Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIsmail Hashim Yahaya membongkar rahsia dalam novel terbaharu Dan Brown, dan menemui hikmah yang sudah lama diperkatakan oleh Jalaluddin Rumi dan Profesor Diraja Terpuji Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Novel ini seakan-akan membawa Dan Brown ke wilayah yang selama ini diperhatikan oleh pemikir Timur—wilayah yang disentuh oleh Rumi ketika berbicara tentang “rumah sebenar” yang hilang daripada hati manusia, dan wilayah yang dicerahkan oleh Profesor Diraja Terpuji Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika mengingatkan bahawa krisis moden bukanlah krisis pengetahuan, tetapi krisis adab …
Dunia moden bergerak dengan degup yang pantas, seperti jantung mesin yang tidak pernah rehat. Cahaya dan bunyi meluncur tanpa henti. Teknologi dan sains membentuk peta kehidupan manusia, tetapi jiwa terasa semakin sunyi, tersasar, seolah-olah terperangkap dalam lorong digital tanpa penghujung.

Berbeza daripada karya-karya terdahulu Dan Brown, The Secret of Secrets bukan sekadar karya ngeri intelektual yang menggabungkan simbol purba dan sains moden; ceritanya bergerak lebih dalam ke wilayah eksistensial. Novel seperti Digital Fortress mempersoalkan kuasa teknologi dan ancaman pengawasan; Angels & Demons dan The Da Vinci Code bergelumang dalam konflik antara sejarah gereja dengan pengetahuan tersembunyi; manakala Origin pula menekankan pergeseran antara sains algoritma dengan metafizik dengan persoalan besar: “Dari mana kita datang, dan ke mana kita akan pergi?”
Akan tetapi, The Secret of Secrets tidak hanya menyoal dua titik asal dan destinasi itu. Novel ini menyelami apa-apa yang hilang antara kedua-duanya—kekosongan makna yang menghantui manusia moden, yang berlari pantas dalam kelajuan teknologi, tetapi kehilangan pusat batin yang mengikatnya kepada kebenaran.
Jika Origin ialah pencarian saintifik terhadap jawapan kosmologi, The Secret of Secrets ialah pencarian spiritual terhadap makna diri, makna hati dan makna kewujudan yang tidak dapat dipetakan oleh logaritma atau data. Di sinilah perbezaan paling besar novel ini: naratifnya bukan hanya mengejar rahsia dunia, tetapi menyingkap rahsia manusia yang berhadapan dengan dirinya sendiri.
Novel ini seakan-akan membawa Dan Brown ke wilayah yang selama ini diperhatikan oleh pemikir Timur—wilayah yang disentuh oleh Rumi ketika berbicara tentang “rumah sebenar” yang hilang daripada hati manusia, dan wilayah yang dicerahkan oleh Profesor Diraja Terpuji Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika mengingatkan bahawa krisis moden bukanlah krisis pengetahuan, tetapi krisis adab, iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Dalam karya-karya sebelumnya, Dan Brown menyoal institusi; dalam The Secret of Secrets, beliau menyoal jiwa manusia itu sendiri.
The Secret of Secrets ialah sebuah karya yang pada permukaan tampaknya sebuah novel ngeri (thriller) penuh teka-teki, simbol dan konspirasi, namun pada hakikatnya, menyingkap kegelisahan yang lebih halus, iaitu krisis makna manusia moden.
Di tengah-tengah kisah itu, kehadiran dua tokoh besar pemikiran Islam—Prof. Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Maulana Jalaluddin Rumi yang menjadi lensa untuk membaca denyut batin yang tersembunyi, bukan sekadar hiburan sastera, tetapi lebih mendalam lagi, refleksi zaman yang hilang arah.
Dalam The Secret of Secrets, Robert Langdon, profesor Simbologi dan Ikonologi Agama di Universiti Harvardl, sekali lagi ditarik ke dalam pusaran misteri.
Kisah bermula dengan kematian seorang saintis ternama yang mendakwa telah menemui “rahsia segala rahsia” suatu penemuan yang dikatakan mampu menjawab persoalan purba tentang asal usul kesedaran manusia, tujuan hidup dan arah evolusi masa hadapan.
Penemuan itu disembunyikan dalam kod-kod purba, manuskrip tersembunyi dan simbol yang menunggu tangan yang mampu membacanya. Perebutan atas penemuan itu melibatkan institusi agama, kerajaan, para ilmuwan, dan korporat teknologi yang mengimpikan kuasa mutlak.
Langdon yang terbiasa menelusuri sejarah dan simbol, kini mendapati dirinya bukan sekadar mencari jawapan, bahkan menelusuri labirin jiwa manusia yang tersesat, meraba-raba antara cahaya dengan bayang.
Jika dibandingkan dengan Origin, yang juga menampilkan Langdon dalam pencarian persilangan antara sains dengan agama, The Secret of Secrets bergerak lebih dalam ke ruang batin. Origin menyoal pertanyaan fundamental: “Dari mana kita datang? Ke mana kita akan pergi?” dan menekankan konflik antara rasionaliti saintifik dengan doktrin agama.

Hal itu ialah dialog antara fakta dengan iman, antara ilmu pengetahuan dengan ketakutan manusia terhadap misteri. The Secret of Secrets, bagaimanapun, membawa pembaca ke dalam lapisan yang lebih sunyi: bukan sekadar pertanyaan tentang dunia luar, sebaliknya perjalanan untuk memahami diri sendiri, pencarian makna yang tidak dapat diselesaikan dengan algoritma atau penemuan saintifik semata-mata.
Novel ini menunjukkan bahawa meskipun manusia semakin pandai menjelaskan alam, namun mereka semakin buta terhadap kedalaman hati sendiri.
Di sinilah pemikiran Profesor al-Attas menjadi penting. Al-Attas menekankan bahawa dunia moden bukan kekurangan ilmu, sebaliknya kekeliruan dalam menempatkan ilmu pada kedudukan yang betul.
Ilmu tanpa adab ialah bencana; ia menjadi alat ego, bukan cahaya panduan. Inilah yang cuba digambarkan oleh Brown, tetapi dikonsepsikan Profesor al-Attas yang dapat disimpulkan sebagai zulm al-nafs—kezaliman terhadap diri sendiri.
Novel Dan Brown menunjukkan bahawa manusia yang menutup luka itu dengan data dan teori enggan membiarkan cahaya rohani menembusinya.
Dalam novel ini, penemuan saintifik yang dianggap sebagai kunci kebenaran akhirnya menjadi medan perebutan kuasa. Manusia yang sepatutnya tunduk pada misteri menjadi sombong, malah membiarkan ilmu yang dimiliki menyelubungi jiwa sehingga mereka lupa menempatkan diri pada kedudukan yang benar dalam skema kehidupan. Brown secara halus cuba menangkap kegelisahan moden: manusia yang serba tahu, tetapi hilang arah.
Watak Langdon walaupun seorang intelektual rasional, mula menyedari kesunyian ini. Simbolisme yang selama ini dikaji sebagai peninggalan sejarah menjadi tanda pada sesuatu yang lebih besar: pengetahuan yang tidak menyalakan hati tetaplah kosong, pengetahuan tanpa adab tetaplah membingungkan.
Di sinilah suara Rumi bergema. Pemilihan Rumi dalam ulasan novel ini bukan sekadar simbolik; beliau memberikan bahasa untuk kegelisahan yang tidak mampu diterangkan oleh logik semata-mata.
Manusia, menurut Rumi, ialah makhluk kerinduan: tidak kira sejauh mana teknologi membawanya melintasi galaksi, dia tetap mencari cahaya yang datang dari dalam. “The wound is the place where the light enters you,” kata Rumi dan novel Brown menunjukkan bahawa manusia yang menutup luka itu dengan data dan teori enggan membiarkan cahaya rohani menembusinya.
The Secret of Secrets menegaskan bahawa pencarian makna bukan sekadar soal menambah pengetahuan, tetapi menyingkap kedalaman hati yang telah lama dilupakan.
Berbeza dengan Origin yang menekankan konflik di luar, iaitu antara sains dengan agama, The Secret of Secrets menekankan konflik di dalam: bagaimana manusia menggunakan ilmu, bagaimana mereka menempatkan diri dan bagaimana mereka lupa adab.
Dalam Origin, jawapan pada misteri dianggap mungkin diperoleh melalui penemuan; dalam The Secret of Secrets, jawapan paling penting ialah kesedaran bahawa jawapan luar tidak pernah cukup jika jiwa sendiri tidak dipulihkan.
Evolusi naratif ini menunjukkan bahawa Dan Brown semakin menyorot bukan hanya teka-teki dunia tetapi teka-teki jiwa. Novel ini bergerak dari permukaan ke inti, dari fakta ke roh, dari simbol ke cahaya yang menunggu di dalam.
Penemuan saintifik dalam novel ini yang pada awalnya digambarkan sebagai pencerahan, akhirnya menjadi ancaman kerana tidak diiringi kebijaksanaan. Dunia Brown memperlihatkan manusia moden yang ingin melangkaui nasibnya sendiri, namun enggan memikul tanggungjawab rohani terhadap kebebasan itu.
Inilah tanda zulm al-nafs yang paling halus: manusia ingin menjadi pusat segala sesuatu, tetapi tidak mampu mengurus dirinya sendiri. Dengan simbol dan teka-teki, Brown menyindir manusia yang “memahami dunia tetapi melupakan diri”.
Novel ini menunjukkan bahawa walaupun kita dapat membaca alam semesta, jika kita tidak membaca diri sendiri, kita tetap buta. Pemikiran Prof. Al-Attas menguatkan bacaan ini.
Adab ialah susunan batin yang betul; ilmu yang ditempatkan tanpa adab hanya menimbulkan kekeliruan. Novel Brown menggambarkan bahawa dunia tanpa adab: ilmu menjadi kuasa, bukan cahaya; sains menjadi dogma, bukan renungan; dan ego manusia menguasai simbol dan penemuan yang seharusnya menyuluh kebenaran.
Rumi menegaskan bahawa manusia hanya menemui makna apabila mengosongkan diri daripada ego dan keributan dunia; dan dalam The Secret of Secrets, perjalanan Langdon menunjukkan bagaimana pencarian makna kini harus menjadi perjalanan ke dalam, menembus tirai batin yang terselubung oleh kesibukan dan ambisi.
Novel ini lebih bermakna daripada Origin yang menunjukkan bahawa dunia moden tidak sekadar haus akan jawapan; manusia haus akan cara memahami jawapan itu dengan hati. Sains dan teknologi, walaupun canggih, tidak mampu memulihkan kehilangan makna.
Brown melalui simbol, teka-teki dan misteri menuntun pembaca kepada kesedaran bahawa pencarian makna ialah proses batin yang memerlukan keberanian menghadapi diri sendiri, dan inilah titik di mana pemikiran Prof. Syed Naquib al-Attas dan Rumi bertemu dengan dunia fiksyen: kedua-duanya menuntun manusia agar kembali kepada cahaya yang lama terpendam dan kepada inti yang paling murni daripada eksistensinya.
Akhirnya, manusia moden berdiri di hadapan cermin yang dibentuk oleh penemuan sendiri—cermin yang memantulkan segala kecanggihan, tetapi menyembunyikan kekosongan di baliknya.
Dunia yang digambarkan Brown ialah dunia kita: canggih tetapi letih, pintar tetapi keliru, maju tetapi kehilangan arah. Dalam kebisingan itu, suara Rumi kedengaran seperti angin padang pasir: “You wander from room to room searching for the diamond necklace that is already around your neck.”
Sementara itu, Syed Naquib al-Attas mengingatkan bahawa tanpa adab, tanpa susunan batin yang betul, semua pengetahuan hanyalah bayangan menipu. Kita menjadi bangsa yang serba tahu tetapi tidak memahami, serba ada tetapi tidak merasa.
Maka, mungkin krisis moden bukan krisis sains, tetapi krisis jiwa yang lupa pulang. Perjalanan pulang itu, seperti yang disindir oleh Brown melalui simbol dan teka-teki, bukanlah perjalanan ke luar, tetapi perjalanan kembali ke dalam—perjalanan untuk menghidupkan cahaya yang lama terpendam agar manusia kembali melihat dunia bukan sekadar dengan mata, tetapi dengan hati yang telah kembali kepada dirinya sendiri.

_________________________
Ismail Hashim Yahaya mantan pensyarah Universiti Selangor, mengajar dalam bidang komunikasi dan media. Beliau banyak menyumbangkan artikel dalam bidang geopolitik dan hubungan antarabangsa dalam Dewan Masyarakat selain menulis dalam Berita Harian, MalaysiaKini, Harian Metro, Malaysia Gazette, dan Free Malaysia Today.