Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamadan
engkau datang seperti fajar tenang, lembut
terbuka pintu langit, rahmat menyambut.
Sebulan kita asyik
menahan lapar, mendidik raga
meneguk sabar, mematangkan jiwa
belajar bahawa kita ini, hamba
yang sering lupa nikmat, kebesaran-Nya.
Engkau hampir pergi kini
seperti senja perlahan-lahan tenggelam, diam
di hujung ufuk doa di hati terpendam.
Masjid balaisah bertambah cahaya
oleh langkah para pencinta
akan kembali sunyi lelah
hanya gema ayat-ayat suci, bermadah
tinggal berlegar di ingatan kejap, pasrah.
Malam-malam akhir ini
kita menadah tangan lebih lama
seolah-olah tidak mahu waktu beranjak
meninggalkan detik penuh rahsia di benak.
Barangkali
antara desah nafas dengan air mata
tersimpan satu malam
yang lebih mulia daripada seribu bulan.
Ramadan
mengajar kami erti syukur
pada sebutir kurma
dan seteguk air, walau liur.
Engkau juga mengajar
bahawa hati bersih
lebih berharga
daripada dunia luas tersisih.
Perpisahan tetap perpisahan
ada rindu mula berakar
sebelum engkau benar-benar pergi, beredar.
Apa kita kan bertemu lagi
pada tahun-tahun menjelang
atau ini benar pengakhiran
antara hamba lemah
dengan bulan penuh rahmah.
Jika esok Syawal menjelma
biarlah Ramadan berangkat
dengan jiwa telah dibersihkan
oleh tangis doa dan taubat.
Dan Ramadan
sebelum engkau pergi jauh
menyusur lorong waktu
tinggalkan sedikit cahaya
di dalam dada kami.
Agar sepanjang hari mendatang
kami tidak kembali
menjadi manusia yang lupa
apatah ingkar akan Ilahi.
Kota Bharu,
17 Mac 2026 | 27 Ramadan 1447