh panel yang berwibawa. Kelewatan pengumuman tidak mengubah hakikat bahawa pengiktirafan itu telah pun dipersetujui dalam kerangka yang sah dan berintegriti.
Maka, tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk meneruskan penganugerahan bukanlah satu bentuk kelonggaran prinsip, tetapi suatu penegasan terhadap konsistensi institusi. Membatalkan keputusan hanya kerana perubahan keadaan yang tidak dijangka akan menimbulkan persoalan yang lebih besar tentang keteguhan sistem itu sendiri.
Benar bahawa Sasterawan Negara selama ini difahami sebagai satu amanah yang hidup, yang menuntut keterlibatan aktif dalam wacana masyarakat. Namun begitu, tafsiran ini tidak harus disempitkan pada kehadiran fizikal semata-mata. Dalam tradisi sastera, kehadiran seorang pemikir sering melampaui hayat jasmaninya. Karya, gagasan dan kerangka pemikiran yang ditinggalkan terus berfungsi sebagai sumber rujukan, bahkan membentuk horizon baharu dalam pemikiran generasi seterusnya.
Dalam konteks ini, sumbangan Mana Sikana melalui gagasan teksdealisme tidak boleh dianggap selesai dengan pemergiannya. Sebaliknya, sumbangannya terus bergerak sebagai wacana yang hidup. Mengiktiraf beliau sebagai Sasterawan Negara bukan sekadar meraikan jasa lampau, tetapi mengesahkan kedudukan intelektual yang telah pun membentuk medan persuratan Melayu secara berpanjangan.
Kebimbangan tentang precedent (prajadian) juga perlu dilihat secara rasional. Tidak semua keadaan mempunyai asas yang sama. Penganugerahan ini tidak membuka ruang kepada pemberian anumerta secara umum, kerana asasnya jelas berbeza. Keputusan telah dibuat ketika penerima masih hidup. Hal ini bukan usaha membetulkan sejarah, tetapi menyempurnakan keputusan yang telah pun sah.
Malah, jika keputusan tersebut dibatalkan, implikasinya lebih berat. Hal itu seolah-olah memberikan isyarat bahawa pengiktirafan institusi boleh berubah hanya kerana faktor masa, bukan kerana penilaian merit. Hal ini berisiko melemahkan keyakinan terhadap ketelusan dan keteguhan proses pemilihan itu sendiri.
Hujah bahawa keputusan ini menafikan hak penulis yang masih hidup juga wajar ditimbang secara adil. Pengiktirafan terhadap seorang tokoh tidak semestinya menutup ruang kepada tokoh lain. Sasterawan Negara bukan anugerah yang terikat pada kuota sempit, tetapi satu pengiktirafan terhadap kemuncak sumbangan dalam suatu waktu tertentu. Dalam kes ini, menafikan Mana Sikana selepas keputusan dibuat akan mencipta ketidakadilan yang lebih nyata.
Lebih penting, kita harus kembali kepada tujuan utama anugerah ini. Jika penganugerahan ini dilihat semata-mata sebagai mandat masa hadapan, maka perbahasan ini mungkin tidak akan berakhir. Namun jika penganugerahan ini difahami sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan yang telah membentuk tamadun sastera bangsa, maka keputusan DBP berdiri atas asas yang kukuh.
Institusi yang berwibawa bukan hanya diukur melalui ketegasan prinsip, tetapi juga keupayaan mentafsir prinsip secara bijaksana dalam situasi yang kompleks. Dalam hal ini, DBP tidak melonggarkan makna Sasterawan Negara. Sebaliknya, DBP memilih untuk memelihara integriti keputusan yang telah dicapai melalui proses yang teliti.
Penganugerahan kepada Mana Sikana bukan sekadar satu pengumuman. Usaha ini ialah penyempurnaan bagi satu keputusan yang telah lama dimeterai. Dan dalam penyempurnaan itulah, terletaknya maruah sebenar institusi.
_________________________
Salasiah Jelon berasal dari Kuala Lumpur. Beliau banyak melibatkan diri dalam aktiviti pemerkasaan sosial dan lebih gemar menjadi pemerhati dalam komuniti sastera.