Diterbitkan pada 28 April 2026, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bersama-sama dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, Sasterawan Negara dan panel penilai dalam Majlis Sidang Media Anugerah Sastera ke-16 di bangunan Blok E8, Kementerian Pendidikan.

Putrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-16 pagi ini mengumumkan penerima Anugerah Sastera Negara ke-16, iaitu Allahyarham Mana Sikana, sebagai pengiktirafan tertinggi negara terhadap tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu.

Selain itu, pengiktirafan ini diberikan atas jasa dan sumbangan besar Allahyarham dalam memperkaya khazanah sastera negara, khususnya dalam bidang kritikan sastera, teori kesusasteraan dan penulisan kreatif yang berpengaruh.

Menurut YB Fadhlina Sidek, keputusan panel berhubung dengan pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara ke-16 telah dibuat pada 14 April 2025.

Walau bagaimanapun, Allahyarham telah meninggalkan dunia pada tahun lepas, iaitu selepas keputusan penilaian dimuktamadkan.

“Dalam hal ini adalah penting untuk ditegaskan bahawa asas penilaian Anugerah Sastera Negara adalah terhadap sumbangan karya dan pemikiran tokoh sepanjang hayatnya.

“Walaupun jasad tokoh telah tiada, karya dan pemikiran yang ditinggalkannya terus hidup dan akan memberikan manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa,” katanya dalam Majlis Sidang Media Anugerah Sastera Negara ke-16 yang berlangsung di bangunan Blok E8, Kementerian Pendidikan.

Waris Allahyarham Mana Sikana akan menerima penghargaan dan penghormatan negara seperti yang berikut:

(i) Warkah Penghormatan Negara.
(ii) Wang tunai sebanyak RM60,000.00.
(iii) Penerbitan sebanyak 50000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000.00 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luasnya ke sekolah, perpustakaan, jabatan, dan agensi kerajaan.

Mana Sikana, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Napiah, dilahirkan pada 9 Oktober 1945 di Bagan Serai, Perak. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

Seterusnya, Allahyarham mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur, sebelum menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga memperoleh ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang persuratan Melayu.

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru dan pensyarah di UKM dan Universiti Teknologi Nanyang, Singapura serta terlibat aktif dalam bidang akademik dan penyelidikan kesusasteraan.

Sebagai seorang penulis prolifik, Allahyarham Mana Sikana telah menghasilkan lebih daripada 100 buah karya merangkumi pelbagai genre seperti cerpen, novel, drama, dan kritikan sastera.

Antara karya kreatif Allahyarham yang memperlihatkan eksperimen naratif serta kekuatan pemikiran falsafah yang dihimpunkan dalam kumpulan cerpen adalah seperti Cinta Junjungan (2023).

Dalam genre novel pula, karya-karya seperti Ronjang (1984), Klimaks (1989), Kesesatan (1987), dan Syajar (1995) kesemuanya dihasilkan secara intertekstual, metafiksyen, dan metasejarah.

“Novel-novel Mana Sikana ini membawa pembaharuan dari segi struktur dan teknik penulisan genre novel di Malaysia,” ujar YB Fadhlina.

Dalam bidang drama, Allahyarham pernah menghasilkan drama pentas “Tanah di Hujung Bendang”, sebuah karya yang beraliran realisme. Bukan itu sahaja, drama “Di Huiung Taming Sari” berbentuk drama metasejarah turut dipeloporinya dan drama “Pengadilan” merupakan drama komedi yang dihasilkannya berdasarkan idea yang absurd.

“Mana Sikana dikenali sebagai antara pelopor yang membawa pendekatan avant-garde dan absurd dalam teater Melayu moden melalui puluhan drama pentas, radio dan televisyen yang dihasilkannya,” jelas YB Fadhlina.

Selain itu, Allahyarham turut menghasilkan pelbagai buku penting dalam bidang kritikan dan teori sastera seperti Aliran dalam Sastera Melayu (1983), Kritikan Sastera: Pendekatan dan Kaedah (1986), Teori Sastera Tekdealisme (1996), dan Teori dan Kritikan Sastera Kontemporari (2005). Karya-karya tersebut menjadi rujukan utama dalam kalangan sarjana dan pelajar serta menyumbang kepada perkembangan pemikiran sastera moden di Malaysia.

Dalam konteks pemikiran, Allahyarham Mana Sikana dikenali sebagai tokoh penting yang memperkenalkan pendekatan baharu dalam kritikan sastera, termasuklah teori teksdealisme, pendekatan intertekstualiti serta gagasan kritikan berteraskan nilai Islam seperti Teori Taabudiyyah.

Sumbangan Allahyarham yang juga Sasterawan Perak kedua selama ini telah membuka ruang wacana baharu dalam pengkajian sastera Melayu dan memperkukuh disiplin tersebut pada peringkat akademik.

Selain penulisan, Allahyarham turut aktif membentangkan kertas kerja dalam seminar di dalam dan di luar negara, menjadi panel pelbagai anugerah sastera, serta melahirkan banyak sarjana dan pengkritik sastera melalui pelibatan dalam dunia akademik.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-16 akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Kredit Foto: Nur Shamiera Zahid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi