Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

hari ini
tanah menjadi sunyi
lebih dari biasa,
kerana setia
menerima kembali
apa dipinjamkan kepada dunia
pada suatu ketika dahulu

engkau kembali ke tanah,
wahai sahabat,
yang namanya kusebut
penuh hormat, kasihmu
sentiasa kusemat

dan engkau pergi
saat langit dikatakan terbuka
menerima semua doa
dan catatan takdir dipersembahkan
dengan penuh rahsia

tanah itu dingin,
namun
bukan musuhmu –
seolah ibu yang memeluk
tanpa soal,
tanpa syarat,
tanpa tangguh

aku di sini,
jauh dari liang
jauh dari suara talkin
yang perlahan-lahan
memujuk hiba,
jauh dari wajah-wajah
yang menahan air mata di tepi nisan

inilah dukaku yang paling dalam:
bukan hanya kehilanganmu,
aku tiada berdiri di sisi tanah itu,
menemani detik akhir
menyerahkan jasadmu
kepada asal jadinya kita

aku terkilan,
kerana kakiku tidak menjejak
tanah perkuburan itu,
kerana tanganku tidak mampu
menyiram air terakhir
sebagai tanda perpisahan,
kerana suaraku tidak hadir
dalam kalimah redha

namun tanah tahu,

jarak tidak pernah membatalkan kasih

ketika manusia menadah tangan
memohon ampun dan harapan,
engkau menadah seluruh hidupmu
kepada Tuhan
meski tanpa kata

aku membayangkan tanah itu –
coklat, lembap,
menghidu sisa hujan dan doa,
menyambutmu dengan senyap
seperti seorang murid
yang akhirnya faham
segala pelajaran tentang fana

engkau mengajarku
erti rendah hati ilmu,
erti sabar dalam membimbing,
erti tegas tanpa melukai,
kini menjadi pelajaran paling sunyi:
bahawa sehebat mana pun kita
akhirnya akan menjadi tanah

aku berbicara dengan bumi
melalui doa
setiap sujudku
adalah perjalanan tertangguh,
setiap al-Fatihah
adalah langkah tidak sempat kuambil,
setiap air mata
adalah tanah kecil
yang kugali di dalam dada

wahai sahabat,
wahai guru kehidupan,
jika engkau mendengar,
ketahuilah –
aku tidak hadir secara jasad,
tetapi jiwaku berdiri lama
di sisi pusaramu

aku menitipkan namamu
pada angin pagi,
pada tanah yang kupijak di sini,
kerana tanah itu satu juga asalnya,
dan Tuhan yang satu juga
menjaga kita

pergilah dengan tenang
tanah tidak akan mengkhianati
ia akan menyimpan cerita-ceritamu
lebih rapi dari ingatan manusia

dan aku,
akan terus hidup
dengan kehilangan ini –
sebagai murid
yang berhutang cahaya,
sebagai sahabat
yang akan menyebut namamu
moga aku sentiasa sedar
kita hanyalah tetamu sementara
di atas tanah yang akhirnya
akan memanggil pulang

Nisfu Syaaban, 1447 H

Kredit Foto: Anuar Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi