Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangH.R. Hafiz kembali mengingatkan kita dengan karya besar Pendeta Za’ba, yang diterbitkan secara posthumus oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang masih memberikan renungan buat orang Melayu pada hari ini.
Naskhah karangan yang dihasilkan oleh Za’ba ini tidak diketahui selama lapan tahun pemergian beliau sehinggalah ditemui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Pelita yang tidak pernah padam”, itulah satu ungkapan yang dapat menggambarkan satu susuk yang penting dan tidak asing lagi dalam dunia bahasa Melayu, iaitu Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad atau terkenal dengan salah satu nama penanya, iaitu Za’ba. Susuk hebat ini sememangnya dikenali sebagai salah satu pejuang bahasa sehingga dianugerahkan gelaran Pendeta Bahasa Melayu yang menghasilkan pelbagai penulisan yang memperjuang serta meningkatkan mutu bahasa Melayu itu sendiri, seperti Pelita Bahasa, Ilmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi atau Rumi.

Ketokohan Za’ba tidak hanya diserlahkan sebagai pemikir bahasa, namun terdapat juga sumbangan besar beliau dalam bidang politik, ekonomi serta agama. Kesemua sumbangan ini disumbangkan oleh beliau melalui penulisan beliau dalam berpuluh-puluh rencana semasa zamannya. Namun begitu, terdapat beberapa naskhah atau karya penulisan beliau yang dilihat agak canggung bagi mereka yang tidak menelusuri latar belakangnya dengan lebih mendalam, dan salah satu karya pendekatan “agama” beliau ialah buku Perangai Bergantung pada Diri Sendiri.
Naskhah karangan yang dihasilkan oleh Za’ba ini tidak diketahui selama lapan tahun pemergian beliau sehinggalah ditemui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dengan inisiatif pihak DBP setelah melihat dan menyedari pentingnya naskhah tersebut kepada bangsa Melayu, maka, diterbitkan naskhah tersebut kepada bentuk buku bacaan orang ramai pada tahun 1982, dan diulang kembali cetakannya sehinggalah kini.
Pihak DBP turut mengekalkan gaya bahasa dan keaslian bahasa semasa beliau menghasilkan karya tersebut. Isi penyampaian dalam karya tersebut secara rumusannya dapat dilihat terdapat beberapa kupasan atau kritikan yang dianggap “keras” oleh segelintir pihak terhadap orang Melayu ketika zamannya.
Oleh sebab pandangan dalam naskhah ini dianggap agak berat diterima oleh orang Melayu, maka sebab itulah naskhah tersebut tidak diajukan kepada mana-mana penerbit semasa hayat beliau. Walhal, setiap kandungan yang ditulis oleh Za’ba melalui naskhah tersebut sememangnya berlaku dan masih terus berbekas terhadap orang Melayu pada masa kini.
Kepentingan Berfikir dan Membawa Perubahan
Dalam naskhah ini, Za’ba melihat orang Melayu semasa zamannya berfikir dengan cara yang jelik.
Berfikir merupakan suatu perkara penting bagi semua insan. Namun begitu, adakah setiap manusia berfikir dengan sebetulnya atau hanya berfikir “asal boleh sahaja”?
Dalam naskhah ini, Za’ba melihat orang Melayu semasa zamannya berfikir dengan cara yang jelik. Hal ini kerana, beliau melihat sebahagian besar orang Melayu berfikiran jumud, terutamanya dalam aspek beragama. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jumud dapat didefinisikan sebagai suatu pemikiran yang kolot atau kaku. Za’ba menggelarkan golongan ini berfikiran jumud kerana orang Melayu pada ketika itu sangat gemar dengan bergantung pada amalan-amalan “tok guru” atau agamawan tertentu, tanpa berfikir atau merujuk al-Quran dan sunnah.
Tambahan lagi, beliau tidak segan silu untuk menggunakan frasa “Jahil Pekat” kepada mereka yang masih mengamalkan pendekatan sedemikian. Justeru, naskhah ini dilihat sebagi sebuah wadah untuk “membuka mata” orang Melayu, khususnya untuk berfikir dengan teliti dan berkesan dengan apa-apa yang dilakukan atau diamalkan dalam kehidupan beragama. Beliau turut menyeru untuk tidak gentar atau dalam erti kata lain, melawan penyakit inferiority complex atau perasaan merendah diri yang melampau demi membawa perubahan dalam kehidupan, baik dari segi aspek ekonomi, sosial mahupun politik.
Perangai Bergantung kepada Orang Lain
Bukan itu sahaja, Za’ba mengkritik amalan lembap sesetengah individu untuk beribadah. Beliau berani bersuara mengenai perihal ini kerana berdasarkan pemerhatiannya pada zaman tersebut.
Seseorang individu itu malas untuk beribadah kerana percaya yang dia akan “selamat” di alam sana. Za’ba memperingatkan dalam naskhah tersebut bahawa “Tiap-tiap seorang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya sendiri” (hlm.11). Pendeta turut mengkritik perangai suka bergantung hidup kepada orang lain serta matinya individu itu mengharapkan “fidyah” yang dibuat orang bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak. Menariknya, beliau dengan berani mengeluarkan kenyataan yang agak pedas seperti “Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul-Huwa’llah (Surah Al-Ikhlas) dari orang apabila mati kelak!” (hlm.11).
Menjadi kelaziman masyarakat pada zaman tersebut, tatkala seseorang individu sudah meninggal dunia, keluarga si mati akan membayar “hutang” si mati dengan membayar “fidyah”, seperti yang Za’ba katakan di atas. Justeru, kita dapat melihat bahawa Za’ba sangat cakna terhadap kondisi masyarakat Melayu ketika itu yang tidak mampu untuk hidup sehingga pemergiannya masih lagi mengharapkan bantuan orang lain.
Kepentingan Ilmu Pengetahuan
Tambahan lagi, persamaan individu yang tidak mempunyai ilmu atau ‘suluh akal’ adalah seperti seekor keldai yang membawa sepan di atas belakangnya.
Islam menyeru umatnya untuk memperkaya diri masing-masing terhadap ilmu pengetahuan. Al-Quran diturunkan untuk membuka “pintu akal” dan “mata hati” manusia. Kedua-dua aspek ini sepatutnya ditanam dalam setiap benak sanubari seseorang yang mengaku dirinya sebagai Islam.
Za’ba menganalisis perkara ini sebagai perkara yang wajar bagi orang Melayu dan memuatkan perkara ini dalam naskhahnya. Kepentingan Ilmu pengetahuan menjadi faktor kemandirian sesebuah bangsa. Beliau menggelarkan ilmu sebagai perkakas yang perlu dilengkapkan kepada setiap manusia. Ilmu yakni pendidikan wajar diberi keutamaan dan merupakan salah satu tuntutan fardu ain kepada umat Islam.
Tambahan lagi, persamaan individu yang tidak mempunyai ilmu atau “suluh akal” adalah seperti seekor keldai yang membawa sepan di atas belakangnya. Keldai tersebut melihat kawannya, iaitu keldai membawa garam di belakangnya, seolah-olah ringan membawa garam yang berat tatkala meredah arus sungai. Keldai tersebut turut mengikuti jejak langkah kawannya untuk terus meredah sungai dengan harapan bebannya akan menjadi ringan namun sebaliknya, menjadi berat. Di hujung sungai, kedua-dua keldai tersebut pelik kerana garam menjadi larut manakala sepan menjadi berat (hlm.34). Hal ini merupakan salah satu analogi yang menarik dikemukakan oleh Za’ba, memberi gambaran secara jelas tentang contoh manusia yang tidak berfikir dan tidak berilmu pengetahuan.
Tuntasnya, naskhah Perangai Bergantung pada Diri Sendiri dapat diklasfikasikan sebagai suatu karya sastera kerana mempunyai gaya bahasa serta nilai estetikanya yang tersendiri. Walaupun mesej yang cuma disampaikan dilihat seperti sebuah “buku agama”, namun, hal ini tidak bermakna yang naskhah ini tidak boleh diangkat sebagai sebuah karya sastera tetapi menggunakan pendekatan agama. Perkara pokok yang dibincangkan oleh Za’ba sememangnya malar segar atau relevan kerana perkara yang ditekankannya itu masih wujud dalam zaman yang rencam ini. Akhir sekali, naskhah ini sangat sesuai dijadikan pesanan atau peringatan daripada seorang pendeta kepada masyarakat kerana “kekayaan saudagar pundi-pundi emasnya, kekayaan pendeta keping-keping kertasnya.”
Beli buku Perangai Bergantung pada Diri Sendiri di sini.
_________________________
H.R. Hafiz atau Muhammad Hafiz Roslan meminati pelbagai buku selain buku sastera. Beliau tinggal di Kulim, Kedah.