Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari membawa Harry Aveling, figura besar sastera kita yang sudah banyak menterjemahkan karya tempatan ke dalam bahasa Inggeris, berjalan-jalan di Kelantan pada bulan November lepas.
Cuma, saya tidak dapat pastikan maksud itu, siapa abang, dan siapa adik?
Harry Aveling menghadiahkan bukunya kepada saya, The Centre is Everywhere: Southeast Asian and Australia Literature, yang baru diterbitkan tahun lepas. Buku itu merupakan koleksi esei beliau tentang beberapa pengarang dan penyair dari Indonesia, Australia, Singapura, Vietnam, dan seorang pengarang India, Bhagwan Shree Rajneesh.
Saya terkejut, kerana buku berkenaan yang memuatkan esei beliau tentang beberapa pengarang di Asia Tenggara dan seorang pengarang India itu diterbitkan oleh sebuah penerbit terkenal di India. Ada rupa-rupanya penerbit di India yang begitu berminat dan sanggup cakna pada sastera moden Asia Tenggara.
Beliau mencatatkan tulisan tangan pada naskhah itu, “Senang sekali bertemu di musim hujan”, membayangkan, tiada apa-apa terkilan pada hatinya tiba datangnya pada musim hujan. Malah, masa itu, beliau dan isteri sempat juga mengunjungi beberapa buah muzium.
“Janji yang Harus Ditepati,” ujar Harry Aveling, pada suatu malam lain, ketika saya cuba menanyakan kemungkinan ada buku terbaharunya yang sedang diusahakan tulis atau terjemah dan akan diterbitkan. Lebar senyumnya, mencerminkan girang hati menanti manuskrip bukunya, dengan judul yang disebutkannya itunya, bakal segera diterbitkan.
Malah, cepat-cepat dikeluarkan dari beg sandangnya, ditunjukkan kertas tulisan tangan yang baru diterima sejurus awal malam, dicatatkan oleh pihak hotel. Memo ditujukan kepadanya daripada penerbit Julang, Indonesia, tentang manuskrip Janji yang Harus Ditepati (Promises to Keep) itu yang akan diterbitkan. Berita amat gembira baginya, diterima di Kelantan, di celah-relah dingin hujan dan angin malam.
“Tentang apa?” Saya segera bertanyakan.
“Sitor.”
“Situmorang?”
“Yup! Dia.”

“Wah! Sitor Situmorang.”
Lalu langsung dikeluarkan lagi dari begnya, menghadiahkan salinan manuskrip Janji yang Harus Ditepati (Promises to Keep). Pilihan 40 buah puisi Sitor Situmorang. Giliran saya tersenyum lebar. “Rosli menjadi orang kedua dapat cepat memperoleh dan segera membaca ini, selepas editor di sana,” ujarnya. Semakin lebar senyuman saya.
Setahu saya, beliau telah pun mengusahakan dua buah buku menterjemahkan karya Sitor Situmorang. Namun bukan puisi. Kendati, mendiang sasterawan itu lebih terkemuka sebagai antara penyair besar Indonesia.
Harry pernah juga menterjemah sejumlah cerpen Sitor. Sitor mengarang cerpen dengan jumlah yang agak banyak juga. Salah satu buku terjemahan cerpen itu diusahakan bersama-sama dengan beberapa orang rakannya. Kedua-duanya diterbitkan di Thailand, namun, kedua-dua buah kumpulan cerpen itu belum saya miliki.
“Tahu, Sitor itu anak bangsawan? Kecilnya, namanya Raja Usu. Lahir 1924 di desa Harianboho, di Pulau Samosir, wilayah pergunungan Danau Toba. Sejak kecil sangat dipengaruhi oleh tradisi lisan, nyanyian, khutbah Kristian, dan bahasa Melayu. Meninggal di Belanda pada 21 Disember 2014. Kembali dimakamkan di Harianboho, Sumatera pada 2015,” terang beliau, menunjukkan tahu dan mahir benar tentang Sitor Situmorang.
“Saya menyangka Sitor meninggal di Perancis.”
“Bukan!” beliau membetulkan salah tanggap saya.
Terangnya lagi, “Setelah gelojak politik tahun 1965, yang diikuti dengan kejatuhan Presiden Soekarno dan awal rejim Jenderal Soeharto, Sitor ditangkap pada tahun 1966 dan dipenjara di Selamba (Jakarta). Selama tujuh tahun tanpa pengadilan.
“Kerana dukungan terhadap Soekarno dan pada awalnya Parti Nasional belum dianggap illegal pada Orde Baru, maka Sitor terhindar daripada persekusi. Pada tahun 1959, ia pernah mendirikan Lembaga Kebudayaan Nasional (LKN) serta menjabat sebagai ketuanya hingga 1965.
“Namun kemudian, LKN itu dituduh mendukung posisi politik dan kebudayaan Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA). Kalau mengikut Wing Kardjo, LKN itu awalnya dimaksudkan untuk menyeimbangkan LEKRA, tetapi akhirnya justeru menjadi sekutunya.
“Yang memburukkan keadaan, Sitor disebut-sebut melakukan aksi protes peribadi terhadap presiden baharu, dengan meninggalkan catatan di halte-halte (daripada bahasa Belanda, yang bermaksud tempat berhenti kenderaan umum) bas yang berisi kecaman terhadap situasi politik saat itu. Berani amat, dia!” beliau menjelaskan.
“Nah, dari situ bermula penahanannya. Tidak ada janji pengadilan untuk ditepati. Juga, tidak ada janji pembebasan untuk ditepati. Namun, pada akhir, dia dibebaskan tahun 1975. Tetapi tetap sahaja berada dalam tahanan rumah sehingga lewat 1977.”
Saya teringat kata-kata Sasterawan Negara A. Samad Said, “Sastera Indonesia dan Malaysia adalah abang-adik.” Cuma, saya tidak dapat pastikan maksud itu, siapa abang, dan siapa adik? Diduga umum, Indonesia dianggap sebagai abang. Namun, adakah hal itu tepat?
Pada suatu peringkat awal, memang sastera Indonesia tampak lebih dinamik ke hadapan, banyak bahan bacaan sastera – buku, majalah dan akhbar dari sana mengalir masuk ke tanah air. Namun, dari suatu perspektif lain, harus direnung dan disedari juga, bahawa Ahmad Rijaluddin (1811) dan Munsyi Abdullah (1938) dari juring Malaysia ialah perintis terawal pada gerak dan langkah ke arah bibit-bibit permulaan sastera Melayu moden. Namun, apa-apa pun, sastera Indonesia–Malaysia tetap adik-beradik.
“Isteri baharu Sitor, namanya Barbara Brouwer, seorang diplomat Belanda. Dinikahinya pada tahun 1981 dan ia pergi ke Belanda pada tahun itu,” tambah Harry. Hebat, Sitor!
Saya mengambil ruang membacakan, deklamasi santai “Lagu Gadis Itali” kepada beliau dan para sahabat, puisi Sitor Situmorang yang ada dalam ingatan, tetap bagai bunga mekar kembang selama-lama. Pertama kali, saya temui puisi indah “Lagu Gadis Itali” itu semasa 13 tahun, di perpustakaan Sekolah Menengah Sains Kelantan, ketika belajar di sekolah menengah sains berasrama penuh itu.
Indah sekali! Seakan-akan, sangat terasa, belum pernah saya temui puisi seindah itu, terus tertancap pada jiwa dan menjadi ingatan penuh sehingga ke luyut usia tua.
“Wah!” getusnya. “Saya minat, tahu dan mahir dia. Tetapi tiada hafazan dalam kepala,” senyum, tawanya.
“Itu pun, ada janji yang harus ditepati. Sebab, Sitor minta agar dia dijemput oleh kekasihnya di Teluk Napoli itu,” saya mencelah interpretasi, walau ada gema nakal.
Harry Aveling tertawa.
Sebenarnya, puisi itu jika pada teks sepenuhnya, boleh direnung menjelmakan manifestasi dua suara kekasih sekali gus. Antara harapan pada permintaan menunggu, lalu menjemput ketika tiba dengan bayangan hancur hati jika kiranya yang ditunggu atau dirindui itu tiada tiba. Bukan sekadar tercermin romantik, indah rentak rimanya, malahan sebegitu hebat gambaran imageri dan kesan emosi pada ungkapannya: “Batu tandus di kebun anggur – Pasir teduh di bawah nyiur” serta “Mengejar bayang di salju gugur.”
Selain “Lagu Gadis Itali”, Sitor juga hebat kerana mempunyai tiga buah puisi masyhurnya yang lain, “Malam Lebaran”, “Chartres Cathderal” dan “Si Anak Hilang”.
Hujan tetap hujan.

Menarik, berlegar sembang dengan Harry Aveling tentang sastera Malaysia, Indonesia, Australia, juga beberapa hal lain. Ada yang kami sembangkan ringkas, ada berlanjut panjang, dan ada yang kami tiada tahu perkara kecil, terpencil, meminta beliau rincikan. Pengetahuan, ilmu dan pengalamannya luas. Paling saya gembira, beberapa sahabat dan pelapis muda sastera Kelantan, setiap malam, dapat ikuti dan saling berkongsi pengetahuan dan pandangan.
Sesekali, kami gelak tawa, apabila cepat ditukasnya pendapat yang kurang dipersetujuinya. Pengetahuannya tajam.
Ketika beliau bertanyakan apa-apa manuskrip puisi terbaharu saya, saya menjawab ada beberapa, namun masih selalu disemak. Salah satu, sekumpulan puisi tentang etnik Aboriginal di Australia. Seingat-ingat saya, sudah hampir sembilan tahun disimpan draf. Saya mendraf berdasarkan pengetahuan daripada bahan bacaan sahaja dan semata-mata imaginasi dan taakulan. Bukan berdasarkan realiti berada di sana.
Lainlah dengan Matahari Itu Jauh (2015) semasa saya berkunjung dan mengembara di Sumatera, Indonesia dan Delapan Belas Sajak Kota Bangkok (2024) ketika di tengah-tengah kota metropolitan itu. Manakala, manuskrip draf sekumpulan Sajak Pulau Batam, walau saya pendam, juga semasa pernah di sana lama dahulu.
Beliau bertanya, “Mengapa tidak terbitkan Aboriginal itu?”
Jawab saya, “Harus ke Uluru, Darwin. Belanja pula amat besar. Australia, wang Dolar. Saya setidak-tidaknya perlukan 10 hari untuk benar-benar mengalami, mengetahui, menghayati. Menyemak secara benar. Realiti. Itu ini, saya sudah kira perlu agak-agak beberapa belas ribu. Harus juga membawa kawan menemani.
“Mencari dana kreativiti umpama meminta sehelai daun dari pohon yang rimbun, namun tetap tidak dapat, walau sehelai. Yang banyak ialah dana laksana program, ada yang boleh dapat sehingga beratus-ratus ribu. Dana kreativiti tidak dipentingkan sebab dianggap pengarang boleh sahaja mencipta karya di rumah, di kedai kopi,” saya berterus terang.
“Sayang sekali,” ujarnya, ikut terkedu. Namun, tetap menasihati, “Terbitkan sahaja, sebagai janji yang harus ditepati. Bukankah itu dan begitu, janji pada diri sendiri?”
Sayat hati saya. Namun, saya menukas, “Orang akan ketawakan saya kerana belum dan tidak pernah ke sana, mengenal dekat masyarakat Aboriginal itu.”
“Tidak!” cepat beliau membalas.
Disambungnya lagi dengan tanya, “Pernah baca Supernova?”
“Ya. Novel Indonesia. Ditulis oleh Dewi Lestari. Tentang cinta, sains, spiritual, dan konflik sosial. Menghubungkan antara sains, spiritual, cinta dengan eksistensi manusia. Konsepsi realiti, imaginasi, identiti dengan makna kehidupan.”
“Latarnya, di mana?” mudah sahaja beliau bertanya.
“Amerika.”
“Tahu, pengarangnya belum pernah pergi ke Amerika?”
Terpegun, tertegun saya.
“Semua orang yang menulis tentang mati adalah orang yang belum pernah mati.”
Masya-Allah. Bijak sekali pemikiran dan bernas nasihat beliau. Termenung jenak saya. Abdul Hadi Yusoff yang ikut mendengar, mengumam, “Bijak.”
Memang benar, saya ingin menjadi seorang pendakwah.
Pada petang Khamis, 27 November, Abdul Hadi Yusoff dan saya mewakili PERADABAN, juga Muhammad Ikhram Fadly Husin (Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah) menghantar beliau dan isteri ke lapangan terbang.
Namun kerana teringat, saya pernah bertanyakan ulama Tok Kenali, dijawabnya, “Ya! Saya pernah tahu nama beliau”; maka, kami membawanya menziarahi makam Allahyarham di Kubang Kerian. Sementelah, terletak tidak jauh dari rumah saya, malah berhampiran kediaman Zuharman. Lagipun masih sempat masa, sambil-sambil menunggu Abdul Hadi bersolat Asar di masjid kecil, di hadapan tanah perkuburan itu. Zuharman biasa turut menjadi imam di situ.
Berehat di wakaf, di luar tanah perkuburan, beliau memandang jauh, merenung tanah perkuburan Tok Kenali itu. Saya mengambil kesempatan bertanya, ingin mengetahui lanjut, “Pada zaman kanak-kanak, Abang pernah dihadiahkan sebuah peta oleh datuk. Atau mungkin, nenek. Saya lupa.”
“Datuk.”
“Peta Borneo. Adakah itu, oleh seorang datuk, bagi tujuan memperluas minat pengetahuan terhadap cucunya dari masa zaman kecil lagi?”
Beliau tidak bergegas menjawab. Merenung ke tanah, bagai mengenang ingatannya kembali. Atau, entah-entah terbayang, tergambar peta Borneo itu di muka tanah.
“Adakah peta itu meninggalkan kesan pada ingatan, sehingga dapat mendorong minat mendalam ingin mengetahui Dunia Melayu?” Dan, saya menambah tanya lagi, “Lanjut itu, akhirnya menumbuhkan minat Abang ingin mengetahui, mendalami bahasa, sastera dan budaya Melayu?”
“Tidak. Minat terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu tidak didorong oleh peta itu. Peta itu ada tujuan lain.”
“Bertujuan apa?”
“Supaya nanti besar, dewasa saya ingin dan akan menjadi pendakwah agama.”
“Hah?”
“Ya! Pendakwah.”
“Agama Kristian?” Walau sebenarnya, saya agak segan untuk bertanyakan hal itu.
Beliau tersenyum.
“Memang benar, saya ingin menjadi seorang pendakwah.”
“Hah?” sekali lagi saya terkejut besar.
Beliau tetap senyum, gelak kecil, “Pendakwah sastera dan bahasa Melayu, di mana-mana.”
Kami bersama-sama ketawa.

Nik Hafiz yang berhasrat ingin ikut bersama-sama menghantar, terkedu. Dia berhalangan kerana ada komitmen tugas yang tidak dapat ditinggalkan. Dahri dan Zuharman pula terkilan kerana saya terlupa memaklumkan waktu berlepas penerbangan yang benar ialah hujung petang. Pada awalnya, tersangka waktu awal-awal pagi, tiada dapat untuk disertai sama oleh mereka berdua, lantaran jika pagi, ada hambatan lain. Mengajak Zuharman, hujung petang, juga tidak berkesempatan lagi kerana dia sudah ke tempat lain.
“Senang sekali saya. Meriah sekali oleh suasana sastera Kelantan,” tetap saya ingat kata-kata beliau.
Juga, kata-kata pesannya, “Jika berjaya ada dana, datanglah kepada masyarakat Aboriginal. Tentu sahaja lebih baik dan bagus. Namun, apa-apa pun, terbitkanlah Aboriginal itu.” Saya tidak menjawab apa-apa. Terbayang yang sukar meminta sehelai daun, walau dari pohon yang rimbun.
Sebelum berpisah, saya mengulang mengungkapkan “Lagu Gadis Itali” sekali lagi, tanpa mempedulikan orang ramai kerana mereka hanya bergegas melintas. Walau ada yang terhenti langkah sejenak, bagai rasa hairan, seorang Melayu sedang bercakap bahasa Melayu kepada seorang Orang Putih.
Harry Aveling diam, peka mendengar, entah apa-apa dihayatinya.
“Usah khuatir, bukan Abang, peria yang harus menepati janji untuk tiba di Teluk Napoli itu,” getus saya. Harry tertawa, “Ya, saya tahu! Bukan saya.”
Sambungnya lagi, “Kalau saya, nanti tentunya bikin Sitor cemburu.” Kami bersama-sama gelak, kelakar sastera. Meski akan jenaka itu, dalam detik bersalam perpisahan, Harry Aveling tergenang dan menitik air matanya. Abdul Hadi dan Ikram tercegat turut terharu.
Kami pun berpisah.
Beliau akan berangkat malam ke Pulau Pinang, sebelum terus pulang ke Australia. Ada janji yang harus ditepati, menunggunya di sana pada Georgetown Literary Festival.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.