Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSyed Ahmad Fathi membicarakan kumpulan cerpen Ibnu Din Assingkiri, Sepasang Sayap Hitam.
Sastera bukan sahaja menyajikan kisah-kisah yang dapat mengulit emosi, tetapi ada unsur pengajaran yang boleh diambil.
Saya bukanlah pembaca atau pengkritik sastera yang tegar, sekadar pembaca kasual sahaja. Jadi mungkin ulasan ini bolehlah diambil dengan secubit garam sahaja. Sekadar refleksi pembaca awam terhadap naskhah kumpulan cerpen Sepasang Sayap Hitam.
Isu yang dimainkan oleh Ibnu Din Assingkiri dalam naskhah ini bagi saya menarik. Cerpen pertama yang dihidangkan ialah perihal politik masjid yang sememangnya berleluasa di Tanah Melayu hari ini. Ibnu Din mengisahkan pergolakan antara imam dengan anak kariah, perihal cara politik parti menular masuk ke dalam politik di dalam rumah Tuhan sehingga menyebabkan kerenggangan dalam komuniti. Saya kira isu ini akan terus malar hijau, kerana sifat manusia memang sebegitu, bukan di pentas politik nasional sahaja mereka bercakaran, di rumah Tuhan juga mereka membawa perangai yang sama.
Selain politik masjid, politik nasional juga disentuh dalam beberapa cerita yang dibawakan. Isu masyarakat majoriti dan minoriti, isu undi rosak, isu memilih pemimpin berbangsa berbeza, turut dimainkan dalam rangka cerita menggunakan kisah fiksyen dan juga dialog di tepi lebuh raya. Ada ketikanya, dilihat pengarang mengambil beberapa posisi politik, ada juga cerita yang dibiarkan terbuka sahaja tafsirannya, tanpa memberi satu kecondongan yang jelas. Namun pada satu perspektif lain, sastera sebenarnya memang merupakan satu bahan kritik sosial yang berkesan. Sastera patut membuatkan kita berfikir tentang pemikiran-pemikiran yang kita pegang selama ini. Saya kira itulah yang cuba disampaikan oleh Ibnu Din dalam cerpennya.
Cerpen kedua Ibnu Din pula banyak menggunakan unsur alam, seperti nama pokok ara, lempung, cenderai, enau, cemamar, dan terap. Unsur-unsur ini mungkin dapat dibayangkan oleh generasi lama, namun, generasi baharu (termasuk saya) mungkin tidak lagi mengenali nama pohon-pohon ini. Hal ini mengingatkan saya akan sebuah perjalanan saya dengan David Biggs, seorang profesor sejarah alam sekitar di Nibong Tebal pada tahun 2024. Biggs akan bertanya perihal pokok-pokok di sekeliling perjalanan kami, yang saya selalu lihat tetapi tidak kenal namanya. Beliau kemudian akan bercerita perihal pokok-pokok termasuk pokok yang selalu beliau temui di Vietnam yang merupakan medan lapangan kajiannya. Pengenalan nama pokok ini bagi saya sangat menarik, sebagai fungsi bahan sastera untuk menarik semula anak muda mengenali alam sekelilingnya.
Sastera bukan sahaja menyajikan kisah-kisah yang dapat mengulit emosi, tetapi ada unsur pengajaran yang boleh diambil. Unsur pengajaran ini tidak patut terhad pada soal moral, tetapi juga soal alam sekitar di sekeliling kita. Hari ini kita hidup dalam zaman besi dan konkrit, tidak seperti nenek moyang kita yang hidup bersama-sama alam. Oleh itu, generasi baharu sememangnya tidak lagi kenal dengan nama-nama pokok, bahkan nama buah-buahan juga banyak yang tidak dikenali selain buah-buahan popular seperti pisang dan rambutan.
Perspektif alam ini dilihat juga dalam cerpen yang keempat apabila pembaca dibawa melihat dunia dari perspektif seekor kucing. Dengan perspektif ini, pada pandangan saya, pembaca dapat memahami bahawa dunia ini tidak hanya dihuni oleh manusia, apatah lagi untuk kepentingan manusia semata-mata. Ada makhluk-makhluk lain yang wajar dipertimbangkan kehidupan mereka, seiring dengan pembangunan kemajuan kehidupan manusia. Cerpen “Duyung Sunti Selat Pinang” dalam naskhah ini merupakan contoh jelas tentang keperluan mengambil kira kelangsungan ekosistem dalam pembangunan.
Beberapa cerpen dalam naskhah ini dilihat menggunakan teknik plot twist (kejutan plot) pada saat-saat akhir. Pembaca diajak melihat pelbagai peristiwa dari kaca mata luaran, sebelum didedahkan konteks sebenar pada akhir cerita. Teknik penceritaan sebegini bagi saya mempunyai pengajarannya tersendiri. Pembaca diajak berfikir untuk menangguhkan penghakiman mereka. Apa-apa yang kita lihat secara luaran tidak semestinya seperti yang kita sangkakan. Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam membuat sangkaan, dan sentiasa memberikan ruang untuk bersangka baik. Kerana sebenarnya kita tidak mengetahui keseluruhan maklumat sebenar.
Perspektif yang dipilih oleh Ibnu Din tidak terhad pada perspektif kucing, monyet dan ikan duyung, terdapat juga kisah yang dinukil dari perspektif syaitan. Bagi saya, yang tidak begitu arif dengan penulisan sastera, hal ini merupakan satu cerpen di luar kotak. Semasa kecil, ada juga saya membaca komik yang ditulis dari perspektif syaitan yang sering keluar dalam majalah Asuh, perihal syaitan kurus dan syaitan gemuk. Namun untuk cerpen, saya kira inilah kali pertama saya membaca cerpen dari perspektif syaitan. Untuk pengajaran moral, mungkin yang ingin dibawa adalah sehebat-hebat syaitan pun, dia boleh dikalahkan dengan kebaikan. Cerpen yang bertajuk “Sepasang Sayap Hitam” inilah yang diangkat untuk menjadi tajuk bagi keseluruhan naskhah kumpulan cerpen ini.
Saya kira begitulah kehidupan kita manusia di atas muka bumi ini. Kita diberikan nikmat menumpang seketika, ibarat pokok dedalu yang menumpang hidup di pepohon lain. Apa yang kita pegang, yang kita miliki, yang kita simpan, semuanya tidak kekal. Cepat atau lambat, suka atau tidak, harus kita lepaskan satu hari nanti. Naskhah ini merupakan tempat saya berehat menumpang teduh ketika penat membaca hal-hal akademik. Cerpen-cerpennya membantu saya merehatkan minda dan berlibur seketika. Selesai membaca, saya merasakan bahasanya sungguh enak, tidak bombastik dan maksudnya tetap sampai dan mendalam. Tidak hairanlah Cikgu Ibnu Din Assingkiri berjaya mendidik ramai penulis karya kreatif di seluruh Malaysia.
Beli Sepasang Sayap Hitam di sini.
_________________________
Syed Ahmad Fathi lahir di Kuala Lumpur dan menetap di Sungai Petani, Kedah. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 14 buah buku tentang pemikiran, literasi, perang, dan sejarah. Bukunya, Berfikir tentang Pemikiran pernah terpilih dalam Senarai 50 Judul Buku Terbaik oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada tahun 2021. Selain penulisan buku, beliau turut aktif menyumbang penulisan dalam pelbagai jurnal akademik.