Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Aspek keunggulan karya yang merangkumi kualiti estetik dan keaslian merupakan antara kriteria yang tidak boleh dikompromi dalam sistem penilaian bagi penganugerahan Sasterawan Negara.
YBhg. Prof. Emeritus Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan berkata, selain itu, kekuatan sumbangan pemikiran penulis juga turut menjadi aspek penting dalam penilaian tersebut, meskipun dunia kesusasteraan terus berdepan dengan cabaran perubahan zaman dan masa.
“Penilaian karya perlu berteraskan pada pemikiran yang tinggi bagi mengangkat idea yang bernas dan memberi impak kepada khalayak secara komprehensif.
“Demikian dalam aspek keaslian, karya mestilah bebas daripada unsur ciplak atau plagiat. Dan tidak meniru daripada sumber-sumber lain. Maknanya, karya itu mesti benar-benar asli hasil ciptaan penulis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Anugerah Sastera Negara (ASN): Keunggulan dan Transformasi yang disiarkan menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Forum yang dikendalikan oleh editor Tunas Cipta, Sdr. Ahmad Sayuti Mohd. Yusob itu menampilkan dua ahli panel, iaitu selain Mohamad Mokhtar ialah YBrs. Dr. Norhayati Ab. Rahman.
Mohamad Mokhtar berkata, beberapa kriteria lain yang menjadi penanda aras kepada penilaian bagi penganugerahan tersebut termasuklah karya mestilah beridentitikan tempatan, konsistensi penulis dan pemartabatan bahasa Melayu.
Menurut beliau, karya yang tidak bertitik tolak daripada identiti tempatan tidak boleh diterima untuk dipertimbangkan bagi penilaian kerana kisahnya tidak mencerminkan isu atau persoalan masyarakat.
“Dalam konteks ini ia menggambarkan, seperti tentang kemiskinan, budaya, perjuangan atau apa-apa sahaja kehidupan dalam ruang lingkup masyarakat di tanah air.
“Begitu juga dalam soal pemartabatan bahasa Melayu. Hal ini penting dalam usaha memperkasa dan meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu,” jelasnya.
Sementara itu Norhayati berkata, seseorang penulis yang hendak dinilai untuk ASN perlu menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam berkarya dan menyumbang secara berterusan kepada dunia kesusasteraan.
Beliau tidak menafikan, dunia sastera tanah air mempunyai ramai penulis bernama besar yang pernah melahirkan karya-karya yang cukup hebat selain menerima banyak hadiah dan pengiktirafan, tetapi gagal untuk dinilai berikutan tidak konsisten dalam penulisan.
“Ada penulis yang sudah lama berhenti menulis, sehingga berbelas-belas tahun. Maka, di sini tertolak satu kriteria untuk dinilai dalam anugerah ini,” jelasnya.
ASN ialah pengiktirafan tertinggi atas sumbangan cemerlang penulis dalam kesusasteraan tanah air yang diperkenalkan sejak tahun 1981.
Sehingga kini, seramai 15 orang pengarang telah diiktiraf sebagai Sasterawan Negara dengan yang terakhirnya pada tahun 2022.
Spekulasi calon anugerah Sasterawan Negara ke-16 sebelum ini bertiup kencang sejak awal tahun lalu, namun menjadi reda apabila tiada pengumuman mengenainya sehingga penghujung tahun.
Beberapa nama yang disebut-sebut sebagai calon bagi anugerah tersebut antaranya termasuklah S.M. Zakir, Zaen Kasturi dan Dato’ A. Aziz Deraman.