Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O meneliti pandangan Za’ba tentang asal perkembangan sajak dalam sejarah kesusasteraan Melayu.
Hal ini menandakan suatu peralihan daripada puisi sebagai bentuk yang ‘dibuat mengikut acuan’ kepada puisi sebagai luahan pengalaman batin …
Za’ba merupakan antara tokoh pemikir Melayu yang paling awal dan sistematik membicarakan persoalan puisi moden Melayu, khususnya sajak. Dalam bukunya, Ilmu Mengarang Melayu (DBP, 1965), beliau tidak sekadar memperkenalkan istilah “sajak” kepada khalayak Melayu, malah menghuraikan latar kemunculannya, perbezaannya dengan bentuk puisi tradisional, serta sifat-sifat estetik yang menjadi teras keindahan sajak sebagai satu bentuk karangan baharu. Pandangan Za’ba ini penting kerana muncul pada saat kesusasteraan Melayu sedang mengalami peralihan besar daripada tradisi lama kepada kesedaran moden.
Za’ba memulakan perbincangan tentang sajak dengan menjelaskan bahawa perkataan ‘sajak’ mempunyai dua pengertian yang difahami oleh masyarakat Melayu. Pertama, pengertian umum, iaitu sajak sebagai segala bentuk karangan berangkap, termasuk pantun, syair dan puisi tradisional yang lain. Namun begitu, pengertian ini bukanlah fokus perbincangan beliau. Yang lebih penting ialah pengertian kedua, iaitu pengertian khusus, apabila sajak ditakrifkan sebagai satu jenis karangan berangkap cara baharu dalam bahasa Melayu.
Menurut Za’ba, sajak dalam pengertian khusus ini mula berkembang di Indonesia sebelum Perang Dunia Kedua dan kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu selepas perang, seiring dengan perkembangan kesusasteraan moden di Nusantara. Dengan ini, Za’ba secara jelas meletakkan sajak sebagai produk zaman moden, bukan kesinambungan langsung bentuk puisi lama, walaupun masih mengekalkan sifat berangkap pada susunan luarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa pada bentuk luaran, sajak mungkin kelihatan seakan-akan gurindam atau seloka, namun pada hakikatnya, sajak berbeza dari segi isi, rasa kesenian dan tujuan pengucapannya. Di sinilah Za’ba mula membezakan sajak sebagai satu genre tersendiri yang tidak boleh dinilai dengan ukuran puisi tradisional semata-mata.
Antara sumbangan utama Za’ba termasuklah penghuraian terperinci tentang ciri-ciri sajak. Pertama sekali, Za’ba menegaskan bahawa sajak tidak terikat pada sukatan dan timbangan bunyi yang tetap. Tidak seperti pantun atau syair yang mempunyai bilangan suku kata, rima dan rentak yang tersusun rapi, sajak bebas daripada peraturan tersebut. Sajak tidak mempunyai rentak yang seragam dan kebanyakannya tidak menggunakan persamaan bunyi di hujung baris secara tetap.
Namun begitu, kebebasan bentuk ini tidak bermaksud sajak itu longgar atau tidak berdisiplin. Sebaliknya, Za’ba menekankan bahawa keindahan sajak terletak pada isi dan bahasanya. Isi sajak harus menuturkan perasaan yang kuat dan mendalam, lahir daripada jiwa penyair yang jujur dan tulen. Bahasa yang digunakan pula bersifat berkias, berwarna, indah, dan kadangkala bergema dengan kesan emosi yang hebat. Dengan kata lain, nilai seni sajak tidak terletak pada keindahan luaran yang mekanis, tetapi pada kekuatan dalaman yang menyentuh perasaan pembaca.
Dari segi susunan, Za’ba menjelaskan bahawa sajak masih disusun dalam bentuk rangkap, tetapi bilangan baris dalam setiap rangkap tidak perlu sama, dan panjang setiap baris juga tidak perlu tetap. Fleksibiliti ini memberikan ruang kepada penyair untuk menyesuaikan bentuk dengan aliran perasaan dan pemikiran yang ingin disampaikan. Hal ini menandakan suatu peralihan daripada puisi sebagai bentuk yang “dibuat mengikut acuan” kepada puisi sebagai luahan pengalaman batin.
Sebagai penguat hujah dan contoh dalam bukunya ini, Za’ba telah memetik sejumlah sajak sebagai contoh. Mewakili Indonesia, dipilih sajak “Aku” karya Chairil Anwar, “Padamu Jua” oleh Amir Hamzah dan “Dia dan Aku” karya Sitor Situmorang. Dari Malaysia, selain sejumlah karya sajak yang lain, sajak “Ke Makam Bonda” karya Tongkat Warrant dipilih sebagai contoh.
Za’ba dengan jelas membezakan sajak daripada bentuk puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka. Walaupun sajak mungkin menyerupai gurindam atau seloka dari segi bentuk luar, perbezaan utama terletak pada isi, ragam bahasa dan rasa keseniannya. Puisi tradisional lazimnya terikat pada fungsi tertentu, sama ada sebagai nasihat, sindiran atau hiburan, serta dikawal oleh undang-undang bentuk yang ketat.
Sebaliknya, sajak memberikan kebebasan kepada penyair untuk menyuarakan perasaan dan pemikiran secara lebih peribadi, spontan dan natural. Za’ba melihat kebebasan ini sebagai suatu keperluan zaman, selari dengan perubahan cara manusia moden memahami diri, masyarakat dan dunia sekelilingnya.
Asal Usul Kemunculan Sajak
Pada mulanya, pemberontakan ini dilakukan oleh segelintir penyair sahaja, namun akhirnya menjadi arus umum dalam kesusasteraan moden.
Dalam bukunya itu, Za’ba turut menghuraikan asal terjadinya sajak sebagai satu bentuk pemberontakan perlahan terhadap ikatan lama puisi tradisional. Menurut beliau, para penyair mula merasakan bahawa peraturan sukatan, timbangan dan rima yang ketat telah menyukarkan penghasilan puisi yang jujur dan hidup. Keperluan untuk sentiasa tunduk kepada undang-undang bentuk menyebabkan perasaan hati tidak dapat diluahkan secara spontan, bahkan sering menjadikan puisi kelihatan kaku, dibuat-buat dan tidak natural.
Daripada perasaan tidak puas hati inilah lahir keinginan untuk membebaskan puisi daripada kekangan lama. Pada mulanya, pemberontakan ini dilakukan oleh segelintir penyair sahaja, namun akhirnya menjadi arus umum dalam kesusasteraan moden. Menariknya, Za’ba menegaskan bahawa fenomena ini bukanlah khas kepada orang Melayu sahaja, tetapi berlaku secara sejagat dalam hampir semua bangsa dan bahasa yang mengalami peralihan kepada kesusasteraan moden.
Secara keseluruhannya, pandangan Za’ba tentang sajak memperlihatkan ketajaman pemikiran dan keluasan wawasannya dalam memahami perubahan sastera. Beliau melihat sajak bukan sekadar bentuk baharu, tetapi sebagai manifestasi perubahan jiwa dan pemikiran manusia moden. Dengan menekankan kebebasan bentuk, kejujuran perasaan dan keindahan bahasa sebagai teras sajak, Za’ba telah meletakkan asas penting bagi pemahaman puisi moden Melayu.
Pandangan ini menjadikan Za’ba bukan sahaja sebagai ahli bahasa dan pendidik, tetapi juga sebagai perintis pemikiran kritis dalam kesusasteraan Melayu moden. Sehingga hari ini, gagasan beliau tentang sajak masih relevan untuk menilai, memahami dan menghayati puisi moden dalam konteks tradisi dan perubahan zaman.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.