Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLokman Hakim membedah imejan besar Malaywood dalam himpunan karya cerpen penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2024, Roslan Jomel.
Intertekstualiti ini memberikan persepsi bahawa setiap kisah yang berlaku dalam kumcer-kumcer itu berada dalam gagasan dunia Malaywood.
Malaywood ialah suatu dunia yang dibina dengan bongkah-bongkah cerpen yang dimuatkan dalam kumpulan cerpen (kumcer) Selamat Datang ke Malaywood, Serangga di dalam Kepala, Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan, dan juga Di dalam Mulutnya Ada Kota. Apabila membaca sebuah cerpen daripada kumcer-kumcer tersebut, tidak memadai untuk kita memahami peta Malaywood yang rumit.

Mencerakinkan Malaywood itu penting untuk kita memahami bagaimana minda kepengarangan seorang cerpenis pascamoden berfungsi menterjemahkan sosiologi masyarakat di sekitarnya. Kreativiti pengarang boleh ditebak dengan kaedah teori Fuzz-Trace. Teori ini mengguna pakai intertekstualiti yang dikaji dari segi dua aspek utama, yakni pemerhatian terhadap elemen kata demi kata (verbatim) dan juga pengenalpastian inti patinya (gist). Bertolak daripada dua aspek itu, persepsi pembaca akan dinilai dengan menggunakan Rukun Prägnanz demi memahami dengan lebih lanjut bagaimana teks yang membina Malaywood memberi imej di dalam kepala pembaca, lantas menghuraikan pencirian ruang kosong yang dibinakan untuk pembaca oleh pengarang.
Teori Fuzz-Trace merupakan teori kognitif yang diperkenalkan oleh Valerie F. Reyna dan Charles Brainerd yang bermaksud untuk mengkaji dan menebak fenomena kognitif, yakni memori dan juga pertimbangan konteks. Dalam hal ini, fenomena bagaimana memori pembaca menjadi aktif ketika mendepani teks pembinaan Malaywood diteliti. Kemudian, pembaca akan membina pertimbangan apakah konteks naratif bagi setiap dukungan cerpen-cerpen itu, lantas hal inilah yang akan dikaji secara mendalam.
Pada peringkat ini, makna yang cuba diungkapkan oleh pengarang tidak lagi penting. Hal yang diutamakan ialah cara pembaca membina semula naratif dan konteks penceritaan “di dalam kepalanya”. Meskipun begitu, Malaywood harus disimpulkan dahulu penstrukturannya melalui proses dekonstruksi. Daripada dekonstruksi itu, barulah boleh dibina semula gagasan makna yang terkumpul itu. Dekonstruksi yang dimaksudkan ini adalah untuk meleraikan beberapa buah cerpen ke dalam tiga jenis tanda, iaitu ikon, indeks dan simbol. Namun begitu, dekonstruksi sebegini hanya akan dihuraikan dalam esei lain yang serasanya menuntut penjelasan yang lebih tuntas. Sewajarnya kita memusatkan pada kaedah pembacaan dengan menggunakan Teori Fuzz-Trace dan juga Rukun Prägnanz terlebih dahulu.
Oleh itu, tulisan ini sekadar mahu merumuskan asas pengkaedahan yang akan diguna pakai untuk mencerakinkan Malaywood yang dibina gagasannya melalui cerpen-cerpen yang sebegitu banyak. Pengenalan kepada Malaywood itu diungkapkan secara terang-terangan dalam cerpen “Selamat Datang ke Malaywood” (Selamat Datang ke Malaywood, 2015:5): “Adapun negara Malaywood kaya dengan kisah mistik dan maju dalam semua bidang peradaban manusia, bahkan tidak tercetak pada peta dunia.”
Ungkapan tersebut memadai untuk kita memahami sifat negara Malaywood itu yang kurang dikenali dunia biarpun diselubungi oleh kesempurnaan serba-serbi yang menghampiri utopia. Hal ini juga boleh diumpamakan selaku suatu alegori non-apologetik pengarang terhadap situasi semasa kesusasteraan Malaysia di peta dunia pada waktu itu – “tidak tercetak” ataupun dalam kata lainnya, tidak diketahui umum.
Meskipun begitu, cerpen tersebut bukanlah suatu mukadimah pada gambaran sebenar Malaywood. Terdapat 18 buah cerpen dalam kumcer Selamat Datang ke Malaywood, 23 buah cerpen dalam kumcer Di dalam Mulutnya Ada Kota, 10 buah cerpen dalam Serangga di dalam Kepala, dan 16 buah cerpen dalam Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan. Daripada keempat-empat kumcer ini, kita boleh memisahkan setiap kumcer itu kepada dua kelompok berdasarkan teori Fuzz-Trace iaitu, verbatim dan juga gist.
| Gist (Inti Pati) | Verbatim (Kata Demi Kata) |
| Di dalam Mulutnya Ada Kota | Selamat Datang ke Malaywood |
| Serangga di dalam Kepala | Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan |
Pengelasan ini merujuk hakikat bahawa tiada sebarang ungkapan mengenai Malaywood secara intrateks, apatah lagi secara literal yang ditemui dalam kumcer Di dalam Mulutnya Ada Kota dan juga Serangga di dalam Kepala. Namun begitu, terdapat intertekstualiti yang ketara menunjukkan bahawa perhubungan naratif-naratif berasingan dalam kedua-dua kumcer tersebut dengan kumcer Selamat Datang ke Malaywood dan juga Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan. Intertekstualiti ini memberikan persepsi bahawa setiap kisah yang berlaku dalam kumcer-kumcer itu berada dalam gagasan dunia Malaywood.
Contoh Verbatim dan Gist dalam Kumcer
Hal ini bukan kelemahan semata-mata, tetapi strategi: pembaca dipaksa bekerja lebih keras untuk mengekstrak inti pati cerita …
Memahami gist penceritaan dan menanggapi verbatim selaku kendera gist tersebut dapat membantu kefahaman pembaca terhadap bayangan isu-isu semasa dan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang. Meskipun pengarang sendiri memberikan kebebasan kepada pembaca untuk membina sendiri konteks dan makna cerita yang digarap, hal ini tidak bermaksud kita harus mengetepikan aspek mimetisme yang mempengaruhi pengarang. Tidakkah menarik jika kita dapat melihat sendiri dari kaca mata pengarang ketika beliau menghasilkan cerpen-cerpennya dan pada waktu yang sama, kita memahami juga bagaimana para pembaca bertindak balas dengan penceritaan tersebut yang barangkalinya berbeza-beza?
Anggaplah verbatim itu seperti piksel, gist pula imejnya. Anda boleh merenung satu piksel selama sejam dan tetap tidak memahami gambarnya. Akan tetapi, apabila piksel disusun dalam pola, imej pun muncul. Malaywood memaksa kita sedar bahawa banyak cerpen Roslan “menenggelamkan gist” dengan verbatim yang tebal. Dan ada kalanya verbatim yang diaplikasikan kelihatan tidak secocok dengan pencitraannya, lantas mengelirukan pembacaan.
Hal ini bukan kelemahan semata-mata, tetapi strategi: pembaca dipaksa bekerja lebih keras untuk mengekstrak gist.

Saya teringat pada suatu ketika dahulu, dalam satu acara perbukuan sekitar tahun 2017 – 2018, S.M. Zakir pernah menanyakan Roslan Jomel perihal gaya cerpen yang diimani oleh Roslan. Pertanyaan S.M. Zakir berbunyi lebih kurang seperti berikut: “Tak rasa nak tukar gaya penulisan?” Lalu Roslan Jomel dengan tenang dan pantas menjawab, “Tidak.”
Hal itu merupakan suatu petanda ataupun petunjuk penting. Apabila saya menginjak keluar dari gagasan Malaywood yang jelas terbina daripada empat kumcer terawal beliau, saya akan menemukan gaya kepengarangan ataupun format penulisan cerpen yang serupa untuk kumcer yang seterusnya.
Saya gemar memetik cerpen “Siapa Pengarang Asal Kitab Alam Semesta?” (dlm. Pujangga Kontemporari, Nusa Centre, 2023). Cerpen ini sebenarnya mengungkapkan secara tidak langsung cara proses mengarang Roslan Jomel yang padat dengan verbatim rawak sehingga seolah-olah menenggelamkan gist, sedangkan gist itu hanya dapat terlihat jika pembaca menyudahkan pembacaan sambil mengasingkan verbatim yang serasa “tidak terletak” citranya.
Jam di tangan menunjukkan 12:00 tengah malam. Hujan berhenti setengah jam lalu. Aku melalui Jalan Alor. Kelab malam dan bilik urut sudah ditutup awal. Tiada sesiapa di situ kecuali aku yang berulang-alik bagaikan watak utama Knut Hamsun dalam prosa tentang kelaparan dan kesengsaraan batin. Aku bercekak pinggang di tengah lorong. Dari tahun ke tahun. Eratosthenes dari Mesir Kuno sudah mengetahui bahawa dunia bukan leper. Siapa pun juga seteru ingin mengusik dan mencabar, aku akan tentang dengan kedua-dua tangan kosong.
Anda boleh lihat sendiri bagaimana setiap ayat mendukung ceritanya persis piksel yang membentuk imej. Tetapi jika dipadamkan, “bagaikan watak utama Knut Hamsun dalam prosa tentang kelaparan dan kesengsaraan batin” dan juga “Eratosthenes dari Mesir Kuno sudah mengetahui bahawa dunia bukan leper”, kita tetap akan tahu bahawa watak sedang berada pada lewat malam di tempat sama berulang kali, menantikan waktu untuk dipukul atau disamun.
Pertimbangan konteks pembaca tidak peduli apa yang watak utama Knut Hamsun lalui, tetapi tetaplah pembaca memahami kesengsaraan batin watak utama yang melalui Jalan Alor berulang kali demi mencari peluang untuk dipukul. Rukun Prägnanz pula terungkap jelas di sini apabila pada intinya: minda cenderung memilih bentuk yang paling ringkas, paling stabil dan paling “menjadi” daripada maklumat yang berserabut, yakni watak sedang berada lewat malam di tempat sama berulang kali, menanti waktu untuk dipukul atau disamun.
Namun begitu, pertimbangan konteks pembaca tidak wajar digeneralisasikan sebegitu. Seperti yang dinyatakan pada awalan teks tadi, dekonstruksi Malaywood harus diasingkan kepada tiga sudut, yakni ikon, indeks dan juga simbol untuk mendalami maksud dan rintihan pengarang terhadap fenomena sosiopolitik di negara kita.
Barangkali, memadailah untuk masa ini, untuk kita memahami kaedah membaca cerpen-cerpen Roslan, khususnya dalam gagasan Malaywood, dengan menebak pertimbangan konteks berdasarkan teori Fuzz-Trace dan pemilihan Rukun Prägnanz untuk membaca permukaan teks sebelum berkemampuan menyelam ke dasar makna dan memetik mutiara berharga dalam pemikiran pengarang.
_________________________
Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.